Masyarakat
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sekatan pergerakan di Saudi bukan larangan, tapi panduan demi keselamatan jemaah

Jun 2, 2025 | 9:13 PM
Unit rawatan strok haba di Hospital Kecemasan Mina, di kota suci Makkah, bagi menangani kejadian berkaitan cuaca panas melampau semasa musim haji. 
Unit rawatan strok haba di Hospital Kecemasan Mina, di kota suci Makkah, bagi menangani kejadian berkaitan cuaca panas melampau semasa musim haji.  - Foto AFP

Nasihat yang dikeluarkan pihak berkuasa Arab Saudi agar mengehadkan pergerakan anggota jemaah haji disebabkan cuaca panas bukan larangan menyeluruh.

Sebaliknya, ia merupakan panduan praktikal demi keselamatan dan keselesaan jemaah, menurut beberapa ejen penjualan (GSA) pakej haji yang dihubungi Berita Harian (BH).

Pada 25 Mei, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi telah menyarankan agar anggota jemaah kekal dalam khemah antara 10 pagi dengan 4 petang ketika di Arafah dan Mina.

Namun, garis panduan had pergerakan itu adalah langkah berjaga-jaga dan bukan sekatan sepenuhnya, kata Pengurus Besar Halijah Travels Pte Ltd, Encik Haffidz Abdul Hamid semasa dihubungi BH.

“Semua nasihat yang diberikan adalah relevan dan selaras dengan langkah berjaga-jaga pihak berkuasa Arab Saudi susulan cuaca panas melampau.

“Ini termasuk untuk berada di tempat teduh ketika cuaca terlalu panas,” kata Encik Haffidz.

Nasihat demikian adalah praktikal dan mudah diikuti, tambah beliau.

Pihak Halijah Travels Pte Ltd turut menasihatkan anggota jemaah agar sentiasa kekal terhidrat dan minum air secukupnya, namun berpada-pada bagi mengelakkan ketidakselesaan sepanjang ibadah.

Sementara itu, Pengurus Noor Mohamad Services & Travel, Ustazah Juyda Noor Mohamad, berkata komunikasi langsung dengan anggota jemaah yang berada di Makkah membolehkan mereka berkongsi maklumat semasa dan keperluan tambahan. 

Ini sekali gus membantu agensi memberikan sokongan tepat pada masanya serta keyakinan kepada jemaah di Singapura yang sedang membuat persiapan untuk berangkat.

Agensi tersebut turut mengambil pendekatan proaktif dalam memastikan keselesaan dan keselamatan anggota jemaah mereka – baik yang berada di sana mahupun yang akan berangkat.

Ustazah Juyda berkata: “Kami tidak mahu menimbulkan kegusaran atau membebankan anggota jemaah yang bakal berangkat.

“Aplikasi komunikasi WhatsApp digunakan untuk berhubung secara langsung dengan anggota jemaah yang telah tiba agar mereka dapat berkongsi keadaan semasa, nasihat dan keperluan tambahan dengan anggota jemaah yang bakal berangkat,” jelas beliau.

Ini di samping persiapan yang dilakukan agensi itu seperti menyediakan pek ais segera, kelengkapan pertolongan cemas, dan memastikan pegawainya dilengkapi dengan pengetahuan sewajarnya untuk menangani sebarang kejadian seperti strok haba.

Rombongan jemaah haji di bawah Halijah Travels telah berangkat ke tanah suci pada 22, 29 dan 31 Mei, manakala Noor Mohamad Services & Travel menghantar 10 anggota jemaah pada 29 Mei, diikuti 35 lagi pada 30 Mei dan 10 lagi pada 31 Mei.

Secara keseluruhan, seramai 900 anggota jemaah dari Singapura akan menunaikan ibadah haji 2025, dengan rombongan terakhir – terdiri daripada Shahidah Travel & Tours Pte Ltd, Hamidah Travel & Tours Pte Ltd, Thoha Travels & Tours Pte Ltd, Sha Travel & Tour Pte Ltd dan Azza Travel & Tours Pte Ltd – dijadual berangkat pada 5 petang, 2 Jun.

Semasa dihubungi BH, salah seorang anggota jemaah haji, Encik Ibrahim Dawood, berkongsi bahawa menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di sana menjadi keutamaan. 

“Kami cuba elakkan terik matahari dengan menggunakan payung, dan menjalankan ibadah sama ada awal pagi atau pada waktu malam. Yang penting, kami pastikan sentiasa minum air mencukupi,” katanya.

Menurut salah seorang anggota jemaah haji yang berada di sana, Cik Yus Darlynna Md Yusof, suhu di Makkah mencecah 39 darjah Celsius pada 2 Jun, namun ia boleh meningkat sehingga 42 hingga 43 darjah Celsius.

Pelajar Institut Pendidikan Teknikal (ITE) berusia 18 tahun itu menunaikan ibadah haji bersama kedua ibu bapanya – Cik Rozita Selamat, 61 tahun, dan Encik Md Yusuf Hassan, 63 tahun – di bawah agensi Halijah Travels.

“Cuaca di sini berbeza dengan Singapura kerana ia lebih kering dan sangat panas. Meminum air secukupnya, terutamanya air zamzam, sangat membantu untuk menyejukkan badan.

“Setakat ini, saya belum menghadapi cabaran besar selain bibir merekah dan kulit kering, namun bahagian yang lebih mencabar masih belum tiba,” kongsi Cik Yus Darlynna, yang tidak menjalankan ibadah di luar waktu yang disarankan – waku paling panas antara pukul 10 pagi dengan 4 petang.

Pada 1 Jun, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi telah mengeluarkan larangan supaya anggota jemaah haji tidak berjalan kaki dari Makkah ke Arafah.

Ini selain saranan untuk kekal dalam khemah masing-masing dari 10 pagi hingga 4 petang.

Jemaah haji juga dilarang ke Masjid Namirah dan Jabal Rahmah pada waktu tersebut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg