SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Kebimbangan perang baharu selubungi penduduk Timur Tengah

Kebimbangan perang baharu selubungi penduduk Timur Tengah

Negara Teluk cari alternatif ketika Selat Hormuz kekal hampir tertutup
Apr 13, 2026 | 1:34 PM

Kebimbangan perang baharu selubungi penduduk Timur Tengah

ketegangan TT, Rundingan AS-Iran gagal, JD Vance, Selat Hormuz ditutup, krisis minyak dunia, saluran paip Timur-Barat Arab Saudi, ekonomi GCC, ketegangan Asia Barat 2026, timur tengah, perang baharu, selat hormuz, negara Teluk
Seorang wanita mengibarkan bendera kebangsaan Iran di Dataran Revolusi, Teheran, pada 12 April. - Foto AFP

DOHA: Ketegangan di Asia Barat semakin memuncak apabila rundingan antara Amerika Syarikat dengan Iran gagal mencapai persetujuan, sekali gus mencetuskan kebimbangan meluas mengenai kemungkinan perang kembali tercetus.

Selepas lebih 20 jam rundingan di Islamabad, Naib Presiden Amerika, Encik JD Vance, mengakui perbezaan besar antara kedua-dua pihak tidak dapat diselesaikan.

Kedua-dua delegasi beredar tanpa sebarang perjanjian, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada gencatan senjata dua minggu yang dipersetujui sebelum ini dapat dikekalkan.

“Keadaan boleh berubah pada bila-bila masa. Kami hanya mampu melihat hari demi hari,” kata Cik Aishah, perunding ekonomi berusia 32 tahun di Doha.

Kegagalan rundingan itu tidak mengejutkan ramai pihak di rantau tersebut, memandangkan jurang tuntutan antara Washington dengan Teheran dilihat terlalu besar.

“Saya memang tidak meletakkan harapan tinggi kerana kedua-dua pihak mahukan perkara yang bertentangan,” kata Cik Laura Kaufman, seorang guru di Tel Aviv.

“Tampaknya tiada siapa benar-benar bersedia untuk bertolak ansur,” tambahnya.

Satu tinjauan turut menunjukkan hanya 10 peratus rakyat Israel menganggap perang terhadap Iran sebagai berjaya, manakala 32 peratus melihatnya sebagai kegagalan.

Di Teheran, harapan untuk melihat konflik berakhir melalui rundingan turut pudar dengan cepat.

“Saya benar-benar berharap mereka mencapai perdamaian,” kata Cik Mahsa, seorang pekerja syarikat eksport.

“Sudah hampir 45 hari semua orang hidup dalam tekanan. Keadaan ini sangat buruk,” ujarnya.

Di negara lain di Timur Tengah, kegagalan rundingan menambahkan lagi rasa tidak menentu dalam kalangan penduduk.

“Saya bimbang serangan akan kembali berlaku. Ia menyebabkan tekanan emosi kepada saya,” kata Cik Imam, seorang suri rumah dari Mesir yang menetap di Abu Dhabi.

“Saya cuba sedaya upaya untuk tidak memindahkan tekanan itu kepada anak-anak,” katanya.

Selepas rundingan damai gagal mencapai persetujuan, pentadbiran Presiden Amerika, Encik Donald Trump, dengan pantas mengalihkan tumpuan kepada pengumuman berkaitan sekatan maritim.

Encik Trump mengarahkan sekatan tentera laut ke atas Selat Hormuz, laluan penting bagi perdagangan minyak dunia.

Beliau berikrar menghalang kapal yang membayar tol kepada Iran serta mengekang pendapatan minyak negara itu.

Pengumuman itu dibuat ketika ramai penduduk berharap keadaan kembali stabil.

Sebelum ini, Arab Saudi memaklumkan kemudahan tenaga utamanya telah pulih selepas serangan Iran di rantau Teluk.

Namun, kebimbangan tetap tinggi dalam kalangan penduduk.

“Sudah tentu saya risau perang akan kembali,” kata Encik Amin, seorang ahli farmasi di wilayah timur Arab Saudi.

Di Iran, ada yang mula menerima kemungkinan konflik akan berlanjutan.

“Saya lebih suka keamanan, tetapi nampaknya tiada pilihan selain perang,” kata Encik Hamed, 37 tahun.

“Berdasarkan apa yang saya lihat, kita mungkin akan menghadapi perang yang panjang,” tambahnya.

Di Lebanon, ketegangan terus berlanjutan apabila serangan masih berlaku, dengan kedua-dua pihak bertelagah sama ada negara itu termasuk dalam gencatan senjata.

Seorang doktor gigi, Dr Kamal Qutaish, menyifatkan Lebanon sebagai medan pertembungan kuasa besar.

“Jika rundingan gagal, kesannya bukan sahaja kepada kami, bahkan seluruh dunia,” katanya.

“Hanya orang yang tidak waras tidak akan berasa takut.”

Dalam masa yang sama, negara Teluk mula mencari laluan dan kaedah alternatif bagi mengeksport minyak ketika Selat Hormuz kekal tertutup, susulan ketegangan berterusan di perairan strategik itu.

Pihak Iran menafikan dakwaan mana-mana kapal tentera Amerika telah melalui Selat Hormuz, sambil memberi amaran akan adanya tindakan balas sekiranya kapal ketenteraan cuba merentasi laluan tersebut.

Kenyataan itu dibuat ketika kebimbangan meningkat terhadap keselamatan pelayaran di salah satu laluan perkapalan paling penting di dunia.

Bagi negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC), ancaman daripada kedua-dua pihak yang bertelagah bukanlah perkembangan yang diingini.

Selat Hormuz merupakan nadi utama eksport minyak bagi ekonomi GCC, dengan sebahagian besar pengeluaran tenaga rantau itu bergantung kepada laluan berkenaan.

Data perkapalan dalam tempoh 24 jam lalu menunjukkan penurunan ketara trafik maritim.

Pada 11 April, hanya tiga kapal dilaporkan berjaya melalui Selat Hormuz, masing-masing dua berdaftar di bawah bendera China dan satu di bawah bendera Liberia.

Sebelum konflik tercetus, sekurang-kurangnya 100 kapal dilaporkan merentasi selat itu setiap hari.

Setiap kapal yang berjaya melalui selat berkenaan pada 11 April mempunyai kapasiti sekitar dua juta tong minyak.

Jumlah itu jauh lebih kecil berbanding aliran biasa, mencerminkan gangguan besar terhadap lalu lintas perdagangan tenaga sejagar.

Data terkini juga menunjukkan dua kapal cuba merentasi Selat Hormuz pada 12 April namun berpatah balik.

Punca sebenar kegagalan pelayaran tersebut tidak diketahui, namun, percubaan yang tidak berjaya itu menambah bukti keadaan keselamatan di kawasan berkenaan masih tidak menentu.

Dalam menghadapi keadaan sedemikian, negara GCC dilihat tidak menunggu selat tersebut dibuka semula.

Qatar, pada 12 April mengeluarkan kenyataan memaklumkan ia telah menarik balik sekatan maritim tertentu sebagai sebahagian langkah penyesuaian operasi perkapalan.

Arab Saudi pula mengumumkan saluran paip Timur-Barat negara itu telah dibaik pulih dan kembali beroperasi pada kapasiti penuh.

Saluran paip tersebut sebelum ini dilaporkan rosak akibat serangan Iran.

Pada kapasiti maksimum, saluran paip berkenaan mampu mengangkut sehingga tujuh juta tong minyak sehari dan memintas Selat Hormuz sepenuhnya.

Selain itu, Arab Saudi turut memaklumkan bahawa medan minyak Manifa di pantai tenggara negara itu telah disiapkan untuk operasi, dengan kapasiti tambahan sehingga 300,000 tong minyak sehari.

Pemerhati industri menjangkakan usaha mencari laluan alternatif akan terus dipercepatkan selagi ketidaktentuan di Selat Hormuz berlarutan, memandangkan sebarang gangguan berpanjangan berpotensi memberi kesan besar terhadap pasaran tenaga sejagat. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg