Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kebakaran besar di pusat beli belah Iraq ragut sekurang-kurangnya 60 nyawa

Jul 17, 2025 | 5:06 PM
Seorang anggota pasukan keselamatan Iraq berkawal pada 17 Julai 2025 di hadapan pusat beli-belah yang rosak selepas kebakaran melanda Hyper Mall yang baru dibuka di bandar Kut, timur Iraq, pada waktu malam 16 Julai, mengorbankan sekurang-kurangnya 60 orang menurut pihak berkuasa Iraq. Pegawai telah melancarkan siasatan terhadap kebakaran tersebut, yang merupakan insiden terbaru di negara yang sering mengabaikan peraturan keselamatan.
Seorang anggota pasukan keselamatan Iraq berkawal pada 17 Julai 2025 di hadapan pusat beli-belah yang rosak selepas kebakaran melanda Hyper Mall yang baru dibuka di bandar Kut, timur Iraq, pada waktu malam 16 Julai, mengorbankan sekurang-kurangnya 60 orang menurut pihak berkuasa Iraq. Pegawai telah melancarkan siasatan terhadap kebakaran tersebut, yang merupakan insiden terbaru di negara yang sering mengabaikan peraturan keselamatan. - Foto AFP

BAGHDAD: Sekurang-kurangnya 60 orang terbunuh dalam satu kebakaran besar yang memusnahkan sebuah pusat beli-belah di bandar Kut, timur Iraq, malam 16 Julai, menurut pihak berkuasa pada 17 Julai, sementara keluarga mangsa yang berduka masih mencari waris yang hilang.

Pihak berkuasa telah melancarkan siasatan terhadap kejadian ini, yang merupakan insiden terbaru dalam negara yang sering mengabaikan peraturan keselamatan.

Sekurang-kurangnya dua individu memberitahu AFP bahawa mereka kehilangan lima ahli keluarga yang telah mengunjungi Hyper Mall yang baru dibuka untuk membeli-belah dan makan malam.

“Kebakaran tragis ini telah meragut nyawa 61 orang awam yang tidak berdosa, kebanyakannya mati akibat lemas dalam bilik air. Sebanyak 14 mayat hangus masih belum dapat dikenal pasti,” kata Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan.

Gabenor wilayah Wasit, Encik Mohammed al-Miyahi, memberitahu agensi berita rasmi INA bahawa mangsa termasuk lelaki, wanita dan kanak-kanak. Satu sumber perubatan di Kut memberitahu AFP bahawa terdapat “banyak mayat yang belum dikenal pasti”.

Menurut wartawan AFP yang berada di lokasi kejadian, pasukan penyelamat masih berusaha mencari mangsa yang hilang. Pasukan pertahanan awam telah menyelamatkan lebih 45 orang yang terperangkap di dalam bangunan lima tingkat itu, yang menempatkan sebuah restoran dan pasar raya, kata Kementerian Dalam Negeri.

Kebakaran tercetus lewat malam 16 Julai dan dipercayai bermula dari tingkat satu sebelum dengan cepat merebak ke seluruh bangunan. Punca kebakaran belum dikenal pasti, tetapi seorang mangsa terselamat memberitahu AFP bahawa sebuah alat pendingin hawa telah meletup.

Ambulans masih membawa mangsa ke hospital sehingga jam 4:00 pagi, dengan wad di Kut kira-kira 160 kilometer tenggara Baghdad dilaporkan penuh sesak.

Wartawan AFP menyatakan bahawa pusat beli-belah itu baru dibuka lima hari lalu dan turut melaporkan melihat mayat yang hangus di jabatan forensik wilayah berkenaan.
Walaupun api berjaya dikawal, pasukan bomba masih meneruskan pencarian mangsa yang hilang.

Video yang dimuat naik ke media sosial menunjukkan waris mangsa menunggu dalam keadaan cemas di hospital untuk mendapatkan berita, dengan sebahagian mereka rebah akibat kesedihan. Puluhan orang berkumpul di luar hospital sambil memeriksa setiap ambulans yang tiba, dengan ramai yang kelihatan terlalu emosional.

Salah seorang daripada mereka, Dr Nasir al-Quraishi yang berusia 50-an, berkata beliau kehilangan lima ahli keluarga dalam kebakaran itu. “Bencana telah menimpa kami,” katanya kepada AFP. “Kami pergi ke pusat beli-belah itu untuk makan malam dan lari daripada gangguan elektrik di rumah. “Sebuah alat pendingin hawa meletup di tingkat dua, dan api terus merebak, kami tidak sempat lari.”

Encik Miyahi mengumumkan tiga hari berkabung dan berkata pihak berkuasa tempatan akan memfailkan saman terhadap pemilik pusat beli-belah dan kontraktor bangunan itu.
“Tragedi ini satu kejutan besar... dan memerlukan kajian semula yang serius terhadap semua langkah keselamatan,” katanya.

Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia al-Sudani, telah mengarahkan siasatan menyeluruh untuk mengenal pasti “kelemahan” dan mengelakkan kejadian serupa pada masa hadapan.
Pemimpin tertinggi Syiah Iraq, Ayatollah Agung Ali Sistani, turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

Piawaian keselamatan dalam sektor pembinaan Iraq sering diabaikan, dan negara itu yang infrastrukturnya rosak akibat puluhan tahun konflik kerap menjadi lokasi kebakaran dan kemalangan maut. Kebakaran meningkat ketika musim panas yang terik, apabila suhu mencecah 50 darjah Celsius.

Pada September 2023, sekurang-kurangnya 100 orang maut apabila kebakaran melanda sebuah dewan perkahwinan yang sesak, menyebabkan orang ramai panik dan berebut keluar.
Pada Julai 2021, kebakaran di unit Covid-19 sebuah hospital di selatan Iraq mengorbankan lebih 60 orang. - AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg