Konflik Timur Tengah goncang ekon dunia, rantaian bekalan terjejas
Konflik Timur Tengah goncang ekon dunia, rantaian bekalan terjejas
TEHERAN: Letupan bom yang terus berlaku di Iran dan rantau Asia Barat bukan sahaja meragut nyawa dan memusnahkan infrastruktur, malah turut memberi kesan besar kepada ekonomi antarabangsa, menjejas kehidupan dan perniagaan di pelbagai negara.
Di Kansas, Amerika Syarikat, kadar gadai janji 30 tahun dilaporkan meningkat melebihi 6 peratus sekali gus menambah beban kepada pembeli rumah.
Di India pula, beberapa keluarga yang ingin menguruskan pengebumian mendapati krematorium berasaskan gas terpaksa ditutup sementara kerana kekurangan bekalan.
Pada masa sama di Hanoi, Vietnam, beberapa stesen minyak memaparkan tanda “kehabisan stok”.
Di Kenya, pengusaha teh bimbang penghantaran eksport mereka ke Iran akan tergendala, sekali gus meningkatkan risiko produk itu rosak sebelum sampai ke pasaran.
Petani di Amerika, Canada, Eropah, Britain dan Mexico terpaksa berdepan kenaikan mendadak harga baja.
Keadaan ini menunjukkan bagaimana konflik yang tercetus di Iran kini memberi kesan jauh melangkaui medan perang.
Perang yang semakin meluas di Timur Tengah memberikan tekanan besar kepada ekonomi dunia yang sebelum ini sudah terjejas oleh gangguan perdagangan global, perang di Ukraine serta ketidaktentuan dasar ekonomi Amerika.
Menurut mantan diplomat Amerika dan pegawai Jabatan Tenaga negara itu, Encik David Goldwyn, penutupan Selat Hormuz merupakan antara senario paling membimbangkan bagi pasaran tenaga dunia.
“Ini benar-benar krisis besar yang paling ditakuti,” katanya.
Selat Hormuz merupakan laluan perkapalan paling penting bagi perdagangan minyak global. Gangguan di laluan tersebut menyebabkan penghantaran kargo tertangguh, kos penghantaran meningkat dan premium insurans perkapalan melonjak.
Kesan kenaikan harga tenaga tidak hanya dirasai di stesen minyak, tetapi turut menjejas harga makanan, ubat-ubatan, tiket penerbangan, elektrik, minyak masak dan komponen elektronik seperti semikonduktor.
Ketua Pegawai Eksekutif Saudi Aramco, Encik Amin Nasser, memberi amaran bahawa konflik berpanjangan antara Amerika dengan Iran boleh membawa kesan besar kepada pasaran tenaga dunia.
“Perang yang berlarutan boleh membawa kesan yang amat buruk kepada pasaran minyak global dan ekonomi dunia,” katanya.
Perang ini bermula pada 28 Februari selepas Amerika dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran.
Walaupun konflik tersebut mungkin berakhir dalam tempoh singkat, para pakar memberi amaran bahawa kesannya boleh berlanjutan lebih lama.
Peniaga kecil dan syarikat besar kini terpaksa menilai semula rantaian bekalan mereka, menghadapi kenaikan kos dan menyesuaikan diri dengan sekatan perdagangan yang berubah-ubah. Ketidaktentuan ini turut menjejaskan keyakinan pengguna dan pelabur.
Pengguna menjadi lebih berhati-hati untuk berbelanja, manakala syarikat pula lebih berhati-hati untuk melabur.
Menurut ahli sejarah ekonomi Amerika, Profesor Meg Jacobs, krisis tenaga pada masa lalu menunjukkan kesan konflik boleh berlarutan bertahun-tahun.
Beliau merujuk kepada krisis minyak tahun 1973 dan 1974 yang menyebabkan harga minyak kekal tinggi untuk tempoh lama.
“Harga minyak tidak kembali turun dengan segera selepas embargo itu berakhir,” katanya.
Walaupun keadaan bekalan minyak dunia hari ini lebih pelbagai berbanding dahulu, krisis tenaga tetap boleh mencetuskan perubahan besar dalam ekonomi global.
Profesor Jacobs juga memberi amaran bahawa konflik semasa mungkin memberi kelebihan kepada Russia.
Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mula melonggarkan beberapa sekatan terhadap eksport minyak Russia yang sebelum ini dikenakan berikutan perang di Ukraine.
Harga minyak yang lebih tinggi berpotensi membantu mengukuhkan ekonomi Russia serta membiayai operasi ketenteraannya.
Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, dilaporkan turut mengkritik pemimpin Eropah yang sebelum ini menyokong sekatan terhadap tenaga Russia.
Krisis ini juga mengingatkan dunia tentang kelemahan rantaian bekalan global.
Eropah baru sahaja berusaha mengurangkan kebergantungan terhadap minyak dan gas Russia selepas perang di Ukraine.
Kini rantau tersebut sekali lagi berdepan tekanan tenaga.
Negara seperti Jerman yang mempunyai industri kimia, farmaseutikal dan automotif yang memerlukan banyak tenaga dijangka paling terjejas.’
Menurut Encik Goldwyn, negara Eropah juga mungkin terpaksa menambah simpanan gas secara besar-besaran.
“Tindakan mengisi semula simpanan gas secara panik boleh menyebabkan harga kekal tinggi dalam tempoh beberapa bulan akan datang,” katanya.
Ekonomi Asia pula lebih terdedah kerana banyak negara bergantung kepada import tenaga.
Negara berpendapatan rendah dan sederhana turut terkesan oleh perubahan kadar pertukaran mata wang.
Apabila dolar Amerika atau euro mengukuh, kos import mereka meningkat dengan ketara.
Bank pusat di seluruh dunia kini berdepan keputusan sukar.
Mereka perlu memilih sama ada menaikkan kadar faedah bagi mengawal inflasi yang meningkat akibat harga tenaga atau menurunkannya untuk merangsang pertumbuhan ekonomi.
Ahli ekonomi bank ING, Encik Carsten Brzeski, berkata perubahan kadar faedah juga boleh menjejaskan pasaran saham global. “Ini berpotensi mencetuskan pembetulan mendadak dalam pasaran saham,” katanya.
Menurut Ketua Ahli Ekonomi Capital Economics, Encik Neil Shearing, keputusan Amerika untuk melancarkan perang ke atas Iran menunjukkan negara itu masih melihat dirinya sebagai kuasa global yang bersedia menggunakan kekuatan ketenteraan untuk mencapai kepentingan politik dan ekonomi.
“Keputusan ini mempunyai implikasi besar kepada ekonomi global,” katanya. – Agensi berita

