THE HAGUE: Keputusan bersejarah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bahawa Myanmar melakukan genosid terhadap masyarakat Islam Rohingya mengiktiraf penderitaan etnik tersebut.

Langkah itu juga berpotensi memberi kesan besar terhadap kes genosid yang dihadapi Israel berhubung peperangannya di Gaza.

Penghakiman pada 19 November itu disifatkan sebagai perkembangan penting dalam undang-undang antarabangsa.

Ia memperjelas cara niat sesebuah negara untuk memusnahkan sesebuah kumpulan penduduk boleh dibuktikan, walaupun tanpa arahan bertulis yang secara jelas menuntut pembunuhan beramai-ramai.

Perkembangan tersebut emberi harapan kepada rakyat Palestin, khususnya ketika Afrika Selatan sedang meneruskan tindakan undang-undang terhadap Israel di ICJ atas dakwaan melanggar Konvensyen Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1948.

Namun, keputusan terhadap Myanmar tidak bermakna Israel secara automatik akan didapati bersalah.

Sebaliknya, penghakiman itu menyediakan panduan undang-undang yang boleh mempengaruhi bagaimana hakim menilai bukti pembunuhan, kemusnahan, pemindahan penduduk dan kenyataan pemimpin Israel dalam menentukan sama ada genosid berlaku di Gaza.

Penganalisis politik Palestin, Encik Ahmed Najar, berkata keputusan terhadap Myanmar tidak akan menentukan keputusan kes Gaza, tetapi boleh mempengaruhi pendekatan undang-undang yang digunakan mahkamah.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Menurutnya, setiap kes perlu dinilai berdasarkan bukti tersendiri, namun, penghakiman terhadap Myanmar memberikan gambaran lebih jelas mengenai cara niat melakukan genosid boleh dikenal pasti.

Niat lakukan genosid jadi penentu

Cabaran terbesar dalam membuktikan genosid bukan sekadar menunjukkan bahawa pembunuhan beramai-ramai atau kemusnahan besar telah berlaku.

Mengikut Konvensyen Genosid 1948, pihak yang membawa kes mesti membuktikan wujud niat khusus untuk memusnahkan keseluruhan atau sebahagian kumpulan kebangsaan, etnik, kaum atau agama.

Dalam kes Myanmar, ICJ mendapati pasukan keselamatan negara itu melakukan pembunuhan, keganasan seksual, serangan terhadap kanak-kanak dan pemusnahan kampung masyarakat Rohingya secara meluas.

Mahkamah memutuskan berdasarkan keseluruhan bukti, satu-satunya kesimpulan munasabah ialah tindakan tersebut dilakukan dengan niat memusnahkan kumpulan berkenaan.

Keputusan itu penting kerana ia menunjukkan niat melakukan genosid tidak semestinya perlu dibuktikan melalui arahan rasmi pemimpin pemerintah, kerajaan atau tentera.

Sebaliknya, niat tersebut boleh dikenal pasti melalui corak keganasan yang berulang, tindakan sistematik dan kesan keseluruhannya terhadap penduduk yang menjadi sasaran.

Peguam Palestin-Canada, Cik Diana Buttu, berkata keputusan itu turut menjelaskan bahawa genosid tidak memerlukan seluruh penduduk sesebuah kumpulan dihapuskan.

Menurutnya, kemusnahan terhadap sebahagian kumpulan yang dilindungi undang-undang antarabangsa juga boleh memenuhi takrif genosid.

Beliau berpendapat pendekatan tersebut amat penting dalam kes Gaza kerana terdapat pelbagai kenyataan pegawai Israel, selain tindakan tenteranya, yang boleh diteliti bagi menentukan niat sebenar operasi ketenteraan.

Persamaan kes Rohingya dan Gaza

Kes Myanmar bermula apabila Gambia membawa tindakan terhadap negara itu pada November 2019 – dua tahun selepas operasi ketenteraan besar-besaran memaksa ratusan ribu anggota masyarakat Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.

Myanmar mempertahankan operasinya dengan alasan memerangi kumpulan pemberontak yang menyerang pos keselamatan.

Israel pula menggunakan hujah mempertahankan diri dan menghapuskan Hamas selepas serangan kumpulan itu pada 7 Oktober 2023 yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang.

Namun, kedua-dua pemerintah berdepan dakwaan bahawa operasi ketenteraan mereka mengakibatkan kemusnahan meluas terhadap penduduk awam.

Di Gaza, lebih 74,000 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh sejak peperangan bermula, manakala hampir keseluruhan 2.2 juta penduduk wilayah itu kehilangan tempat tinggal.

Afrika Selatan berhujah bahawa skala kematian, kemusnahan prasarana, sekatan bantuan kemanusiaan dan kenyataan pegawai Israel merupakan antara bukti yang perlu dipertimbangkan bersama.

Israel menolak dakwaan genosid dan menegaskan operasi tenteranya menyasarkan Hamas, bukannya rakyat Palestin sebagai sebuah kumpulan.

Perbezaan penting antara kedua-dua kes ialah mahkamah perlu menentukan sama ada bukti terhadap Israel memenuhi syarat undang-undang yang sama seperti yang digunakan dalam kes Myanmar.

Satu lagi aspek penting ialah pematuhan terhadap perintah sementara ICJ.

Sejak Januari 2024, mahkamah mengeluarkan beberapa arahan kepada Israel supaya mengambil langkah mencegah perbuatan genosid, membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan dan melindungi penduduk Gaza.

Pada Mei 2024, ICJ turut mengarahkan Israel menghentikan operasi ketenteraan di Rafah mengikut syarat yang ditetapkan mahkamah.

Pertubuhan hak asasi manusia, termasuk Amnesty International dan Human Rights Watch, menuduh Israel gagal mematuhi perintah tersebut.

Cik Buttu berpendapat kegagalan mematuhi arahan mahkamah boleh menjadi antara faktor yang dipertimbangkan ketika menilai niat Israel.

Bagaimanapun, pandangan itu belum menjadi keputusan mahkamah.

Perintah sementara juga tidak bermakna ICJ sudah memutuskan bahawa Israel melakukan genosid.

Sebarang keputusan muktamad masih memerlukan penelitian terhadap bukti, hujah kedua-dua pihak dan kaitan antara tindakan ketenteraan dengan niat memusnahkan kumpulan yang dilindungi.

Tekanan terhadap sekutu Israel

Keputusan terhadap Myanmar turut menimbulkan persoalan mengenai tanggungjawab negara yang memberikan sokongan ketenteraan atau politik kepada Israel.

Jerman, misalnya, menyokong kes Gambia terhadap Myanmar, tetapi pada masa yang sama merupakan antara sekutu utama Israel di Eropah.

Nicaragua pula telah membawa tindakan terhadap Jerman di ICJ berhubung dakwaan bahawa bantuan ketenteraannya kepada Israel melanggar tanggungjawab antarabangsa.

Keadaan ini menunjukkan keputusan mahkamah berpotensi membawa implikasi yang melangkaui negara yang dituduh melakukan genosid.

Di bawah Konvensyen Genosid, negara anggota mempunyai tanggungjawab mencegah dan menghukum jenayah tersebut.

Bagaimanapun, sebarang tanggungjawab undang-undang negara lain tetap perlu ditentukan berdasarkan bukti dan kewajipan khusus masing-masing.

Amerika Syarikat pula mempertikaikan kemungkinan tafsiran undang-undang genosid diperluas sehingga menjejas operasi ketenteraan negara dan sekutunya.

Perbezaan pendirian itu memperlihatkan bagaimana keputusan ICJ boleh mencetuskan pertikaian diplomatik yang lebih luas.

Ujian besar keadilan antarabangsa

Walaupun keputusan Myanmar memberikan panduan penting, kes Afrika Selatan terhadap Israel dijangka mengambil masa beberapa tahun lagi sebelum penghakiman muktamad diumumkan.

Afrika Selatan dijadual mengemukakan hujah bertulis seterusnya pada November 2027, manakala keputusan akhir mungkin hanya diketahui sekitar 2029 atau 2030.

Bagi masyarakat Rohingya, penghakiman selepas tujuh tahun prosiding memberikan pengiktirafan antarabangsa terhadap penderitaan mereka, walaupun keselamatan dan kepulangan ke tanah air masih menjadi cabaran.

Bagi rakyat Palestin pula, keputusan itu membuka kemungkinan bahawa tindakan sesebuah negara boleh dinilai sebagai genosid berdasarkan keseluruhan corak keganasan, bukan semata-mata arahan rasmi atau alasan keselamatan yang dikemukakan.

Namun, persoalan lebih besar ialah sama ada keputusan mahkamah mampu diterjemahkan kepada perlindungan sebenar terhadap penduduk awam.

Kes Myanmar menunjukkan bahawa pengiktirafan undang-undang boleh mengambil masa bertahun-tahun, sedangkan penderitaan mangsa berterusan.

Akhirnya, kepentingan keputusan ICJ bukan hanya terletak pada kemungkinan kesannya terhadap Israel, bahkan juga pada mesej bahawa alasan memerangi keganasan tidak dengan sendirinya mengecualikan sesebuah negara daripada tanggungjawab di bawah undang-undang genosid.

Seperti ditegaskan Encik Najar, keputusan terhadap Myanmar tidak menentukan nasib kes Gaza, tetapi mungkin menentukan pendekatan undang-undang yang akhirnya digunakan untuk menghakiminya. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti