Medan perang Selat Hormuz cetus kejutan ekonomi dunia
Teheran dipercayai pilih strategi gangguan terhad bagi menekan aliran perdagangan dan pertingkat risiko keselamatan pelayaran tanpa menutup sepenuhnya Selat Hormuz
TEHERAN: Selat Hormuz kini muncul sebagai salah satu titik paling genting dalam konflik yang semakin memuncak antara Iran dengan Amerika Syarikat dan sekutunya.
Laluan laut sempit yang menghubungkan Teluk Parsi dengan Laut Arab itu bukan sekadar laluan perdagangan biasa, malah, ia merupakan nadi utama aliran minyak dan gas dunia.
Apabila ketegangan ketenteraan meningkat di kawasan itu, kesannya serta-merta dirasai oleh pasaran tenaga sejagat, syarikat perkapalan, dan ekonomi negara yang bergantung pada bekalan tenaga dari Asia Barat.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, lalu lintas kapal tangki minyak melalui Selat Hormuz dilaporkan merosot dengan ketara selepas beberapa siri serangan peluru berpandu dan dron oleh Iran menyasarkan prasarana tenaga serta kapal komersial di rantau Teluk.
Kejadian itu bukan sahaja mencetuskan kebimbangan keselamatan maritim, malah menimbulkan persoalan lebih besar mengenai kestabilan bekalan tenaga dunia.
Pada 5 Mac, sekurang-kurangnya dua peluru berpandu balistik Iran dilaporkan melanda kilang penapisan minyak BAPCO di Bahrain berhampiran kawasan Ma’ameer sehingga mencetuskan kebakaran.
Pada masa yang sama, beberapa serangan lain dilaporkan berlaku berhampiran Doha di Qatar, selain beberapa kapal tangki yang mengalami kerosakan di perairan Teluk Arab.
Strategi Gangguan Iran Di Selat Hormuz
Kesan gangguan tersebut berlaku dengan pantas.
Laporan industri menunjukkan jumlah kapal tangki yang melalui Selat Hormuz kini hanya sekitar 10 hingga 15 peratus daripada kadar biasa.
Dalam masa yang sama, premium insurans risiko perang bagi kapal yang beroperasi di Teluk melonjak lebih 10 kali ganda.
Beberapa syarikat perkapalan utama pula memilih untuk menggantung operasi mereka melalui laluan itu buat sementara waktu.
Gangguan terhadap prasarana tenaga turut mula menjejas pengeluaran di rantau tersebut.
Pada 2 Mac, syarikat Saudi Aramco dilaporkan menghentikan sementara operasi di beberapa unit di kilang penapisan Ras Tanura, kemudahan penapisan terbesar Arab Saudi dengan kapasiti sekitar 550,000 tong sehari, selepas kerosakan akibat serangan dron.
Pada hari yang sama, QatarEnergy pula menggantung pengeluaran gas asli cecair (LNG) di kompleks Ras Laffan dan Mesaieed, hab eksport LNG terbesar di dunia.
Reaksi pasaran tenaga sejagat berlaku hampir serta-merta.
Harga minyak mentah Brent melonjak sehingga 13 peratus dalam satu hari, melepasi paras AS$100 ($127) setong.
Harga gas asli di Eropah pula meningkat lebih 25 peratus, manakala penanda aras LNG Asia melonjak hampir 40 peratus.
Kebergantungan dunia terhadap Selat Hormuz menjadikan setiap gangguan di kawasan itu amat sensitif pada pasaran sejagat.
Dalam keadaan biasa, kira-kira 14 juta tong minyak mentah sehari melalui laluan tersebut, selain empat juta tong produk petroleum bertapis serta hampir satu perlima bekalan LNG dunia.
Pakar menegaskan walaupun gangguan kelihatan terhad, kesannya boleh mencetuskan kejutan ekonomi yang jauh lebih besar.
Konfrontasi ketenteraan di sekitar Selat Hormuz turut memperlihatkan strategi baharu Iran dalam menghadapi tekanan ketenteraan Barat.
Walaupun Amerika Syarikat dan sekutunya dilapor telah merosakkan sebahagian keupayaan tentera laut konvensional Iran, Teheran menunjukkan ia tidak perlu menutup laluan itu sepenuhnya untuk menjejas perdagangan sejagat.
Imej satelit menunjukkan beberapa kemudahan tentera laut Iran di Bandar Abbas, pelabuhan ketenteraan utama negara itu di Selat Hormuz, telah menjadi sasaran serangan.
Kemudahan milik Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) serta tentera laut biasa dilaporkan mengalami kerosakan, termasuk tapak penyimpanan dron dan dok pembaikan kapal selam.
Namun, walaupun mengalami kerugian ketenteraan, Iran terus melancarkan serangan menggunakan taktik tidak simetri.
Antara 28 Februari dengan 6 Mac, sekurang-kurangnya lapan hingga 10 kapal komersial dilaporkan rosak akibat serangan dron, peluru berpandu atau bot tanpa pemandu di kawasan Selat Hormuz, Teluk Oman dan perairan sekitarnya.
Menurut laporan keselamatan maritim yang dikeluarkan oleh Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) beberapa kejadian melibatkan kapal kargo dan kapal tangki berlaku berhampiran Oman, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kuwait.
Pendekatan Iran dilihat tidak bertujuan menutup Selat Hormuz sepenuhnya, sesuatu yang sukar dilaksanakan walaupun oleh kuasa tentera laut yang besar.
Sebaliknya, Teheran dipercayai memilih strategi gangguan terhad bagi menekan aliran perdagangan dan meningkatkan risiko keselamatan pelayaran tanpa menutup sepenuhnya laluan strategik tersebut.
Zamil Kanan di Institut Asia Barat, Cik Karen Young, berkata tempoh konflik itu akan menjadi faktor utama yang menentukan reaksi pasaran tenaga.
“Persoalan pertama ialah berapa lama konflik ini akan berlanjutan dan sejauh manakah ia mengehadkan jumlah minyak serta gas yang melalui Selat Hormuz,” katanya.
Menurut Cik Young walaupun ketegangan berkurang, ketidakpastian politik selepas konflik masih akan menjejas pasaran.
“Tiada siapa benar-benar tahu bagaimana susunan pentadbiran atau struktur keselamatan yang akan muncul selepas konflik ini dan sama ada ia boleh diterima oleh Washington dan negara Teluk,” tambahnya.
Pengeluaran Minyak Dan Gas Kian Terjejas
Konflik di sekitar Selat Hormuz kini mula diterjemahkan kepada kejutan yang lebih luas dalam pasaran tenaga sejagat.
Serangan terhadap kemudahan tenaga di Teluk telah menyebabkan pengeluaran di beberapa kawasan terganggu.
Editor penyumbang kepada penerbitan tenaga Tinjauan Ekonomi Asia Barat (MEES), Cik Kate Dourian, berkata pasaran setakat ini masih menunjukkan reaksi terkawal, walau gangguan terhadap aliran tenaga amat besar.
“Setakat ini pasaran masih agak tenang walaupun Selat Hormuz terjejas dan beberapa medan minyak terpaksa dihentikan,” katanya.
Namun beliau mengingatkan bahawa skala gangguan sebenarnya sangat besar.
“Kira-kira 19.5 juta tong minyak sehari kini terperangkap di luar laluan sempit itu, dan tiada eksport LNG dari pelabuhan Teluk buat masa ini,” jelasnya.
Harga LNG Asia melonjak melebihi AS$25 bagi setiap juta unit terma British, berbanding sekitar AS$10 sebelum konflik bermula.
Harga gas penanda aras Eropah pula meningkat melebihi 54 euro ($79) bagi setiap megawatt jam.
Salah satu kesan segera adalah gangguan kepada pengeluaran di beberapa negara pengeluar minyak.
Iraq dilaporkan mengurangkan pengeluaran di medan minyak gergasi Rumaila kerana kekurangan kapasiti penyimpanan.
“Iraq ialah negara yang paling terjejas setakat ini dan menjadi pengeluar utama pertama yang terpaksa menutup medan minyak kerana had kapasiti simpanan,” kata Cik Dourian.
Pada 6 Mac, Kuwait juga mula mengurangkan pengeluaran di beberapa medan minyak selepas kemudahan penyimpanan penuh akibat kesukaran mengeksport minyak mentah.
Walaupun terdapat beberapa laluan paip alternatif, kapasitinya masih terhad.
Arab Saudi boleh mengeksport minyak melalui saluran paip Timur-Barat ke pelabuhan Yanbu di Laut Merah, manakala UAE mempunyai saluran paip ke Fujairah.
Namun, laluan tersebut hanya mampu menampung sebahagian kecil jumlah eksport Teluk.
“Had kapasiti saluran paip bermakna pengeluar tidak dapat mengeksport jumlah penuh minyak mereka,” jelas Cik Dourian.
Asia Paling Terdedah Kepada Krisis Bekalan Tenaga
Gangguan di Selat Hormuz memberi kesan paling besar kepada Asia, yang sangat bergantung kepada import tenaga dari Teluk.
Negara seperti China, Jepun, Korea Selatan dan India menerima sebahagian besar minyak mentah dan LNG mereka melalui laluan itu.
Zamil bersekutu di Chatham House, Encik Ahmed Aboudouh, berkata China telah mengambil langkah mengurangkan kesan jangka pendek krisis ini.
“China telah lama meningkatkan simpanan strategiknya,” katanya.
Menurut beliau, pada 2025 sahaja China membeli tambahan kira-kira 430,000 tong minyak sehari untuk disimpan dalam rizab strategik.
“Penghantaran bagi Mac dan April telah dibayar lebih awal, jadi China tidak akan menghadapi gangguan segera,” jelasnya.
Namun dalam jangka panjang, risiko tetap wujud.
Iran mengeksport kira-kira 1.4 juta tong minyak sehari ke China pada 2025, kebanyakannya dijual dengan harga diskaun kepada kilang penapisan kecil.
“Diskaun ini sangat penting kepada banyak kilang penapisan bebas di China,” kata Encik Aboudouh.
Jika bekalan Iran terganggu, kilang-kilang itu terpaksa membeli minyak pada harga pasaran yang jauh lebih tinggi.
Beliau menambah bahawa syarikat insurans dan perkapalan kemungkinan besar akan terus berhati-hati untuk menghantar kapal melalui Selat Hormuz walaupun konflik mereda.
“Perdebatan mengenai keselamatan tenaga kini semakin kuat di Beijing,” katanya.
Menurut beliau, penggubal dasar China kini menilai semula kebergantungan negara itu kepada Asia Barat yang menyumbang sekitar 45 hingga 46 peratus daripada import tenaga mereka.
Bagi penganalisis Timur Tengah, Encik Francesco Salesio Schiavi, krisis itu menunjukkan betapa rapuhnya sistem tenaga sejagat apabila satu laluan strategik terganggu.
Selat Hormuz, katanya, kekal sebagai arteri utama yang menghubungkan pengeluar tenaga Teluk dengan pasaran Asia.
Jika gangguan berterusan, kesannya bukan sahaja akan dirasai oleh negara pengeluar dan pengguna tenaga, bahkan juga ekonomi sejagat yang bergantung kepada kestabilan laluan perdagangan tersebut. – Agensi berita.

