Topik diikuti
Pergi ke BHkuLelaki, 34 tahun, ditahan buat ancaman palsu pasang 11 bom di sekolah Jakarta
Lelaki, 34 tahun, ditahan buat ancaman palsu pasang 11 bom di sekolah Jakarta
Lelaki, 34 tahun, ditahan buat ancaman palsu pasang 11 bom di sekolah Jakarta
JAKARTA: Polis Indonesia menahan seorang lelaki berusia 34 tahun selepas dipercayai menghantar mesej ancaman bom menerusi aplikasi WhatsApp yang mencetuskan panik dan mengganggu hari pertama sesi persekolahan di sebuah sekolah rendah di Jakarta Selatan.
Lelaki yang dikenali sebagai ‘MY’ kini dinamakan sebagai suspek dalam kes ancaman pengganasan selepas siasatan mendapati mesej palsu itu dihantar ke Sekolah Dasar Negeri (SDN) Srengseng Sawah 15 ketika murid Tahun Satu memulakan Minggu Pengenalan Persekitaran Sekolah (MPLS).
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Metro Jakarta Selatan, Penolong Pesuruhjaya Iskandarsyah, berkata polis mempunyai bukti mencukupi untuk menamakan ‘MY’ sebagai suspek.
“Kami telah menamakan seorang suspek. Setakat ini terdapat dua bahan bukti yang mengaitkannya dengan kes ini,” katanya pada 14 Julai.
Menurut polis, ancaman itu dihantar terus kepada seorang guru tahun satu dan seorang kakitangan pentadbiran sekolah ketika guru, murid dan ibu bapa sedang mengikuti program orientasi sesi persekolahan baharu.
Mesej berkenaan memberi amaran bahawa kawasan sekolah akan meletup dalam beberapa minit dan mendakwa 11 bom telah dipasang di beberapa lokasi di dalam kawasan sekolah.
“Selamat pagi. Bersiaplah. Dalam beberapa minit lagi kawasan sekolah akan meletup dan kami telah menyediakan 11 lokasi,” menurut kandungan mesej berkenaan.
Pihak sekolah segera menghubungi polis sebelum semua murid, guru dan kakitangan dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.
Pasukan Unit Pemusnah Bom (Gegana) Polis Negara Indonesia kemudian menjalankan pemeriksaan menyeluruh selama hampir dua jam di seluruh kawasan sekolah.
Bagaimanapun, tiada bahan letupan atau objek mencurigakan ditemui.
Ketua Polis Jagakarsa, Pesuruhjaya Nurma Dewi, berkata laporan mengenai ancaman itu diterima kira-kira 7.30 pagi ketika murid dan guru sedang menghadiri upacara menaikkan bendera sempena hari pertama program orientasi.
Beliau berkata, siasatan awal dapat mengenal pasti individu yang disyaki menghantar mesej ancaman berkenaan sebelum ia tersebar dalam kalangan guru dan kakitangan sekolah.
Cik Nurma berkata, walaupun mesej itu mendakwa terdapat 11 bom di kawasan sekolah, pemeriksaan Unit Gegana tidak menemui sebarang bahan letupan.
“Pemeriksaan telah dijalankan secara menyeluruh dan tiada objek mencurigakan ditemui. Orang ramai diminta menunggu hasil siasatan rasmi,” katanya.
Jurucakap Polis Metro Jaya, Komisioner Kanan Budi Hermanto, turut memberi jaminan bahawa keadaan keselamatan terkawal dan meminta orang ramai tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan.
“Kami meminta masyarakat supaya bertenang dan tidak menyebarkan khabar angin yang boleh mencetuskan kebimbangan,” katanya.
Siasatan polis kemudian mendedahkan bahawa suspek merupakan bapa kepada salah seorang murid yang belajar di sekolah berkenaan.
Pengarah Siasatan Jenayah Polis Metro Jaya, Komisioner Iman Imannudin, berkata MY turut datang ke sekolah untuk mengambil anaknya sejurus selepas menghantar mesej ancaman itu.
“Selepas suspek ditahan, kami mendapati anaknya sendiri belajar di sekolah tersebut. Pada pagi kejadian, dia turut datang mengambil anaknya selepas dimaklumkan mengenai ancaman bom itu,” katanya.
Beliau berkata, siasatan juga mendapati suspek menghantar mesej ancaman yang sama kepada seorang ketua komuniti setempat.
Dalam soal siasat awal, ‘MY’ mendakwa dia menghantar mesej berkenaan sekadar untuk bergurau atau mencuba nasib.
Bagaimanapun, polis tidak menerima bulat-bulat alasan itu dan masih menyiasat motif sebenar di sebalik tindakannya.
“Kami masih menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan sama ada terdapat faktor lain yang mendorong suspek melakukan perbuatan itu,” kata Encik Iskandarsyah.
Menurut polis, pemeriksaan terhadap keadaan mental suspek turut akan dijalankan sebagai sebahagian daripada siasatan.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Metro Jakarta Selatan, Inspektor Alpino De Tech, berkata pakar psikologi forensik akan dilibatkan bersama Kaedah Siasatan Jenayah Saintifik (SCI) bagi membantu mengenal pasti motif sebenar serta kemungkinan penglibatan individu lain.
“Kami akan menggunakan analisis forensik digital, pemeriksaan psikologi forensik dan pendekatan saintifik lain bagi mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai motif suspek,” katanya.
Sehingga kini, MY masih ditahan bagi membantu siasatan.
Jika disabitkan kesalahan mengikut Kanun Keseksaan Indonesia, beliau boleh dikenakan hukuman berat kerana mengeluarkan ancaman keganasan walaupun tiada bahan letupan ditemui di lokasi kejadian. - Agensi berita
