Kesan penangkapan Presiden Venezuela terhadap Iran
CARACAS/TEHERAN: Operasi ketenteraan dramatik Amerika Syarikat di Venezuela yang membawa kepada penangkapan Presiden Nicolas Maduro pada Sabtu, 3 Januari 2026, bukan sekadar mengubah landskap politik Caracas.
Tindakan tersebut dijangka memberi kesan geopolitik yang melangkaui Amerika Latin, termasuk sejauh lebih 11,000 kilometer ke Republik Islam Iran.
Teheran pantas mengecam serbuan Amerika Syarikat ke atas ibu kota Venezuela sebagai satu “pencerobohan terang-terangan terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah negara berdaulat”. Namun di sebalik kecaman rasmi itu, penyingkiran Encik Maduro menandakan kehilangan sekutu strategik paling penting Iran di Hemisfera Barat.
Di bawah pemerintahan Encik Maduro, dan sebelumnya mendiang Hugo Chavez, Venezuela menjadi rakan rapat Iran serta sekutu militannya, Hezbollah, di Amerika Selatan. Hubungan itu kini terancam untuk terputus.
Sekutu terpenting Iran di luar Asia Barat
“Venezuela mungkin merupakan sekutu paling rapat Iran, bukan sahaja di rantau ini, tetapi di dunia secara keseluruhan,” kata Encik Arash Azizi, zamil pelawat di Universiti Boston dan pengarang buku The Shadow Commander: Soleimani, the US, and Iran’s Global Ambitions (Panglima Bayangan: Soleimani, Amerika Syarikat dan Cita-cita Global Iran)
Beliau mengingatkan bahawa Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, secara terbuka menegaskan hubungan erat itu ketika menerima kunjungan Encik Maduro di Teheran pada 2022, malah berjanji membantu Venezuela sekiranya negara itu berdepan ancaman.
“Ini satu tamparan besar kepada hubungan yang telah terjalin selama beberapa dekad,” kata Encik Azizi.
Bagaimanapun, Encik Ryan Bohl, penganalisis kanan Asia Barat dan Afrika Utara di firma risikan risiko RANE, berpandangan kesan jangka panjang kepada Iran bergantung kepada siapa yang menggantikan Encik Maduro.
“Jika pengganti Maduro ialah tokoh berpendirian tegar, Iran mungkin melihat keperluan untuk menjadi rakan pertahanan yang lebih penting,” katanya. “Namun jika pemerintah baharu lebih sederhana atau datang daripada pembangkang, pengaruh Iran yang sedia terhad di benua Amerika boleh merosot dengan ketara.”
Selain kehilangan sekutu politik, Iran juga berisiko kehilangan kepentingan ekonomi di Venezuela pasca-Maduro.
Profesor Madya James Devine, di Jabatan Politik dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Mount Allison, berkata kesan paling besar bakal ditanggung oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC).
“IRGC akan menerima tamparan utama daripada kerugian ekonomi yang hampir pasti berlaku,” katanya. “Namun sejauh mana kesan ini merebak ke seluruh ekonomi Iran sukar ditentukan.”
Menurut Profesor Devine, keuntungan aktiviti ekonomi IRGC biasanya memberi manfaat terus kepada organisasi itu, tetapi terdapat kesan limpahan melalui rangkaian syarikat berkaitan sektor swasta. Dalam keadaan ekonomi Iran yang sudah rapuh dan dibelenggu bantahan rakyat, sebarang kejutan baharu dianggap merugikan. “Iran kini berada dalam krisis ekonomi yang serius. Sebarang gangguan tambahan adalah berita buruk,” katanya.
Walaupun Venezuela masih mengeksport minyak, kerjasama dalam penghantaran, teknologi dan tenaga antara kedua-dua negara dijangka terjejas. Namun Profesor Devine tidak menolak kemungkinan wujud peluang baharu untuk Iran sekiranya pengeluaran minyak Venezuela kepada China merosot.
Iran sukar ditumbangkan seperti Venezuela
Kejatuhan Maduro turut memberi kesan kepada rangkaian operasi Hezbollah di Venezuela. Azizi berkata kumpulan itu masih mampu beroperasi secara senyap di negara seperti Paraguay dan Brazil, walaupun tanpa hubungan rapat dengan kerajaan tempatan. “Namun mereka jelas kehilangan rakan paling penting di rantau ini,” katanya.
Beliau menjangkakan IRGC dan Hezbollah mungkin cuba mengukuhkan hubungan dengan kerajaan berhaluan kiri di Colombia atau memperdalam hubungan dengan Cuba. Namun usaha itu dijangka sukar dan mahal.
“Persahabatan jarak jauh ini bukan sahaja tidak popular, malah telah menyumbang kepada rasuah di kedua-dua negara,” kata Encik Azizi. Beliau turut mengingatkan bahawa banyak projek infrastruktur, tenaga dan perumahan yang dibina kontraktor Iran di Venezuela lebih menguntungkan kontraktor berbanding rakyat tempatan.
Tindakan Amerika Syarikat menyingkirkan Encik Maduro juga dilihat memberi kesan psikologi kepada pembangkang Iran. Presiden Donald Trump sendiri menulis di Truth Social bahawa Amerika Syarikat “bersedia sepenuhnya” dan akan “menyelamatkan” rakyat Iran sekiranya penunjuk perasaan aman dibunuh.
Iran kini berdepan bantahan besar-besaran selama lebih dua minggu, dengan sekurang-kurangnya 6,000 kematian dilaporkan, menurut kumpulan hak asasi. “Saya jangka sebahagian penunjuk perasaan Iran akan berasa terdorong dengan campur tangan Amerika di Venezuela,” kata Encik Bohl.
“Namun ramai juga bersikap sinis, memandangkan bantahan besar sebelum ini tidak pernah membawa kepada campur tangan langsung Amerika.” Beliau mengingatkan kegagalan Amerika bertindak di Syria sebagai contoh yang meredakan jangkaan pembangkang Iran.
Encik Azizi pula berkata penyingkiran Maduro pasti “menakutkan rejim Iran” dan meletakkannya dalam keadaan berjaga-jaga. “Ia mengingatkan Teheran bahawa Trump serius dengan ancamannya,” katanya. “Namun hakikat bahawa Trump kelihatan selesa dengan peralihan kuasa kepada timbalan Maduro juga menunjukkan pembangkang Iran tidak boleh bergantung kepada Trump untuk menyerahkan kuasa kepada mereka.”
Penganalisis turut memberi amaran bahawa menukar rejim di Iran jauh lebih rumit berbanding operasi “memenggal kepala” di Venezuela. “Rejim Iran bukan sekadar Khamenei,” kata Profesor Devine. Iran sukar ditumbangkan seperti Venezuela “Ia adalah satu sistem institusi.”
Beliau menegaskan bahawa sepanjang konflik, Iran telah mengambil langkah memastikan peralihan kepimpinan berjalan lancar sekiranya Khamenei terbunuh, selain menggantikan pegawai kanan tentera yang terkorban dalam masa singkat.
Tambahan pula, Iran masih mempunyai “aset ketenteraan yang besar” yang sengaja tidak digunakan sebelum ini bagi mengelakkan peningkatan. “Jika Amerika Syarikat atau Israel campur tangan secara langsung untuk menjatuhkan rejim, tiada lagi sebab untuk Iran menahan diri,” katanya. “Situasi boleh menjadi sangat huru-hara.”
TRUMP TIDAK MAHU TANGGUNG AKIBAT JANGKA PANJANG
Secara lebih luas, operasi di Venezuela menandakan kesediaan Trump untuk kembali kepada dasar perubahan rejim, walaupun beliau sebelum ini mengkritik pendekatan tersebut. Encik Bohl melihat Encik Trump sedang membentuk gaya tersendiri yang menggabungkan dasar perubahan rejim ala George W. Bush, tetapi tanpa komitmen pembinaan negara.
“Trump sanggup menjatuhkan pemerintah ia boleh dilakukan dengan cepat dan mudah,” katanya. “Namun beliau jelas tidak mahu menanggung akibat jangka panjang.”
Profesor Devine pula merujuk kepada Strategi Keselamatan Negara AS 2025 yang menegaskan niat Washington untuk menguatkuasakan semula Doktrin Monroe di Hemisfera Barat. “Venezuela ialah kawasan berhampiran Amerika, di mana Washington sanggup menggunakan kekerasan,” katanya. “Iran pula cerita berbeza.”
Doktrin Monroe ialah satu dasar luar Amerika Syarikat yang diperkenalkan pada 1823 oleh Presiden James Monroe, yang pada asasnya menetapkan bahawa Hemisfera Barat (Amerika Utara dan Selatan) adalah kawasan pengaruh Amerika Syarikat dan tidak boleh lagi dicampuri oleh kuasa Eropah.
Namun, beliau mengakhiri dengan peringatan: “Ini Donald Trump. Kita tidak boleh terlalu yakin doktrin rasmi akan menentukan tindakannya.” Penangkapan Maduro katanya mungkin bermula di Caracas, tetapi gema geopolitiknya kini bergema di Teheran dan seluruh Asia Barat, mengubah pengiraan risiko, harapan dan ketakutan di rantau yang sudah pun rapuh. - Agensi berita

