Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PBB siap tingkat bantuan kemanusiaan ke Gaza seperti dalam pelan damai Trump

Oct 1, 2025 | 4:16 PM
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan Gaza dilanda masalah kebuluran pada Ogos lalu dengan menyalahkan ‘halangan sistematik’ penghantaran bantuan kemanusiaan oleh pihak Israel.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan Gaza dilanda masalah kebuluran pada Ogos lalu dengan menyalahkan ‘halangan sistematik’ penghantaran bantuan kemanusiaan oleh pihak Israel. - Foto AFP

GENEVA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata ia bersedia meningkatkan aliran bantuan kemanusiaan ke Jaluran Gaza apabila keadaan mengizinkan, berikutan rancangan damai Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bagi wilayah Palestin itu.

PBB mengisytiharkan kebuluran di Gaza pada Ogos lalu, menyalahkan “halangan sistematik” penghantaran bantuan kemanusiaan oleh pihak Israel.

Pelan 20 perkara Encik Trump, yang digariskan pada 29 September, menyebut bahawa “bantuan penuh akan segera dihantar ke Jaluran Gaza”.

Cadangan itu mahu kemasukan dan pengagihan bantuan diteruskan “tanpa gangguan”, melalui PBB, agensinya dan Bulan Sabit Merah.

Encik Jens Laerke, jurucakap agensi kemanusiaan PBB, menegaskan bahawa PBB tidak terlibat dalam merangka cadangan damai pentadbiran Encik Trump itu.

“PBB dan agensi kemanusiaannya, sudah tentu, seperti yang telah kita lakukan sejak hari pertama, bersiap sedia dan mampu meningkatkan penghantaran bantuan ke Gaza apabila ada peluang sehingga kita dibenarkan berbuat demikian dan terdapat jaminan keselamatan,” katanya di Geneva.

“Sudah tentu, ia telah dibayar oleh penderma, yang akan mengharapkan kami untuk menyampaikan bantuan itu kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya sambil menambah bahawa pihaknya mempunyai struktur yang tersedia untuk berbuat demikian.

Pelan damai Encik Trump menggesa gencatan senjata, pembebasan tebusan oleh Hamas dalam tempoh 72 jam, pelucutan senjata Hamas dan pengunduran secara beransur-ansur tentera Israel daripada Gaza, diikuti oleh pembentukan pihak berkuasa peralihan pascaperang yang diketuai oleh Encik Trump sendiri.

Jurucakap PBB, Encik Alessandra Vellucci, menambah:

“Kami mengalu-alukan semua usaha pengantaraan, dan kami bersedia menyokong sebarang rancangan damai dengan segala yang boleh kami lakukan, termasuk penyediaan bantuan kemanusiaan.”

Dalam pada itu, kumpulan Houthis Yaman akan menyasarkan syarikat minyak Amerika termasuk ExxonMobil dan Chevron dengan sekatan, kata sebuah badan yang bergabung dengan kumpulan militan yang disokong Iran itu pada 30 September.

Pusat Penyelarasan Operasi Kemanusiaan (HOCC) yang berpangkalan di Sanaa – sebuah badan yang ditubuhkan pada 2024 untuk berhubung antara kumpulan Houthi dengan pengendali perkapalan komersial – menyatakan ia akan mengenakan sekatan ke atas 13 syarikat Amerika, sembilan eksekutif dan dua kapal.

Sekatan itu adalah sebagai tindakan balas terhadap sekatan Amerika ke atas kumpulan Houthi pada 2025 walaupun adanya perjanjian gencatan senjata dengan pentadbiran Encik Trump yang dicapai yang menyaksikan kumpulan itu bersetuju berhenti menyerang kapal berkaitan Amerika di Laut Merah dan Teluk Aden, kata HOCC lagi.

Syarikat minyak Exxon dan Chevron enggan mengulas ketika ditanya mengenainya.

“Masih tidak jelas sama ada sekatan ini memberi isyarat bahawa Houthi akan mula menyasarkan kapal yang dikaitkan dengan organisasi, syarikat dan individu – satu langkah yang berisiko melanggar perjanjian gencatan senjata dengan pentadbiran Encik Trump, yang dikendalikan Oman,” kata penganalisis bebas Timur Tengah, Encik Mohammed Albasha, dalam siaran LinkedIn pada 30 September.

Kumpulan Houthi sejak 2023 telah melancarkan banyak serangan ke atas kapal di Laut Merah yang mereka anggap ada kaitan dengan Israel dalam apa yang mereka katakan sebagai perpaduan dengan rakyat Palestin berhubung perang Israel ke atas Gaza. – AFP, Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg