BAITULMAKDIS: Israel akan membenarkan jemaah berusia lebih 50 tahun dan anak-anak mereka dari Tebing Barat yang didudukinya untuk memasuki perkarangan Masjid Al-Aqsa Baitulmakdis pada hari Jumaat semasa bulan suci Ramadan, kata pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu pada 7 Mac.
Satu kenyataan Israel berkata bahawa bilangan terhad jemaah akan diterima masuk selaras dengan pengaturan tahun 2024 bermula pada hari Jumaat tanpa menyatakan nombor.
Mereka yang dibenarkan ialah lelaki berumur 55 tahun ke atas, wanita berumur 50 tahun ke atas dan kanak-kanak sehingga umur 12 tahun.
Mereka juga mesti lulus saringan keselamatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa Israel.
“Adalah ditegaskan bahawa tidak ada batasan dikenakan terhadap orang Arab Israel”, tambah kenyataan itu.
Al-Aqsa terletak di tengah-tengah Kota Lama Baitulmakdis di atas bukit yang dikenali oleh orang Yahudi sebagai Har ha-Bayit, atau Temple Mount, dan bagi umat Islam di peringkat antarabangsa sebagai al-Haram al-Sharif, atau The Noble Sanctuary.
Orang Islam menganggap tapak itu sebagai yang ketiga paling suci dalam Islam, selepas Makkah dan Madinah.
Al-Aqsa adalah nama yang diberikan kepada keseluruhan perkarangan dan merupakan rumah kepada dua tempat suci umat Islam: Kubah Batu dan Masjid Al-Aqsa, juga dikenali sebagai Masjid Qibli, yang dibina pada abad ke-8.
Minggu ini merupakan hari Jumaat pertama dalam bulan puasa umat Islam.
Pada 2024, semasa konflik di Gaza, Israel mengenakan sekatan ketat terhadap pengunjung ke Al-Aqsa, khususnya rakyat Palestin dari Tebing Barat yang diduduki. Hanya lelaki berumur 55 tahun ke atas dan wanita berusia lebih 50 tahun dibenarkan memasuki kawasan masjid atas alasan keselamatan.
Jurucakap pemerintah Israel, Encik David Mencer, dipetik ketika itu sebagai menyatakan bahawa ribuan anggota polis Israel ditempatkan di seluruh kawasan Kota Lama Baitulmakdis bagi mengawal ketenteraman.
“Apa yang tidak boleh kami benarkan – dan mana-mana negara juga tidak akan membenarkan – ialah individu yang cuba mencetuskan keganasan atau melakukan serangan ke atas orang lain,” tambahnya. - Reuters
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg