BAITULMAKDIS: Liga Arab dan beberapa negara Arab termasuk Arab Saudi, Jordan dan Qatar mengutuk keras tindakan Menteri Keselamatan Negara Israel, Encik Itamar Ben-Gvir, yang mengetuai lebih 1,300 penduduk Yahudi menyerbu kawasan Masjid Al-Aqsa di bawah kawalan ketat tentera Israel.
Dalam kenyataan rasmi, Sekretariat Liga Arab menyifatkan tindakan itu sebagai “peningkatan berbahaya” dan sebahagian daripada dasar sistematik Israel untuk “membahagikan kawasan suci itu mengikut masa dan kawasan tertentu”, sekali gus mengubah status asal tapak berkenaan yang menjadi antara tempat paling suci bagi umat Islam.
“Langkah ini adalah serangan terang-terangan terhadap sentimen keagamaan berjuta-juta umat Islam di seluruh dunia dan cubaan untuk memaksakan realiti baru di Baitulmakdis yang diduduki melalui kekerasan,” kata Liga Arab.
Liga Arab turut memberi amaran tentang “akibat yang berpotensi mencetuskan ketegangan meluas” akibat provokasi seperti itu, yang berlaku ketika operasi ketenteraan Israel berterusan di Gaza dan keganasan meningkat di Tebing Barat serta Baitulmakdis Timur.
Kementerian Luar Arab Saudi dalam kenyataannya mengecam tindakan Encik Ben-Gvir sebagai pelanggaran terhadap kesucian Masjid Al-Aqsa dan menggesa masyarakat antarabangsa “mengambil tindakan tegas terhadap pihak berkuasa pendudukan Israel atas pelanggaran serius dan berterusan terhadap tapak suci Islam serta penduduk awam Palestin”.
“Kerajaan menolak semua tindakan yang menjejas kedudukan sejarah dan undang-undang Baitulmakdis serta tapak sucinya,” kata kenyataan itu.
Kementerian Luar Jordan pula menyifatkan pencerobohan Encik Ben-Gvir sebagai “pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, satu peningkatan yang boleh menimbulkan provokasi”.
“Israel tidak mempunyai kedaulatan terhadap bandar Baitulmakdis yang diduduki serta tapak suci Islam dan Kristian di dalamnya,” tegas kementerian itu.
Jordan turut memberi amaran tentang akibat serius daripada “pelanggaran provokatif dan haram yang berterusan terhadap tapak-tapak suci”, dan menuntut Israel menghentikan semua tindakan melampau oleh pegawai-pegawai radikal dalam pemerintah.
Dalam masa sama, Kementerian Luar Qatar turut “mengecam sekeras-kerasnya” serbuan berkenaan dan memberi amaran bahawa pelanggaran seperti itu terhadap rakyat Palestin serta tapak suci Islam dan Kristian akan memanjangkan kitaran keganasan di rantau itu”.
Kementerian Luar Palestin berkata: “Ben-Gvir sedang berusaha menggagalkan usaha antarabangsa, termasuk inisiatif Presiden Trump, untuk menghentikan pencerobohan dan perang Israel terhadap rakyat kami di Gaza.”
Menurut saksi dan Jabatan Wakaf Islam di Baitulmakdis, Encik Ben-Gvir, bersama kumpulan peneroka Yahudi itu memasuki pekarangan Masjid Al-Aqsa pada pagi 8 Oktober, melakukan lawatan provokatif dan upacara ritual Talmud bersempena hari kedua perayaan Yahudi Sukkot.
Serbuan ke atas kawasan suci Islam itu lazimnya meningkat ketika musim perayaan Yahudi dan sering diluluskan oleh pejabat Perdana Menteri Israel atas permintaan menteri atau anggota Parlimen Knesset.
Tindakan Encik Ben-Gvir pada kali ini berlaku ketika Israel sedang terlibat dalam rundingan tidak langsung dengan Hamas di Mesir, bagi membincangkan pembebasan baki tebusan Israel di Gaza dan usaha menamatkan perang yang berlarutan hampir dua tahun.
Dalam satu video di lokasi yang dianggap antara paling sensitif di Timur Tengah, Encik Ben-Gvir berkata: “Setiap rumah di Gaza mempunyai gambar Har ha-Bayit (Temple Mount).
“Hari ini, dua tahun kemudian, kami telah menang di Har ha-Bayit. Kami pemilik tempat ini.”
Masjid Al-Aqsa terletak di tengah Kota Lama Baitulmakdis, di atas kawasan yang dikenali oleh penganut Yahudi sebagai Har ha-Bayit atau Temple Mount.
Umat Islam pula memanggil kawasan itu sebagai al-Haram al-Sharif atau Al-Haram Al-Syarif.
Umat Islam menganggap kawasan itu sebagai tempat ketiga paling suci dalam Islam selepas Makkah dan Madinah.
Nama Al-Aqsa merujuk kepada keseluruhan pekarangan terbabit, yang menempatkan dua tempat suci utama umat Islam iaitu Kubah Batu dan Masjid Al-Aqsa, juga dikenali sebagai Masjid Qibli, yang dibina pada abad kelapan.
Beliau turut menggesa Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, agar meneruskan “kemenangan penuh” terhadap Hamas.
“Saya hanya berdoa agar perdana menteri kita memberi kelulusan untuk kemenangan sepenuhnya di Gaza bagi memusnahkan Hamas, mengembalikan tebusan dan mencapai kemenangan mutlak,” katanya.
Encik Ben-Gvir, yang mengetuai parti pelampau, Jewish Power, dikenali dengan pendirian tegar dan sebelum ini pernah mengugut untuk keluar daripada pemerintah Encik Netanyahu jika Hamas tidak dimusnahkan sepenuhnya.
Di bawah perjanjian status quo yang telah dipersetujui sejak beberapa dekad lalu, kawasan Masjid Al-Aqsa ditadbir oleh Wakaf Jordan dan orang Yahudi hanya dibenarkan melawat tetapi tidak boleh bersembahyang di situ.
Namun Encik Ben-Gvir telah berulang kali mencabar peraturan tersebut.
Pada Ogos lalu, beliau turut bersembahyang di kawasan sama sempena hari suci Yahudi Tisha B’Av, menyebabkan Encik Netanyahu terpaksa mengeluarkan kenyataan bahawa Israel tetap komited kepada perjanjian status quo. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg