AMMAN: Beberapa Menteri Ehwal Luar dari negara Arab, pada 31 Mei, mengecam keputusan Israel menghalang mereka melawat Tebing Barat yang didudukinya pada hujung minggu ini.
Menurut kenyataan Kementerian Ehwal Luar Jordan, kumpulan menteri itu mengecam keputusan Israel melarang lawatan delegasi ke Ramallah pada 1 Jun bagi bertemu Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas.
Lawatan itu dijangka disertai Menteri Ehwal Luar dari Arab Saudi, Mesir, Jordan dan Bahrain, bersama Setiausaha Agung Liga Arab.
Namun, Israel pada malam 30 Mei, mengumumkan pihaknya tidak akan memberi kerjasama, sekali gus menyekat lawatan itu kerana ia menguasai sempadan dan ruang udara wilayah berkenaan.
Seorang pegawai Israel berkata, Encik Abbas berniat menganjurkan pertemuan provokatif (mencetuskan kemarahan) bersama beberapa Menteri Ehwal Luar negara Arab untuk membincangkan penubuhan sebuah negara Palestin dan menuduh cadangan itu sebagai ancaman kepada keselamatan Israel.
“Negara sebegitu sudah pasti akan menjadi sebuah negara pengganas di tengah-tengah tanah Israel. Israel tidak akan bekerjasama dengan sebarang usaha yang bertujuan membahayakan negara dan keselamatannya,” kata pegawai itu lagi.
Dalam pada itu, Kementerian Ehwal Luar Palestin pula menyuarakan ‘kebimbangan serius’ dan menyifatkan tindakan Israel itu sebagai ‘pelanggaran nyata terhadap tanggungjawabnya di bawah undang-undang antarabangsa sebagai kuasa pendudukan’.
Sekiranya lawatan itu diteruskan, Ketua Delegasi, Putera Faisal Farhan, akan menjadi Menteri Ehwal Luar Saudi pertama yang melawat Tebing Barat.
Pada minggu ini, Israel mengumumkan penubuhan 22 penempatan baru Yahudi di Tebing Barat, yang dianggap haram di sisi undang-undang antarabangsa, dan menjadi antara halangan utama kepada perdamaian jangka panjang antara Israel dengan Palestin.
Dalam lawatan ke salah satu lokasi penempatan baru pada 30 Mei, Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, berikrar untuk membina sebuah ‘negara Yahudi Israel’ di wilayah Palestin.
Dalam pada itu, beliau menyindir negara-negara asing, yang menurutnya, hanya akan ‘mengiktiraf negara Palestin di atas kertas’.
“Kertas itu akan dibuang ke ‘tong sampah’ sejarah dan negara Israel akan terus berkembang dan makmur,” katanya.
Pada bulan ini (Jun), Arab Saudi dan Perancis dijadualkan mempengerusikan bersama satu persidangan antarabangsa di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertujuan menghidupkan semula penyelesaian dua negara dalam konflik Israel-Palestin.
Namun, pemerintah de fakto Arab Saudi, Putera Mahkota Mohammed Salman, berulang kali menegaskan negaranya tidak akan mengiktiraf Israel tanpa penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg