RAMALLAH: Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) secara rasmi telah meluluskan penubuhan jawatan naib presiden dalam satu undian penting yang diadakan pada 24 April.
Ia sekali gus membuka jalan kepada kemungkinan peralihan kuasa dalam kepimpinan Palestin yang sudah sekian lama diterajui Presiden Mahmoud Abbas.
Langkah bersejarah itu diluluskan dalam Konvensyen Majlis Pusat PLO yang berlangsung di Ramallah sejak 23 April, dengan 170 daripada 188 anggota yang hadir mengundi menyokong penciptaan jawatan tersebut.
Ia turut disahkan oleh agensi berita rasmi Palestin, Wafa.
Menurut salah seorang anggota Majlis Pusat PLO, Encik Rizq Namoura, keputusan itu dibuat selepas perbincangan mendalam dan menerima sokongan hampir sebulat suara.
“Undian telah dijalankan untuk mewujudkan jawatan naib presiden. Ini kali pertama dalam sejarah organisasi ini kami membentuk struktur kepimpinan seperti ini,” katanya kepada Palestine TV.
Penubuhan jawatan baru itu dilihat sebagai tindak balas kepada desakan antarabangsa selama bertahun-tahun agar PLO dan Penguasa Palestin (PA) melakukan perubahan politik dan institusi, khususnya dalam konteks usaha membangunkan struktur pentadbiran baru pascaperang di Gaza.
Presiden Abbas, yang kini berusia 89 tahun, telah memimpin PA sejak 2005 dan menjadi pengerusi PLO, badan utama yang mewakili rakyat Palestin di peringkat antarabangsa.
Beliau memegang jawatan Presiden PA sejak 2005, susulan kematian pemimpin Palestin, Yasser Arafat.
Encik Abbas kemudian dipilih bagi penggal empat tahun pada 2006, namun tiada pilihan raya presiden diadakan sejak itu.
Beliau sebelum ini mengumumkan niat menubuhkan jawatan naib presiden semasa Sidang Kemuncak Kahirah pada Mac, yang membincangkan masa depan Gaza selepas konflik semasa.
Penganalisis politik Palestin, Encik Aref Jaffal, yang juga pengarah Pusat Pemantauan Pilihan Raya Al-Marsad, melihat langkah itu sebagai satu percubaan awal untuk mencari pengganti Encik Abbas.
“Sistem politik Palestin ketika ini sangat lemah dan memerlukan pemulihan struktur. Penubuhan jawatan ini adalah isyarat jelas Abbas sedang menyediakan pelapis,” katanya.
Namun, langkah itu turut mencetuskan kontroversi dan ketegangan politik dalaman.
Beberapa sayap utama dalam PLO termasuk Barisan Popular Pembebasan Palestin (PFLP), Barisan Demokratik bagi Pembebasan Palestin (DFLP) dan Inisiatif Nasional Palestin bertindak meninggalkan konvensyen pada 24 April sebagai tanda bantahan terhadap keputusan tersebut.
Tokoh kanan DFLP, Encik Ramzi Rabah, menyatakan bahawa sesi itu diadakan atas desakan kuasa asing, khususnya Amerika Syarikat, yang menurut beliau sedang menggunakan alasan pembaharuan untuk mencampuri urusan Palestin.
“Sesi ini diadakan di bawah tekanan Barat. Perkataan ‘pembaharuan’ digunakan sebagai alat untuk melemahkan perjuangan nasional kita,” katanya.
Hamas, kumpulan yang kini sedang berperang dengan Israel di Gaza dan tidak diiktiraf dalam struktur PLO, turut mengecam langkah tersebut.
“Langkah ini menambah lagi perpecahan, mengukuhkan sikap sepihak dan menghampakan harapan rakyat terhadap perpaduan nasional,” kata Hamas dalam satu kenyataan rasmi.
Mereka mengulangi iltizam untuk membina semula PLO berdasarkan asas nasional dan demokrasi yang bersifat terangkum.
Walaupun terdapat tentangan dalaman dan kecaman dari luar, Encik Abbas, mempertahankan keputusan tersebut, dengan menyatakan penubuhan jawatan naib presiden akan memperkukuh institusi kenegaraan Palestin dan memberi mesej positif kepada masyarakat antarabangsa.
“Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh struktur pentadbiran dan meningkatkan pengiktirafan sejagat terhadap negara Palestin,” katanya.
Secara teknikal, jawatan naib presiden akan mengambil alih sebagai pemangku ketua PLO dan Negara Palestin jika Encik Abbas meletak jawatan atau meninggal dunia.
Negara Palestin kini diiktiraf oleh hampir 150 negara di seluruh dunia, walaupun tidak diiktiraf sebagai negara anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Langkah mewujudkan jawatan naib presiden dilihat oleh beberapa pengamat politik sebagai usaha menunjukkan kuasa sedang dialihkan secara terancang, walaupun terdapat pandangan ia lebih bersifat kosmetik daripada pembaharuan sebenar.
Dengan krisis kewangan PA yang semakin meruncing, serta peningkatan tekanan antarabangsa selepas serangan Hamas ke atas Israel dan perang berterusan di Gaza, negara-negara penderma mula mengaitkan bantuan kewangan dengan pelaksanaan pembaharuan institusi yang konkrit. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg