Topik diikuti
Pergi ke BHkuNegara nilai semula strategi diplomasi hadapi AS yang sukar dijangka
Negara nilai semula strategi diplomasi hadapi AS yang sukar dijangka
Negara nilai semula strategi diplomasi hadapi AS yang sukar dijangka
ANKARA: Persidangan Diplomasi Antalya di Turkey yang berlangsung dari 17 hingga 19 April menjadi pentas penting untuk memahami perubahan landskap geopolitik sejagat.
Secara khusus, bagaimana negara kuasa pertengahan mula memikirkan semula strategi diplomasi mereka dalam menghadapi Amerika Syarikat yang semakin dilihat sebagai tidak menentu.
Walaupun Amerika jarang disebut secara rasmi dalam sesi perbincangan, bayang-bayang kuasa besar itu jelas mempengaruhi hampir setiap wacana.
Dalam kalangan pemimpin dan pegawai kanan dari Eropah, Timur Tengah, Afrika dan Asia, persoalan utama yang timbul adalah bagaimana untuk berinteraksi dengan sebuah kuasa yang masih penting tetapi pada masa yang sama, sukar dijangka.
Zamil Kanan di Chatham House, Encik Galip Dalay, merumuskan dilema itu dengan jelas:
“Amerika Syarikat masih tidak dapat digantikan bagi ramai aktor serantau, tetapi pada masa yang sama ia tidak boleh dipercayai dan bersifat memaksa.
“Bagaimana kita berurusan dengan kuasa yang penting, memaksa dan tidak menentu pada masa yang sama?”
Kenyataan itu mencerminkan keresahan yang semakin meluas terhadap dasar luar Washington, khususnya di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump yang dilihat semakin menyimpang daripada norma tradisional.
Langkah seperti mengkritik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mengancam untuk menarik diri daripada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), serta mengurangkan penekanan terhadap hak asasi manusia telah menimbulkan ketidakpastian dalam kalangan sekutu lama.
Namun, titik perubahan paling ketara adalah perang antara Amerika, Israel dan Iran.
Konflik tersebut bukan sahaja menggugat kestabilan serantau, malah memberi kesan langsung kepada sekutu Amerika sendiri.
Pakar Ekonomi di RBC BlueBay Asset Management, Encik Timothy Ash, menyatakan bahawa tindakan Washington telah mencetuskan persoalan besar.
“Tindakan Amerika di Iran bertentangan dengan kepentingan sekutunya. Ini menguatkan idea bahawa perlu ada alternatif kepada Amerika,” katanya.
Dalam konteks ini, Persidangan Antalya bukan sekadar forum diplomatik biasa, malah, medan bagi Turkey memperlihatkan wawasannya sebagai kuasa pengantara yang berpengaruh.
Presiden Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, dalam ucapan pembukaan menegaskan bahawa sistem sejagat kini berada dalam “krisis moral dan kewujudan”.
Beliau turut mengulangi kritikannya terhadap struktur Majlis Keselamatan PBB dengan menyatakan bahawa “dunia lebih besar daripada lima,” merujuk kepada lima anggota tetap yang memegang kuasa veto.
Menteri Luar Turkey, Encik Hakan Fidan, pula menekankan keperluan negara serantau bertanggungjawab sendiri.
“Jika rantau ini terus menunggu penyelamat, kita akan terus berdepan masalah tanpa kesudahan. Negara-negara perlu bersama-sama mengurus isu serantau,” ujarnya.
Seruan itu mencerminkan peralihan pemikiran yang kian ketara dalam kalangan kuasa pertengahan, iaitu negara yang tidak cukup kuat untuk mendominasi sistem sejagat, tetapi cukup berpengaruh untuk membentuk dinamik serantau.
Dalam keadaan kuasa besar seperti Amerika dilihat semakin tidak tekal, negara ini mula mencari pendekatan alternatif melalui kerjasama serantau.
Contoh jelas pendekatan itu dapat dilihat melalui pertemuan empat hala antara menteri luar Turkey, Arab Saudi, Mesir dan Pakistan di luar sidang utama.
Perbincangan tersebut bertujuan memperkukuh kerjasama dalam menangani cabaran serantau tanpa bergantung sepenuhnya pada kuasa luar.
Namun, realiti geopolitik menunjukkan usaha itu mempunyai batasan.
Walaupun terdapat keinginan untuk berdikari, kebanyakan negara masih bergantung kepada Amerika dari segi keselamatan dan kestabilan strategik.
Encik Dalay menegaskan bahawa walaupun terdapat usaha membentuk pakatan baharu, ia kemungkinan besar akan tetap berada dalam lingkungan yang tidak bercanggah dengan kepentingan Washington.
Keadaan itu menimbulkan paradoks: Negara serantau ingin mengurangkan kebergantungan pada Amerika, tetapi pada masa yang sama, tidak mempunyai alternatif yang setanding.
Ini menjadikan usaha membina autonomi strategik satu proses kompleks dan berisiko.
Selain itu, konflik Iran turut mendedahkan ketegangan dalam kalangan sekutu Amerika sendiri.
Menteri Luar Jordan, Encik Ayman Safadi, menyuarakan kekecewaannya dengan jelas.
“Kami mendapati diri kami menjadi sasaran serangan Iran dalam konflik yang tidak kami cetuskan, sedangkan kami sebelum ini berusaha untuk mengelakkannya,” kata beliau.
Kenyataan itu menunjukkan bagaimana keputusan sepihak Washington itu boleh memberi kesan langsung kepada negara lain.
Dalam masa yang sama, kehadiran pegawai Amerika di persidangan tersebut turut mencetuskan kontroversi.
Duta Amerika ke Turkey, Encik Tom Barrack, menyatakan rantau Asia Barat “hanya menghormati kuasa.”
Beliau menambah, pemerintah yang berjaya di rantau itu adalah “monarki yang berhemah” atau republik yang beroperasi dengan pendekatan serupa.
Kenyataan itu mencetuskan perdebatan, khususnya apabila Encik Barrack mengkritik usaha mempromosi demokrasi dan hak asasi manusia di rantau tersebut.
“Negara yang cuba mengamalkan demokrasi atau yang kita tekan atas isu hak asasi manusia telah gagal,” katanya, merujuk kepada kebangkitan Arab Spring.
Pandangan itu mencerminkan perubahan dalam pendekatan Amerika terhadap rantau tersebut, daripada menekankan nilai demokrasi kepada kestabilan dan kuasa.
Namun, pendekatan itu turut menimbulkan persoalan tentang masa depan hubungan antara Amerika dengan sekutunya.
Dalam konteks lebih luas, Persidangan Antalya menunjukkan bahawa dunia sedang memasuki fasa baharu dalam hubungan antarabangsa.
Kuasa pertengahan seperti Turkey bukan sahaja ingin memainkan peranan lebih besar, bahkan turut berusaha membentuk semula peraturan permainan sejagat.
Namun, cabaran utama tetap sama: Bagaimana untuk menyeimbangkan keperluan bekerjasama dengan Amerika yang masih dominan, dengan keperluan membina autonomi strategik yang lebih besar.
Seperti yang dirumuskan oleh Encik Dalay, dilema tui bukan mudah untuk diselesaikan.
Amerika kekal sebagai aktor utama yang tidak boleh diketepikan, tetapi sifatnya yang semakin tidak menentu memaksa negara lain untuk berfikir di luar kerangka lama.
Dalam keadaan ini, masa depan diplomasi sejagat mungkin tidak lagi ditentukan sepenuhnya oleh kuasa besar, tetapi oleh keupayaan kuasa pertengahan untuk bekerjasama, menyesuaikan diri dan mengambil alih tanggungjawab dalam mengurus kestabilan serantau.
Persoalannya kini bukan sama ada Amerika masih relevan, tetapi sejauh manakah dunia bersedia untuk berfungsi tanpa bergantung sepenuhnya kepada negara itu. – Agensi berita.
