DUBAI: Krisis keselamatan di Asia Barat kini memasuki fasa baru apabila negara Teluk mula mempersoalkan model keselamatan tradisional yang terlalu bergantung kepada Amerika Syarikat, khususnya selepas konflik Amerika-Israel dengan Iran mendedahkan kelemahan struktur pertahanan sedia ada.

Dalam satu kenyataan terdahulu, Presiden Amerika, Encik Donald Trump, memuji kemajuan negara Timur Tengah sebagai hasil usaha dalaman.

Namun, realiti semasa menunjukkan kemajuan ekonomi tersebut masih terikat kepada pergantungan keselamatan luar yang semakin dipersoal.

Negara seperti Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Kuwait dan Qatar selama ini bergantung kepada payung keselamatan Amerika, termasuk kehadiran pangkalan tentera dan sistem pertahanan canggih seperti Patriot dan THAAD.

Namun, serangan balas Iran sepanjang konflik membuktikan jaminan itu tidak sepenuhnya berkesan.

Menurut, sarjana penyelidikan di Universiti Deakin, Melbourne, Encik Muhammad Rizwan, dan Cik Fatima Saif Khan, dari Pusat Penyelidikan Tadbir Urus di Lahore, kebergantungan terhadap jaminan keselamatan luar bukan sahaja gagal menghalang serangan, malah meningkatkan kerentanan negara Teluk terhadap ancaman tidak simetri.

Mereka menegaskan bahawa kehadiran tentera Amerika telah menjadikan negara Teluk sebagai sasaran langsung tindak balas Iran, sekali gus mengubah imbangan keselamatan serantau.

“Pergantungan ini menimbulkan persoalan serius tentang kelestarian jangka panjang dan keperluan membina keupayaan serantau yang lebih berdikari,” ujar mereka dalam analisis terkini.

“Masalahnya bukan kekurangan keupayaan, tetapi kekurangan penyepaduan dan autonomi,” tambah analisis itu yang menekankan bahawa sistem pertahanan sedia ada terlalu bergantung kepada kawalan dan teknologi Amerika.

Keadaan menjadi semakin kritikal apabila Iran berjaya menembak jatuh pesawat pejuang ‘F-15E’ milik Amerika pada awal April, satu perkembangan yang dianggap signifikan dalam mengubah persepsi terhadap keupayaan pencegahan Washington di rantau tersebut.

Kejadian itu bukan sahaja mencabar kekuatan aspek ketenteraan Amerika, malah memperlihatkan kelemahan sistem pertahanan yang terlalu bergantung kepada satu kuasa luar.

Pangkalan Amerika Jadi Sasaran

Kehadiran ribuan tentera Amerika di rantau Teluk, termasuk di pangkalan Al Udeid di Qatar dan Armada Kelima di Bahrain, sebelum ini dilihat sebagai benteng pertahanan.

Namun kini, ia turut menjadikan negara Teluk sebagai sasaran langsung dalam konflik.

Dalam konteks ini, pendekatan keselamatan sedia ada dilihat sebagai “pedang bermata dua” yang bukan sahaja gagal menghalang serangan, malah meningkatkan risiko tindak balas Iran terhadap negara tuan rumah.

“Pangkalan ini tidak lagi dilihat sebagai perisai, tetapi sebagai pencetus risiko,” kata seorang penganalisis keselamatan, merujuk kepada perubahan persepsi pemimpin Teluk terhadap kehadiran tentera Amerika.

Perkembangan semasa turut memberi kesan langsung kepada model ekonomi negara Teluk yang bergantung kepada kestabilan untuk menarik pelaburan, pelancongan dan perdagangan.

Menurut laporan terkini Intermodel yang berpangkalan di Greek, gangguan keselamatan kini bukan sekadar isu ketenteraan, malah, ancaman kepada asas ekonomi yang dibina selama bertahun-tahun.

Sebagai contoh, Dubai yang mencatat hampir 20 juta pelancong pada 2025, kini berdepan risiko kehilangan keyakinan pelabur.

Urus niaga hartanah dilaporkan merosot dengan ketara apabila ketegangan meningkat.

“Apabila imej keselamatan tergugat, kesannya adalah serta-merta kepada ekonomi,” tambah laporan tersebut.

Arab Saudi juga tidak terkecuali, dengan pelaksanaan, Wawasan 2030, yang bergantung kepada pelaburan besar yang sensitif terhadap risiko geopolitik dan keyakinan pasaran sejagat.

Walaupun negara itu mempunyai sumber kewangan yang kukuh, ketidaktentuan geopolitik boleh menjejas usaha kepelbagaian ekonominya

Selat Hormuz Jadi Titik Kritikal

Selat Hormuz terus menjadi nadi utama ekonomi sejagat, dengan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia melalui laluan sempit itu.

Namun, konflik semasa telah meningkatkan premium risiko perkapalan secara mendadak.

Premium insurans kapal meningkat sehingga 3 peratus daripada nilai kapal, berbanding hanya 0.25 peratus sebelum konflik.

Langkah negara Teluk mengalihkan eksport minyak melalui laluan alternatif seperti Laut Merah menunjukkan mereka kini bersedia menghadapi senario gangguan jangka panjang.

Peningkatan premium risiko perkapalan serta gangguan kepada aliran tenaga menunjukkan betapa rapuhnya sistem keselamatan sedia ada.

Profesor Bader Al-Saif, dari Universiti Kuwait, berpendapat bahawa negara Teluk perlu beralih daripada pergantungan tunggal kepada Amerika kepada pendekatan lebih pelbagai.

“Semua negara di rantau ini perlu memikirkan semula model keselamatan mereka.

“Persoalannya ialah bagaimana mengelakkan rantau ini daripada terperangkap dalam konflik berpanjangan,” katanya.

Pandangan itu turut disokong Profesor Madya Andreas Krieg, King’s College London, yang melihat bahawa negara Teluk tidak akan meninggalkan Amerika sepenuhnya, tetapi akan menambah lapisan kerjasama keselamatan dengan kuasa lain.

“Amerika Syarikat masih merupakan kuasa ketenteraan utama di Teluk, tetapi ia kini dilihat sebagai rakan yang mahal dan tidak menentu.

“Pangkalan tentera mungkin kekal, tetapi tidak lagi dianggap sebagai perlindungan mutlak,” katanya.

Walaupun berkongsi kebimbangan terhadap Iran, negara Teluk tidak sepakat dalam pendekatan mereka.

Sebahagian negara seperti UAE dan Bahrain mengambil pendirian lebih tegas, manakala Qatar dan Oman cenderung ke arah diplomasi.

Ke Arah Model Keselamatan Baru

Pakar berpendapat negara Teluk kini perlu beralih kepada model keselamatan yang lebih berdaya tahan, termasuk membina keupayaan tempatan dan mempelbagaikan rakan strategik.

Antara langkah yang diusul termasuk pembangunan bersama teknologi pertahanan seperti dron dan sistem peluru berpandu; kerjasama dengan negara seperti Turkey, Pakistan dan China serta penyepaduan sistem kawalan dan amaran awal secara serantau.

Selain itu, terdapat cadangan meningkatkan kerjasama dalam rangka kerja seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), walaupun ketiadaan struktur institusi kukuh masih menjadi cabaran utama.

Perkembangan terkini turut mencetuskan perubahan dalam hubungan geopolitik, dengan negara Teluk mula menjalin kerjasama lebih luas, termasuk dengan Eropah dan Asia.

Krisis semasa menunjukkan keselamatan tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada kuasa luar.

Negara Teluk kini berdepan keperluan mendesak membina daya ketahanan serantau yang lebih kukuh dan bersepadu.

Seperti yang ditegaskan oleh Profesor Bader: “Keselamatan tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada pihak luar. Ia mesti dibina dari dalam, dengan keupayaan sendiri dan kerjasama serantau yang sebenar.”

Tanpa perubahan itu, rantau Timur Tengah berisiko terus terperangkap dalam kitaran konflik berulang.

Keselamatan kekal menjadi komoditi yang diurus pihak luar, bukan dikawal oleh negara sendiri. – Agensi berita.

“Semua negara di rantau (Teluk) ini perlu memikirkan semula model keselamatan mereka... Keselamatan tidak boleh diserahkan sepenuhnya kepada pihak luar. Ia mesti dibina dari dalam, dengan keupayaan sendiri dan kerjasama serantau yang sebenar.”
Profesor Bader Al-Saif, dari Universiti Kuwait.

“Amerika Syarikat masih merupakan kuasa ketenteraan utama di Teluk, tetapi ia kini dilihat sebagai rakan yang mahal dan tidak menentu. Pangkalan tentera mungkin kekal, tetapi tidak lagi dianggap sebagai perlindungan mutlak.”
Profesor Madya Andreas Krieg, dari King’s College London.