MANDALAY: Dalam suasana penuh duka akibat gempa bumi yang meragut lebih 2,700 nyawa di Myanmar, satu detik keajaiban tercipta awal pagi 2 April apabila seorang lelaki ditemui masih hidup di bawah runtuhan sebuah hotel di ibu kota Naypyidaw, lima hari selepas tragedi itu berlaku.
Mangsa, seorang pekerja hotel berusia 26 tahun, diselamatkan oleh pasukan penyelamat gabungan Myanmar-Turkey tepat selepas tengah malam.
Rakaman video yang dimuat naik oleh Jabatan Bomba Myanmar menunjukkan mangsa yang berhabuk dan kelihatan terkejut tetapi masih sedar, dibawa keluar melalui lubang sempit dalam timbunan konkrit sebelum diletakkan di atas pengusung.
“Ini bukti bahawa keajaiban masih boleh berlaku, walaupun peluang semakin tipis,” kata salah seorang anggota penyelamat kepada media tempatan.
Gempa bumi cetek bermagnitud 7.7 yang berlaku pada 28 Mac lalu memusnahkan ratusan bangunan di wilayah tengah Myanmar dan menyebabkan ribuan kehilangan tempat tinggal. Menurut Ketua Junta Myanmar, Min Aung Hlaing, jumlah korban kini meningkat kepada 2,719 orang, manakala lebih 4,500 cedera dan 441 masih hilang.
Namun begitu, usaha bantuan kini terganggu akibat konflik bersenjata yang berlarutan antara tentera junta dan pelbagai kumpulan etnik bersenjata. Komunikasi yang terputus dan kemusnahan infrastruktur turut menyukarkan penyaluran maklumat dan bantuan.
“Kami menyeru semua pihak supaya menghentikan pertempuran dan menumpukan perhatian kepada perlindungan orang awam serta penyampaian bantuan kecemasan,” kata Cik Julie Bishop, Wakil Khas Pertubuhan Bangsabangsa Bersatu (PBB) ke Myanmar.
Walaupun beberapa kumpulan bersenjata utama seperti Three Brotherhood Alliance telah mengumumkan gencatan senjata selama sebulan, dan kumpulan People’s Defence Force (PDF) turut menghentikan sebahagian operasi, serangan udara oleh tentera junta dilaporkan masih berterusan di beberapa kawasan.
Encik Min dalam kenyataannya tetap mempertahankan tindakan ketenteraan mereka, mendakwa bahawa “beberapa kumpulan bersenjata masih sedang merancang serangan dan mensabotaj bekalan elektrik,” justeru Tatmadaw (angkatan bersenjata) akan terus menjalankan “aktiviti pertahanan yang perlu.”
Sementara itu, kerajaan Australia mengecam tindakan tentera Myanmar yang terus menjalankan operasi ketenteraan di tengah-tengah bencana, menyifatkannya sebagai tindakan yang “memburukkan penderitaan rakyat.”
“Kami menggesa rejim tentera untuk menghentikan operasi ketenteraan serta merta dan membenarkan akses penuh bantuan kemanusiaan ke kawasan terjejas,” kata Menteri Luar Australia, Penny Wong.
Amnesty International turut menyelar tindakan junta, menyifatkan serangan ketenteraan sebagai “tidak berperikemanusiaan” dan menambah kesukaran dalam operasi bantuan.
“Anda tidak boleh meminta bantuan dengan satu tangan, dan mengebom dengan tangan yang lain,” tegas Joe Freeman, penyelidik Amnesty di Myanmar.
Di Bangkok, ratusan kilometer dari pusat gempa, pasukan penyelamat terus menggali runtuhan bangunan 30 tingkat yang tumbang akibat gegaran. Sehingga kini, 22 mangsa disahkan maut, manakala lebih 70 lagi masih dipercayai terperangkap. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg