TEL AVIV: Ribuan rakyat berhimpun di jalan raya Tel Aviv pada 9 Ogos bagi menuntut supaya perang di Gaza dihentikan, sehari selepas pemerintah Israel berikrar untuk meluaskan konflik tersebut dan menguasai Bandar Gaza.
Para penunjuk perasaan memegang sepanduk dan gambar tebusan yang masih ditahan di wilayah Palestin sambil mendesak pemerintah mengambil tindakan bagi memastikan pembebasan mereka.
Wartawan AFP yang berada di perhimpunan itu menganggarkan kehadiran puluhan ribu penunjuk perasaan, manakala sebuah kumpulan yang mewakili keluarga tebusan berkata seramai 100,000 orang mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut.
Pihak berkuasa tidak mengeluarkan anggaran rasmi mengenai jumlah peserta perhimpunan, namun ia jauh lebih besar berbanding perhimpunan antiperang yang diadakan baru-baru ini.
“Kami ingin menyampaikan pesanan langsung kepada Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, ‘Jika anda serang sebahagian kawasan Gaza dan tebusan dibunuh, kami akan memburu anda di medan bandar, dalam kempen pilihan raya dan di setiap masa dan tempat,’” kata Encik Shahar Mor Zahiro, saudara kepada seorang tebusan yang terbunuh, kepada AFP.
Pada 8 Ogos, Kabinet Keselamatan Encik Netanyahu meluluskan rancangan operasi besar untuk menguasai Bandar Gaza, yang mencetuskan kritikan meluas daripada dalam dan luar negara.
Kuasa asing, termasuk beberapa sekutu Israel, telah mendesak agar gencatan senjata dirundingkan bagi memastikan tebusan dipulangkan dan membantu mengurangkan krisis kemanusiaan yang dihadapi rakyat Gaza.
Meskipun menerima tentangan dari pegawai kanan tentera Israel, Encik Netanyahu tetap berkeras dengan keputusannya.
Dalam satu hantaran di media sosial lewat 8 Ogos, Encik Netanyahu mendakwa, “kami tidak akan menjajah Gaza – kami akan membebaskan Gaza daripada Hamas”.
Perdana Menteri itu telah menghadapi protes berterusan sepanjang perang yang telah berlarutan selama 22 bulan, dengan banyak perhimpunan menuntut pemerintah Israel agar membuat rundingan melibatkan pertukaran tebusan Israel dengan tahanan Palestin.
Pada 9 Ogos, Penguasa Palestin (PA) mengecam rancangan Israel untuk meluaskan operasi di Gaza.
Menurut kenyataan yang disiarkan agensi berita rasmi Palestin, Wafa, Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, berkata rancangan itu “merupakan satu jenayah baru”, dan menegaskan “keperluan segera untuk mengambil tindakan menghentikannya dengan serta-merta”.
Menteri luar Italy, Australia, Jerman, New Zealand dan Britain, mengeluarkan kenyataan pada 9 Ogos mengkritik keputusan Israel untuk menguasai Bandar Gaza.
“(Langkah) ini akan memburukkan lagi situasi kemanusiaan yang dahsyat, mengancam nyawa tebusan, dan meningkatkan risiko pemindahan besar-besaran penduduk awam,” kata mereka.
Russia turut mengecam rancangan Israel untuk menguasai Bandar Gaza dalam satu kenyataan pada 9 Ogos.
Daripada 251 tebusan yang ditawan semasa serangan kumpulan Palestin, Hamas, pada 2023, 49 orang masih ditahan di Gaza, termasuk 27 individu, yang menurut pihak tentera telah mati.
Dalam pada itu, kempen ketenteraan Israel telah membunuh lebih 61,000 rakyat Palestin, jelas Kementerian Kesihatan Gaza. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg