Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ratusan sertai protes anti-Hamas di Gaza

Mar 26, 2025 | 10:44 AM
Penduduk Palestin menghadiri satu perhimpunan bagi menuntut penamatan perang, di Beit Lahia, utara Jaluran Gaza, pada 25 Mac 2025. Ratusan penduduk Palestin melaungkan slogan anti-Hamas dalam protes di utara Gaza pada tarikh yang sama, menuntut supaya perang dengan Israel ditamatkan.
Penduduk Palestin menghadiri satu perhimpunan bagi menuntut penamatan perang, di Beit Lahia, utara Jaluran Gaza, pada 25 Mac 2025. Ratusan penduduk Palestin melaungkan slogan anti-Hamas dalam protes di utara Gaza pada tarikh yang sama, menuntut supaya perang dengan Israel ditamatkan. - Foto AFP

GAZA: Ratusan penduduk Palestin turun ke jalan-jalan di utara Gaza pada 25 Mac dalam satu protes awam yang jarang berlaku menentang kumpulan Hamas, menandakan tahap kemarahan rakyat yang semakin memuncak terhadap kepimpinan mereka selepas lebih setahun perang berdarah dengan Israel.

Demonstrasi di Beit Lahiya menyaksikan penunjuk perasaan melaungkan slogan seperti “keluar, keluar, Hamas keluar” dan membawa plakad menuntut diakhiri peperangan serta peletakan jawatan kepimpinan Hamas.

Tindakan itu dianggap luar biasa memandangkan Hamas terkenal dengan sikap keras terhadap mana-mana bentuk bantahan awam sejak menguasai Gaza sepenuhnya pada tahun 2007.

Rakaman video yang disahkan The New York Times menunjukkan puluhan pemuda berarak di kawasan jalan yang separa musnah sambil mengangkat sepanduk.

Sesetengah peserta turut melaungkan slogan menentang Ikhwanul Muslimin, sebuah pertubuhan yang mempunyai hubungan ideologi dengan Hamas.

Seorang peserta protes, Encik Ahmed al-Masri, 35 tahun, seorang buruh binaan yang menyertai demonstrasi itu berkata: “Kami akan terus bersuara sehingga pertumpahan darah dihentikan dan Hamas berundur dari kancah politik Palestin. Sudah cukup penderitaan ini.”

Protes ini tercetus beberapa hari selepas Israel menyambung semula kempen ketenteraan di Gaza, berikutan berakhirnya gencatan senjata selama dua bulan. Israel mendakwa Hamas enggan menerima cadangan baru yang disokong oleh Amerika Syarikat untuk melanjutkan tempoh gencatan.

Walaupun ramai rakyat Gaza secara terbuka menyalahkan Israel atas kemusnahan, kebuluran dan kehilangan nyawa yang dialami sejak 7 Oktober 2023, semakin ramai juga yang mula menyalahkan Hamas kerana memulakan konflik melalui serangan ke atas Israel yang membunuh kira-kira 1,200 orang dan membawa kepada penculikan 251 orang awam serta tentera ke Gaza.

Encik Ibrahim, 32 tahun, penduduk tempatan yang menyertai tunjuk perasaan itu berkata:

“Saya datang untuk beli makanan, tetapi ternampak orang ramai berkumpul dan menyertai mereka. Mesej kami jelas Hamas perlu hentikan perang dan keluar dari Gaza.”

Hamas belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung demonstrasi ini. Bagaimanapun, penyokong mereka cuba menafikan kepentingan perhimpunan itu dan menuduh peserta sebagai pengkhianat.

Sejak mengambil alih Gaza, Hamas sering bertindak tegas terhadap pengkritik. Laporan Human Rights Watch pada 2018 mendakwa kumpulan itu secara rutin menangkap penentangnya.

Kritikan terhadap Hamas semakin lantang sejak perang bermula, bukan sahaja di jalanan, tetapi juga di media sosial. Namun begitu, ketakutan terhadap tindakan balas menyebabkan ramai memilih untuk mendiamkan diri.

Encik Mohammed Diab, salah seorang peserta protes yang kehilangan rumah dan abangnya akibat perang berkata: “Kami enggan mati demi mana-mana pihak. Hamas mesti berundur dan mendengar suara yang datang dari bawah runtuhan, suara orang biasa yang telah hilang segalanya.”

Lebih 50,000 nyawa penduduk Palestin terkorban sejak Israel melancarkan operasi ketenteraan balas terhadap Hamas.

Anggaran menunjukkan kira-kira 70 peratus bangunan di Gaza telah musnah atau rosak teruk, manakala lebih dua juta penduduknya kehilangan tempat tinggal, banyak yang berpindah berkali-kali.

Sistem kesihatan, air dan sanitasi juga lumpuh sepenuhnya. Bekalan makanan, ubat-ubatan dan bahan api semakin sukar diperoleh. Dalam suasana yang semakin kritikal ini, ramai penduduk mulai merasakan bahawa kepimpinan sedia ada telah gagal.

Encik Mohammed al-Najjar, seorang penduduk Gaza menulis di Facebook:
“Apa yang sebenarnya sedang diperjuangkan oleh Hamas? Mereka mempertaruhkan darah kami – darah yang dianggap dunia hanya sekadar angka. Bahkan mereka sendiri anggap kami sebagai angka. Berundurlah dan biarkan kami membina semula kehidupan kami.”

Encik Helal Warshagha, 27 tahun, seorang aktivis dari Beit Lahiya menegaskan: “Selagi tiada perubahan, perang akan terus menghantui masa depan kami. Kami dahagakan keamanan sebenar, bukan sekadar retorik. Rakyat sudah terlalu letih — dunia wajib mendengar jeritan kami yang terpendam sekian lama.” - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg