Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Netanyahu ‘benarkan’ penduduk tinggalkan Gaza, tentera Israel bersiap perluas operasi

Aug 13, 2025 | 10:24 AM
Netanyahu, konflik, Gaza
Sebuah trak mengangkut kereta kebal Israel berhampiran sempadan Jaluran Gaza dilihat dari wilayah Israel di selatan negara itu pada 12 Ogos. - Foto EPA

BAITULMAKDIS: Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pada 12 Ogos mengulangi gesaannya agar “membenarkan” penduduk Palestin meninggalkan Jaluran Gaza ketika tenteranya bersiap sedia melancarkan serangan lebih meluas di wilayah itu.

Gesaan tersebut yang turut pernah disuarakan oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, sebelum ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat Palestin dan kecaman masyarakat antarabangsa.

Wawancara eksklusif yang jarang diberikan kepada media Israel, disiarkan tidak lama selepas Mesir mengumumkan usaha baru untuk mendapatkan gencatan senjata 60 hari, Encik Netanyahu mempertahankan dasar perangnya.

“Kami tidak memaksa mereka keluar, tetapi kami membenarkan mereka untuk meninggalkannya,” kata beliau kepada penyiar i24NEWS.

“Kami mahu beri mereka peluang untuk meninggalkan zon pertempuran, dan secara umum untuk meninggalkan wilayah ini jika mereka mahu,” tambah beliau sambil merujuk kepada perpindahan pelarian ketika perang di Syria, Ukraine dan Afghanistan.

Encik Netanyahu menegaskan Israel akan membenarkan penduduk bergerak dalam Gaza semasa pertempuran, dan juga meninggalkan wilayah itu sepenuhnya.

Namun, bagi rakyat Palestin, sebarang langkah yang memaksa mereka meninggalkan tanah sendiri mengingatkan kepada peristiwa Nakba pada 1948, iaitu perpindahan besar-besaran ketika penubuhan Israel.

Encik Netanyahu sebelum ini menyokong cadangan Encik Trump supaya lebih 2 juta penduduk Gaza dipindahkan ke Mesir dan Jordan.

Malah, beliau sebelum ini menyatakan pemerintah sedang mencari negara ketiga untuk menerima penduduk Gaza, sambil membangunkan semula wilayah itu sebagai destinasi pelancongan.

Menteri-menteri sayap kanan dalam gabungannya turut menyeru supaya penduduk Palestin “berpindah secara sukarela”.

Kenyataan Encik Netanyahu itu dibuat setelah Kabinet keselamatan Israel pada 8 Ogos meluluskan rancangan memperluas perang ke bahagian Bandar Gaza yang masih belum ditawan tentera.

Langkah memperluas serangan ke Bandar Gaza berlaku ketika usaha diplomasi untuk mencapai gencatan senjata dan pembebasan tebusan terhenti sejak rundingan terakhir di Doha menemui kegagalan pada Julai.

Menteri Luar Mesir, Encik Badr Abdelatty, berkata Kahirah kini “bekerja keras sepenuhnya dengan kerjasama Qatar dan Amerika” untuk mencapai gencatan senjata selama 60 hari.

“Ia termasuk pembebasan beberapa tebusan dan tahanan Palestin, serta kemasukan bantuan kemanusiaan dan perubatan tanpa sekatan,” katanya.

Sumber Palestin memberitahu agensi berita, AFP, bahawa delegasi kanan Hamas dijadual bertemu pegawai Mesir pada 13 Ogos.

Seorang sumber berkata, para pengantara sedang berusaha membentuk cadangan perjanjian gencatan senjata menyeluruh yang melibatkan pembebasan semua tebusan secara serentak.

Namun Encik Netanyahu menolak pembebasan berperingkat, dengan menegaskan bahawa beliau mahu semua tebusan dikembalikan “sebagai sebahagian daripada penamatan perang tetapi di bawah syarat kami”.

Encik Netanyahu kini menghadapi tekanan hebat oleh rakyatnya sendiri untuk membebaskan baki 49 tebusan, termasuk 27 yang disahkan tentera telah meninggal dunia, selain kritikan terhadap rancangan memperluas peperangan.

Sementara itu, jurucakap pertahanan awam Gaza, Encik Mahmud Bassal, berkata pada 12 Ogos bahawa serangan udara Israel di Bandar Gaza meningkat sejak tiga hari lalu.

“Pendudukan Israel meningkatkan pengeboman menggunakan bom, dron dan bahan letupan berkuasa tinggi yang menyebabkan kemusnahan besar,” katanya.

Beliau mendakwa sekurang-kurangnya 33 orang terbunuh pada 12 Ogos termasuk di kawasan Zeitun, Bandar Gaza.

“Pengeboman amat dahsyat dua hari kebelakangan ini. Setiap serangan membuatkan tanah bergegar,” kata penduduk, Encik Majed al-Hosary.

Serangan udara Israel di luar sebuah hospital Gaza City pada 10 Ogos membunuh lima kakitangan Al Jazeera dan seorang wartawan bebas.

Israel mendakwa salah seorang yang terbunuh adalah anggota Hamas.

Israel berdepan kritikan antarabangsa yang semakin meningkat berhubung perang itu, yang tercetus selepas serangan Hamas pada Oktober 2023 yang mengorbankan 1,219 orang di Israel, menurut angka rasmi.

Serangan balas Israel telah meragut sekurang-kurangnya 61,599 nyawa di Gaza, menurut Kementerian Kesihatan wilayah yang dikawal Hamas – angka yang disahkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai boleh dipercayai.

Pertubuhan yang disokong PBB turut memberi amaran mengenai kebuluran besar-besaran akibat sekatan Israel terhadap kemasukan bantuan kemanusiaan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg