Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mogok besar lumpuhkan Tebing Barat: Solidariti buat Gaza

Apr 8, 2025 | 10:33 AM
Deretan kedai di bandar Nablus, Tebing Barat, kelihatan sunyi dan ditutup pada 7 April, sempena mogok umum yang dilancarkan bagi membantah serangan udara berterusan oleh Israel ke atas Gaza.
Deretan kedai di bandar Nablus, Tebing Barat, kelihatan sunyi dan ditutup pada 7 April, sempena mogok umum yang dilancarkan bagi membantah serangan udara berterusan oleh Israel ke atas Gaza. - Foto EPA-EFE

BAITULMAKDIS: Kehidupan seharian di Tebing Barat yang diduduki terhenti seketika pada 7 April apabila mogok besar-besaran dilancarkan sebagai solidariti terhadap penduduk Gaza yang terus menjadi mangsa serangan Israel.

Dari bandar besar ke kem pelarian, seluruh wilayah menyaksikan penutupan sekolah, institusi kewangan, pengangkutan awam dan premis perniagaan.

Mogok ini dianjurkan oleh gabungan parti politik Palestin, termasuk Fatah dan Hamas, sebagai tindak balas terhadap apa yang mereka sifatkan sebagai pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Zionis di Gaza.

Menurut laporan agensi Anadolu, semua sekolah pemerintah dan swasta, termasuk bank, menutup operasi mereka sebagai tanda sokongan kepada seruan mogok nasional ini. Di Baitulmakdis Timur, jalan beli-belah terkenal seperti Jalan Salaheddin turut lengang dan sunyi.

“Kami lihat sambutan penuh terhadap mogok hari ini (7 April) di seluruh Tebing Barat, yang belum pernah berlaku sejak perang Gaza bermula pada 7 Oktober 2023,” kata seorang pegawai keselamatan Palestin yang enggan dinamakan.

Perhimpunan besar-besaran turut dirancang di beberapa bandar seperti Ramallah, lokasi ibu pejabat Penguasa Palestin (PA). Di tempat lain, termasuk Nazareth, aktivis dan penduduk berhimpun secara aman sambil membawa bendera Palestin serta sepanduk mendesak agar perang dihentikan segera.

Mogok ini mendapat sokongan kuat daripada rakyat biasa dan kumpulan-kumpulan pelajar, bukan sahaja di wilayah Palestin, tetapi juga di negara-negara jiran dan serantau.

Di Beirut, Lebanon, ratusan pelajar Universiti Amerika Beirut berhimpun sambil melaungkan slogan “Boikot Penaja Pembunuhan Beramai-ramai.” Di Sidon, penunjuk perasaan berkumpul di jalan-jalan utama. Di Tunisia pula, pelajar mengadakan demonstrasi di hadapan Kedutaan Perancis semasa lawatan Presiden Emmanuel Macron ke Kahirah.

Seruan mogok ini disampaikan sehari sebelumnya melalui kenyataan bersama kumpulan nasional dan Islam Palestin, yang menyeru “mogok menyeluruh dalam semua aspek kehidupan di wilayah Palestin yang diduduki dan diaspora.” Mereka menggesa masyarakat antarabangsa supaya segera menghentikan pembunuhan beramai-ramai dan tindakan sistematik Israel yang disifatkan sebagai usaha untuk mengusir rakyat Palestin dari tanah air mereka.

“Ini bukan hari untuk duduk di rumah. Ini adalah hari bertindak,” kata Encik Issam Bakr dari Jawatankuasa Penyelaras Faksi Palestin kepada media Al-Araby Al-Jadeed. “Mesej ini sangat jelas — dunia mesti bertindak untuk melindungi rakyat Palestin.”

Israel melancarkan semula serangan ke atas Gaza pada 18 Mac lalu, menghancurkan gencatan senjata yang sebelum ini berkuat kuasa selama hampir dua bulan. Serangan tersebut dikatakan sejajar dengan usaha pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk mengusir rakyat Palestin dari Gaza. Sejak serangan terbaru itu, ratusan rakyat Palestin terbunuh setiap minggu, dengan majoritinya wanita dan kanak-kanak.

Statistik rasmi terkini dari Pejabat Media Pemerintahan Gaza menyatakan bahawa lebih 61,700 rakyat Palestin telah terbunuh di Gaza sejak 7 Oktober 2023. Sementara itu, di Tebing Barat, lebih 918 orang terbunuh akibat tindakan ketenteraan dan penempatan haram Israel, menurut Kementerian Kesihatan Palestin. Dalam tempoh sama, sekurang-kurangnya 33 rakyat Israel dilaporkan terkorban dalam serangan balas.

Israel kini sedang berdepan siasatan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) serta Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan. ICC turut mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant.

Mogok global ini, yang turut disambut di negara seperti Turkey, Jordan, Mesir dan Bangladesh, mencerminkan kemarahan yang semakin memuncak di seluruh dunia terhadap kekejaman Israel dan kegagalan masyarakat antarabangsa mengambil tindakan tegas.
“Kami tidak akan berdiam diri sementara rakyat kami dibunuh setiap hari,” tegas seorang penunjuk perasaan di Ramallah. “Suara kami akan terus bergema di seluruh dunia.” - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg