Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kemuncak ibadah haji bermula, lebih 1.4j anggota jemaah berkumpul di Arafah

Jun 5, 2025 | 3:38 PM
arafah, haji
Ribuan anggota jemaah berdoa dan bermunajat di puncak bukit di padang Arafah yang sedang menjalani kemuncak ibadah haji. - Foto AFP

MAKKAH: Padang Arafah kembali menjadi saksi kebesaran Islam apabila dibanjiri lautan jemaah haji dari seluruh dunia yang menunaikan kemuncak ibadah haji pada 5 Jun, bersamaan 9 Zulhijah 1446 Hijrah. 

Lebih 1.4 juta anggota jemaah mula berkumpul sejak awal subuh di padang yang luas itu yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Makkah untuk menunaikan ibadah wuquf untuk bermunajat, berzikir, membaca Al-Quran dan memohon keampunan.

Ibadah dilaksanakan bermula selepas gelincir matahari atau masuknya waktu zuhur pada 9 Zulhijah sehingga sebelum fajar iaitu sebelum subuh pada 10 Zulhijah.

“Sebelum ini, saya hanya mampu menyaksikan kemuncak ibadah haji melalui siaran televisyen setiap tahun. Setiap kali menontonnya, hati saya sentiasa berkata:

‘Bilakah agaknya saya dapat berada di sana sendiri?’ Alhamdulillah, saya amat bersyukur kerana impian itu akhirnya menjadi kenyataan,” ujar Encik Ali Sharaaf, 33 tahun, anggota jemaah dari Pakistan, dengan nada penuh keinsafan.

Walaupun diuji dengan cuaca panas terik dengan suhu melebihi 40 darjah Celsius, jemaah tetap teguh melaksanakan ibadah wuquf diselimuti suasana rohaniah untuk bermuhasabah diri dengan menyesali segala dosa yang dilakukan sebelum ini dan memohon keampunan Allah swt.

Bagi mengelakkan tragedi berulang seperti musim haji 2024 lalu yang menyaksikan 1,301 anggota jemaah meninggal dunia ketika suhu mencecah 51.8 darjah Celsius, pihak berkuasa Arab Saudi mempertingkat pelbagai langkah bagi mengurangkan kesan haba dan memastikan keselamatan jemaah sepanjang ibadah berlangsung.

Kerajaan Arab Saudi membuat beberapa larangan baru bagi menjaga keselamatan jemaah termasuk menyarankan semua pengendali jemaah haji negara masing-masing melaksanakan ‘lockdown’ atau sekatan keluar masuk di khemah ketika di Arafah dan Mina.

Arahan ‘lockdown’ bermula 10 pagi hingga 4 petang bagi mengelakkan mereka pergi ke Masjid Namirah dan Jabal Rahmah berikutan risiko strok haba.

Setakat ini, pihak berkuasa Arab Saudi merekodkan 41 kes akibat haba dalam kalangan jemaah haji.

Kerajaan Arab Saudi menyatakan komitmen untuk menyediakan bas yang mencukupi sebagai pengangkutan dalam usaha membendung jemaah berjalan kaki dari Makkah ke Arafah.

Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Tawfiq al-Rabiah dilapor berkata untuk mengekang risiko yang sama, ribuan kipas dengan keupayaan penyejukan disediakan selain 400 unit penyejuk berasaskan air sementara pihak berkuasa turut menyediakan laluan dilengkapi pelindung termasuk sepanjang 2.5 kilometer yang baru siap menuju Arafah.

Arab Saudi turut memperluas penggunaan jalan penyejuk dan jalan yang menggunakan turapan getah bagi mengurangkan kesan haba melampau sepanjang perjalanan ibadah haji.

Pergerakan besar-besaran masuk jemaah haji ke Arafah sejak 4 Jun itu melibatkan berwuquf di Arafah dengan ibadah di masyair akan menyusul dengan mabit iaitu singgah atau bermalam di Muzdalifah dan melontar di Mina di ketiga-tiga jamrah sehingga 12 Zulhijah.

Setelah selesai menunaikan ketiga-tiga rukun dan wajib haji tersebut, jemaah akan kembali ke Makkah bagi menyempurnakan ibadah mereka dengan melaksanakan tawaf, sai dan tahalul, sebagai penutup kepada perjalanan haji yang penuh pengorbanan dan keinsafan.

Khutbah Arafah juga disiarkan secara langsung pada skrin besar di dalam khemah bagi memudahkan jemaah.

Pihak Berkuasa Am Penjagaan Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi menyatakan projek itu bertujuan menyampaikan mesej toleransi Islam kepada masyarakat sejagat dalam bahasa ibunda masing-masing, sekali gus menggalakkan komunikasi lebih baik antara umat Islam dan bukan Islam.

Memetik laporan Saudi Gazette, projek itu menyediakan terjemahan langsung khutbah Arafah lebih 34 bahasa menjadikannya antara inisiatif terbesar musim haji.

Bagi memperluaskan capaian dan memperhebatkan kesan perkhidmatan itu, kod QR dipaparkan di skrin-skrin di kemudahan utama, bas dan tempat penginapan jemaah.

“Saya tidak dapat menahan air mata… terlalu gembira dan bersyukur kerana akhirnya impian saya sejak 10 tahun lalu untuk menunaikan haji di tanah suci menjadi kenyataan,” kata anggota jemaah, Cik Iman Abdel Khaleq, dari Bangladesh dengan linangan air mata penuh rasa syukur. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg