LONDON: Satu kajian terbaru badan pemikir di Britain mendapati konflik global, termasuk perang di Gaza, memainkan peranan besar dalam mendorong masyarakat Britain memeluk Islam.
Penemuan itu dilihat mengukuhkan dakwaan bahawa minat terhadap Islam meningkat sejak serangan besar-besaran Israel di Gaza.
Kajian Institut Pengajian Mengenai Pengaruh Kepercayaan dalam Kehidupan (IIFL) itu meninjau 2,774 individu yang telah berubah kepercayaan sama ada memeluk agama baru atau meninggalkan agama sepenuhnya, lapor The Telegraph.
Hasilnya menunjukkan bahawa faktor motivasi sangat berbeza bergantung kepada agama yang dipilih.
Menurut laporan itu, 20 peratus daripada mereka yang baru memeluk Islam berbuat demikian kerana pengaruh konflik global, manakala 18 peratus menyatakan faktor kesihatan mental.
Laporan tersebut menjelaskan bahawa ramai individu yang memeluk Islam berbuat demikian kerana mencari makna dan tujuan dalam kehidupan.
“Mereka yang memeluk Islam sering berbuat demikian kerana mencari tujuan hidup. Mereka cenderung tertarik kepada ritual, mempunyai tahap keraguan terhadap media yang tinggi, dan melihat dunia sebagai semakin tidak adil,” tulis pengarang laporan itu.
Gabungan faktor itu menjadikan Islam dilihat sebagai “rangka kerja moral dan struktur” yang menyediakan disiplin serta kejelasan dalam persekitaran dunia yang semakin kompleks dan mencabar.
Penemuan IIFL turut menyokong laporan media Globe Eye New pada 2023 dan 2024 yang menunjukkan peningkatan meluas dalam bilangan orang Barat memeluk Islam selepas perang Israel di Gaza.
“Corak ini mungkin menyokong dakwaan mengenai lonjakan minat terhadap Islam ketika konflik Israel-Gaza berlangsung,” kata para penyelidik.
Beberapa masjid, pemimpin komuniti dan aktivis dakwah di Britain juga melaporkan trend yang sama.
Platform berita 5Pillars, sebagai contoh, mendokumentasikan kes individu memeluk Islam di seluruh negara, termasuk kunjungan mereka ke Pusat Islam Lewisham pada Januari 2024.
Imam masjid tersebut, Sheikh Shakeel Begg, berkata minat terhadap Islam meningkat ketara sejak Oktober 2023.
“Dalam setahun ini, majoriti yang datang untuk memeluk Islam adalah rakyat Inggeris berkulit putih. Dahulu mungkin dua atau tiga memeluk Islam dalam seminggu, tetapi kini ia berlaku hampir setiap hari,” katanya.
Kajian IIFL menegaskan bahawa perubahan agama di Britain tidak hanya melibatkan peningkatan memeluk Islam, tetapi juga peningkatan dalam kalangan yang memilih untuk tidak beragama.
Sebanyak 39 peratus responden meninggalkan agama sepenuhnya, dengan Kristian mencatat penurunan paling ketara.
Namun, laporan itu menyatakan bahawa minat terhadap “agama berasaskan amalan”, termasuk Islam, terus berkembang, khususnya dalam kalangan anak muda yang melihat dunia semakin tidak stabil.
“Mereka mencari struktur, nilai jelas, dan komuniti. Dalam konteks ini, Islam menawarkan ruang yang memberikan tujuan dan ketenangan,” menurut laporan itu
Data banci Britain dari Pejabat Perangkaan Kebangsaan menunjukkan bahawa buat pertama kali dalam sejarah, penganut Kristian membentuk kurang daripada separuh penduduk England dan Wales.
Menurut The Telegraph, hanya 46.2 peratus penduduk menyatakan diri mereka sebagai Kristian pada 2021, menurun daripada 59.3 peratus pada 2011.
Pada masa yang sama, laporan Globe Eye News mendapati peningkatan dalam jumlah warga Eropah yang memeluk Islam sejak serangan di Gaza bermula.
Di media sosial pula, semakin banyak video menunjukkan individu Barat mencari jawapan melalui Al-Quran, khususnya selepas menyaksikan ketabahan rakyat Palestin menghadapi peperangan.
Kajian Pusat Pew meramalkan bahawa menjelang 2050, Muslim akan membentuk sekitar 20 peratus penduduk Jerman, 18 peratus di Perancis, dan 17 peratus di Britain.
Penemuan oleh penyelidik Pierre Rostan dan Alexandra Rostan dalam kajian 2019 pula menunjukkan bahawa beberapa negara seperti Sweden, Perancis dan Greece mungkin mempunyai majoriti Muslim dalam tempoh sekitar 100 tahun.
Kini, anggaran menunjukkan Muslim adalah lebih 8 peratus penduduk Sweden, sekitar 7 peratus di Belgium, Britain, Belanda dan Jerman, serta kira-kira 6 peratus di Sepanyol, Denmark dan Italy. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg