ZAWIYA, LIBYA – Sebuah konvoi besar yang membawa lebih 1,500 aktivis pro-Palestin dari Algeria dan Tunisia telah tiba di Libya dalam misi mencabar sekatan Israel terhadap bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza. Dikenali sebagai Konvoi Soumoud bermaksud ‘keteguhan’ dalam bahasa Arab, kumpulan ini merancang untuk menyeberang ke Jaluran Gaza melalui lintasan Rafah di Mesir.
Konvoi ini memulakan perjalanan dari Algeria, melalui Tunisia, dan kini berada di Zawiya, Libya. Mereka dijangka bergerak ke timur melalui bandar-bandar utama seperti Tripoli, Misrata, Sirte dan Benghazi, sebelum tiba di sempadan Mesir di Saloum. Dari sana, konvoi akan menuju ke Kahirah sebelum cuba menyeberang ke Gaza melalui Rafah.
“Pihak berkuasa Tunisia dan Libya sangat membantu dan melancarkan perjalanan kami,” kata Cik Jamila Sharitah, aktivis dari Algeria. Encik Zayed al-Hamami, seorang lagi peserta, berkata: “Matlamat kami adalah untuk menekan supaya lintasan dibuka dan bantuan dapat dihantar ke Gaza.”
Menurut penganjur konvoi, Encik Terkiya Shayibi, usaha mereka adalah sebahagian daripada gerakan darat, laut dan udara untuk menghantar bantuan ke Gaza. Beliau menegaskan bahawa ancaman atau tindakan ganas terhadap mereka tidak akan mematahkan semangat.
Namun begitu, Israel telah bertindak tegas. Pada 9 Jun, pasukan tentera Israel menahan sebuah bot bantuan yang membawa aktivis termasuk Greta Thunberg. Bot itu ditahan ketika menuju ke Gaza sebagai tanda protes terhadap serangan ketenteraan Israel dan sekatan terhadap bantuan kemanusiaan. Greta Thunberg dan aktivis lain telah dihantar pulang pada 10 Jun.
Kementerian Luar Mesir dalam kenyataan pada 11 Jun menegaskan bahawa sebarang delegasi asing yang ingin menghampiri kawasan sempadan Gaza, termasuk Arish dan Rafah, mesti mendapatkan kelulusan rasmi terlebih dahulu. Ini termasuk visa dan permit khas melalui kedutaan Mesir di luar negara atau menerusi kementerian itu sendiri.
“Mesir tidak akan mempertimbangkan mana-mana permohonan yang dibuat di luar kerangka peraturan rasmi yang ditetapkan,” menurut kenyataan kementerian itu.
Dalam masa yang sama, Israel mendesak Mesir supaya menghalang dua konvoi pro-Palestin daripada menuju ke sempadan Gaza.
Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, berkata: “Saya menjangkakan pihak berkuasa Mesir menghalang kedatangan penunjuk perasaan jihad ke sempadan dan tidak membenarkan mereka menimbulkan provokasi atau cuba memasuki Gaza.”
Encik Katz menambah bahawa tindakan seperti ini mengancam keselamatan askar Israel dan tidak akan dibenarkan sama sekali.
Sejak perang antara Israel dan Hamas meletus 20 bulan lalu, Gaza mengalami kemusnahan besar dan kekurangan bekalan asas. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menyifatkan Gaza sebagai “tempat paling lapar di dunia,” dan pelbagai pihak mendesak agar lebih banyak bantuan dibenarkan masuk.
Di Kahirah, satu lagi kumpulan aktivis dari Global March to Gaza sedang merancang mobilisasi yang berasingan bermula Jumaat, 15 Jun. Sekitar 4,000 peserta dijangka menyertai perarakan ini yang akan bergerak dengan bas ke Arish sebelum berjalan kaki sejauh 50 kilometer ke sempadan Rafah.
Menurut jurucakap delegasi Perancis, Catherine Le Scolan-Quere, beberapa warga Perancis yang tiba di Mesir untuk menyertai acara tersebut telah ditahan sama ada di hotel atau semasa ketibaan di lapangan terbang Kahirah. “Pihak Israel telah mengarahkan Mesir untuk menghalang perarakan ini berlaku di Sinai,” kata Cik Catherine kepada AFP.
Seorang jururawat Perancis berusia 39 tahun, Cik Carolie Laghouati, melaporkan bahawa rakannya bersama sembilan orang lain ditahan oleh polis Mesir di lapangan terbang Kahirah.
“Kami dikurung di sini, mereka suruh kami jangan keluar, mereka tidak beritahu apa-apa, dan pasport kami dirampas,” kata rakannya dalam satu video kepada AFP.
Konvoi ke Gaza ini menjadi simbol desakan antarabangsa agar Israel menamatkan sekatannya yang menghalang bekalan makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas kepada lebih dua juta penduduk Palestin. Walaupun Mesir menyatakan sokongan terhadap tekanan ke atas Israel, ia kekal berhati-hati dalam membenarkan sebarang tindakan yang mungkin mencetuskan ketegangan dengan sekutu lamanya itu.
Situasi ini memperlihatkan bagaimana aktivisme kemanusiaan kini terpaksa bergelut bukan hanya dengan kekejaman perang, tetapi juga birokrasi politik dan halangan diplomatik.
“Apa yang kami lakukan ini bukan demi provokasi, tetapi demi kemanusiaan,” kata Encik Shayibi. “Dan kami tidak akan berhenti di sini.” - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg