KAHIRAH: Ketika Mesir sedang berdepan inflasi tinggi dan nilai mata wang yang merosot, budaya memberi tip – dari restoran hingga hospital pemerintah kini mencerminkan bukan sekadar adat sosial, bahkan satu bentuk ketidaksamaan ekonomi yang semakin ketara.
Jika dahulu ia dianggap tanda terima kasih, kini amalan itu berubah menjadi keperluan yang membebankan jutaan rakyat Mesir.
Dalam kehidupan seharian di Kahirah, memberi tip bukan lagi amalan kecil kepada pelayan atau penghantar makanan semata-mata.
Ia kini merangkumi penjaga tempat letak kereta, jururawat, kerani pemerintah hingga ke penyambut tetamu klinik swasta.
“Inflasi menular ke semua perkara, termasuk tip,” kata pengurus media sosial, Cik Marina Kaldas, 29 tahun.
“Dulu beri 10 hingga 20 pound Mesir ($0.28 hingga $0.55) sudah mencukupi. Sekarang, kalau beri 10 pound, orang tak boleh buat apa-apa dengannya.”
Bapanya yang menghidapi kegagalan ginjal terpaksa dirawat di hospital pemerintah pada Mac lalu.
Cik Kaldas menceritakan bagaimana jururawat enggan membantu pesakit menukar pakaian atau mengambil air sehinggalah mereka mula memberikan tip sekitar 50 pound sehari.
“Saya marah pada awalnya, tapi kemudian faham. Gaji mereka sangat rendah. Mereka perlukan duit tambahan untuk terus hidup.”
Fenomena itu mencerminkan dilema yang mendalam antara simpati terhadap pekerja berpendapatan rendah dan keletihan rakyat biasa yang sudah menanggung beban inflasi, lapor The New York Times.
Fenomena memberi tip atau ‘bakshish’ itu bukan perkara baru dalam budaya Mesir.
Dalam filem klasik, Bittersweet (2010), watak utama, Masry, seorang lelaki Mesir yang pulang ke Kahirah selepas 20 tahun menetap di Amerika terkejut apabila pegawai pemerintah meminta “teh dengan 100 sudu gula” ketika beliau ingin memperbaharui pasportnya.
Ia bukan benar-benar teh, tetapi “bahasa sopan” untuk ‘rasuah kecil’.
“Awak mahu saya bantu, atau mahu ke belakang barisan dengan hati yang tenang?” kata pegawai itu dalam adegan terkenal tersebut.
Namun, yang menarik perhatian penonton Mesir hari ini bukanlah sindiran sosialnya, tetapi nilai ‘rasuah kecil’ itu sendiri.
Pada 2010, sebanyak 100 pound Mesir bersamaan AS$18 ($23).
Kini, selepas beberapa siri penurunan nilai mata wang, jumlah itu hanya bernilai sekitar AS$2 dan jumlah sekecil itu sekalipun kini sukar ditanggung oleh kebanyakan rakyat.
Sejak krisis ekonomi terbaru bermula pada 2022, inflasi Mesir melonjak sehingga 38 peratus pada September 2023, sebelum turun sedikit kepada 11.7 peratus tahun berikutnya selepas Mesir menerima bantuan berbilion dolar daripada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kesatuan Eropah (EU).
Namun, pemulihan masih perlahan dan rakyat terus berasa terhimpit.
Gaji kekal rendah, harga makanan melonjak, dan nilai pound Mesir terus merosot. Akibatnya, kadar tip turut meningkat bukan kerana kemurahan hati, tetapi kerana keperluan hidup.
“Dulu, saya beri tip kecil untuk menunjukkan terima kasih. Sekarang saya beri kerana tahu betapa susahnya hidup,” kata guru bahasa Inggeris di Kahirah, Encik Mai Mohammed Sadek.
Encik Sadek kini memberi antara 10 dengan 15 pound kepada penjaga tempat meletak kereta dan pembungkus barang di pasar raya – meningkat tiga kali ganda daripada sebelum krisis.
“Ia sebahagian budaya kami, tapi niatnya berubah. Sekarang, ia lebih kepada membantu, bukan sekadar berterima kasih.”
Walaupun ada yang menganggap tip sebagai sedekah kecil, ramai juga melihat amalan itu sebagai ‘bentuk rasuah’ yang sudah sebati.
Cik Kaldas menceritakan satu pengalaman lain di pejabat lesen memandu dua tahun lalu.
“Saya lihat orang lain membayar pegawai supaya tak perlu ambil ujian memandu.
“Saya rasa marah sebab ia bahaya, tapi akhirnya saya pun beri tip kepada pegawai yang benarkan saya potong barisan,” akuinya.
Beliau membayar 1,000 pound ketika itu, tetapi mengakui jumlah itu kini mungkin mencecah 1,800 pound.
“Saya tahu ia salah, tapi kadang-kadang sistem itu sendiri memaksa kita.”
Bagi sebahagian rakyat Mesir, membayar untuk mempercepat urusan dianggap lumrah bak satu ‘pelincir sosial’ bagi sistem birokrasi yang perlahan dan penuh halangan.
“Tanpa tip, banyak perkara tidak bergerak,” kata juruteknik komputer, Encik Amr Ahmed, 55 tahun.
Beliau pernah menunggu berjam-jam di klinik perubatan yang sesak sebelum membayar penyambut tamu 50 pound untuk mendapatkan giliran lebih awal.
“Dulu, 5 pound sudah cukup. Sekarang, kalau beri terlalu sedikit, kita pula rasa malu.”
Bagi Encik Sadek, dilema moral itu semakin menonjol.
“Saya faham orang susah perlukan bantuan, tapi bila saya meletak kenderaan sendiri dan seseorang muncul menuntut tip, saya tertanya untuk apa? Dia tak buat apa-apa pun!,” katanya sambil ketawa kecil.
Namun di sebalik rasa jengkel itu, ramai juga yang melihat amalan tip sebagai cara untuk mengekalkan sedikit keseimbangan sosial.
Dalam masyarakat di mana hampir 30 peratus rakyat hidup di bawah garis kemiskinan (mengikut data rasmi 2019, kemungkinan lebih tinggi kini), tip menjadi pengikat antara mereka yang “punya sedikit” dengan mereka yang “langsung tiada”.
“Memberi sedikit kepada orang lain buat saya rasa masih manusia, walaupun ekonomi sedang merudum,” kata Encik Sadek.
Walaupun pemerintah Mesir berusaha menstabilkan ekonomi dengan pinjaman luar dan reformasi subsidi, rakyat biasa terus menanggung beban.
Pemotongan bantuan roti, gas dan elektrik memberi kesan langsung kepada golongan miskin.
Pakar ekonomi tempatan menyifatkan budaya tip yang semakin meluas itu sebagai “gejala ekonomi tidak rasmi” yang tumbuh kerana gaji rendah dan peluang kerja terhad.
Ia bukan sahaja mencerminkan ketidakadilan sosial, bahkan juga kehilangan kepercayaan terhadap sistem rasmi.
“Apabila pegawai pemerintah atau jururawat bergantung pada tip untuk hidup, itu petanda sistem gaji dan perkhidmatan awam sudah runtuh,” kata penganalisis ekonomi di Kahirah, Dr Hany El-Masry.
“Masalahnya, budaya ini akhirnya mengukuhkan ketidaksamaan. Yang kaya boleh membayar, yang miskin terpinggir.”
Bagi ramai rakyat Mesir, tip bukan lagi pilihan. Ia satu ‘kewajipan’ yang tidak tertulis.
Namun di tengah-tengah ekonomi yang kian menekan, perbuatan kecil itu kini menjadi cermin besar kepada realiti sosial negara: Antara maruah dengan kelangsungan hidup.
Dalam krisis ekonomi yang masih tiada penghujung, tip di Mesir bukan lagi sekadar wang kecil yang diserahkan dengan senyuman, tetapi telah menjadi lambang bagaimana kemiskinan, moral dan maruah saling bertarung dan berunding setiap hari di jalanan Kahirah.
“Apabila anda beri tip sekarang, ia bukan tentang sopan santun lagi. Ia tentang bertahan dalam sistem yang sudah rosak,” kata Cik Kaldas. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg