Hari Arafah merupakan salah satu hari paling agung dalam kalendar Islam, yang jatuh pada 9 Zulhijah, sehari sebelum Hari Raya Aidiladha.
Ia adalah hari jemaah haji berkumpul di padang Arafah, yang merupakan rukun terbesar ibadah hari Arafah.
Hari Arafah tidak hanya menjadi titik kemuncak ibadah haji, bahkan juga merupakan pembukaan kepada rangkaian hari-hari yang diberkati dan dirai umat Islam, terutama Hari Raya Aidiladha.
Bagi umat Islam yang tidak menunaikan haji, hari Arafah tetap mempunyai kedudukan istimewa yang membawa makna mendalam serta sejarah yang menyentuh rohani.
Umat Islam turut digalak oleh Baginda untuk berpuasa pada hari tersebut.
Baginda bersabda:
“Puasa pada hari Arafah – sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah agar ia menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan setahun selepasnya.” HR Muslim.
Maka sudah tentu hari yang agung ini mengandungi kelebihan mendalam dan penting buat insan beriman.
Peristiwa hari Arafah mempunyai kedudukan unik dalam sejarah Islam.
Ia dianggap sebagai Allah swt telah menyempurnakan agama Islam.
Allah swt menurunkan firman-Nya pada hari tersebut:
“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (Surah Al Maidah ayat 3).
Para ulama menyebut bahawa kesempurnaan yang disebutkan di dalam ayat ini merujuk kepada beberapa perkara:
Pertama, kaum Muslimin belum pernah menunaikan haji yang difardukan setelah ia diwajibkan, dan tiada seorang pun daripada mereka yang melaksanakannya sebelum hari itu.
Maka dengan terlaksananya ibadah haji pada hari tersebut bersama Baginda, telah lengkaplah amalan rukun Islam mereka, menjadikan agama ini sempurna dari sudut pelaksanaan.
Satu lagi dimensi penyempurnaan agama pada hari tersebut ialah apabila Allah swt mengembalikan ibadah haji kepada asas tauhid yang dibawa oleh Nabi Ibrahim as, dan membersihkannya daripada sebarang unsur syirik.
Pada hari itu, tidak ada seorang pun dalam kalangan bukan Islam yang mencemari perhimpunan suci kaum Muslimin di padang Arafah.
Maka disebabkan itu, umat Islam menganggapnya sebagai Hari Raya dan hari istimewa.
Antara amalan yang dilakukan oleh jemaah haji pada hari Arafah ialah mendirikan solat zuhur dan asar secara jamak takdim bersama imam di masjid yang terletak di kawasan Arafah.
Setelah itu, imam akan menyampaikan khutbah kepada jemaah sebagai peringatan dan pedoman rohani pada hari yang agung tersebut.
Rasulullah saw sendiri telah menyampaikan khutbah terakhir Baginda dalam ibadah haji yang dikenali sebagai haji wadak (haji perpisahan), satu-satunya ibadah haji yang dilakukan Baginda sebelum wafat pada tahun berikutnya.
Khutbah ini dikenali sebagai khutbah wadak, dan ia menjadi antara khutbah paling bersejarah dan menyentuh jiwa dalam keseluruhan sirah Nabi.
Dalam khutbah agung tersebut, Baginda menggariskan prinsip asas Islam serta menekankan kepentingan menjaga nyawa, maruah dan harta sesama umat Islam.
Sabda Baginda:
“Sesungguhnya darah kamu, harta kamu adalah haram ke atas kamu (untuk dizalimi), sepertimana haramnya hari ini, dalam bulan ini, di negeri ini.” (HR Muslim)
Baginda turut menekankan tanggungjawab terhadap wanita dan menyeru agar kaum lelaki menjaga hak mereka dengan penuh amanah dan kasih sayang.
Antara pesanan Baginda: “Maka bertakwalah kepada Allah dalam urusan wanita; sesungguhnya kamu mengambil mereka dengan amanah Allah, dan kamu menghalalkan kehormatan mereka dengan kalimah Allah. Hak mereka ke atas kamu ialah supaya kamu tidak membiarkan sesiapa yang kamu tidak suka memasuki tempat tidur mereka, dan hak kamu ke atas mereka ialah kamu memberikan nafkah dan pakaian kepada mereka dengan cara yang makruf.”
Akhirnya, Rasulullah saw menutup khutbah tersebut dengan pesanan berkaitan pegangan kepada umatnya:
“Dan aku tinggalkan kepada kamu sesuatu yang, jika kamu berpegang teguh dengannya, kamu tidak akan sesat selama-lamanya – iaitu Kitab Allah.”
Khutbah ini merupakan salah satu wasiat terakhir yang ditinggalkan oleh Baginda untuk kita, agar keadilan ditegakkan dan hak-hak wanita dipelihara.
Ia menunjukkan betapa besarnya makna hari Arafah sebagai medan untuk mengingatkan kita tentang tanggungjawab dan amanah yang perlu kita laksanakan.
Hari Arafah adalah hari penuh rahmat, keampunan dan pembebasan daripada api neraka.
Dalam satu hadis, Rasulullah saw bersabda:
“Tidak ada hari di mana Allah membebaskan lebih ramai hamba-Nya dari neraka selain hari Arafah.” (Riwayat Muslim).
Ini menunjukkan betapa besarnya peluang bagi setiap Muslim untuk meraih keampunan Allah swt.
Dalam suasana dunia yang penuh godaan dan cabaran, hari Arafah datang sebagai detik emas untuk bermuhasabah dan kembali kepada Allah swt dengan taubat nasuha.
Ia adalah hari Allah swt turun ke langit dunia dan membanggakan hamba-Nya yang sedang berdoa, memohon ampun dan menyerahkan diri sepenuhnya kepada-Nya.
Maka, bagi seorang Muslim, ini bukan sekadar peluang keemasan, malah seruan untuk memperbaharui ikatan dengan Tuhan, membuang segala beban dosa, dan memperteguh komitmen terhadap jalan hidup Islam.
Mereka yang tidak menunaikan haji tidak terlepas daripada kelebihan ini.
Disarankan agar berpuasa, memperbanyak doa, istighfar, zikir dan amal soleh.
Detik ini amat sesuai untuk memperbaharui taubat, menetapkan matlamat baru dalam kehidupan, dan menanam azam untuk menjadi insan yang lebih baik.
Ia juga waktu mustajab untuk memohon apa sahaja hajat dunia dan akhirat.
Hari Arafah bukan hanya milik jemaah haji.
Ia adalah hari penuh rahmat yang ditawarkan kepada seluruh umat Islam.
Dengan memahami sejarah, kedudukannya, serta kelebihan yang terkandung padanya, setiap Muslim wajar merebut peluang mempertingkatkan hubungan dengan Allah swt.
Marilah kita memanfaatkan hari Arafah dengan sepenuh hati – berpuasa, berdoa, berzikir, dan bertaubat – agar kita termasuk dalam golongan yang diampuni dan dibebaskan daripada api neraka.
Semoga setiap detik pada hari agung ini membawa kita lebih hampir kepada reda Allah swt.
Artikel ini sumbangan Darul Tafsir Singapura, Masjid Al-Khair.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg