Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelan damai Gaza terima suntikan simbolik jabat tangan Trump-Abbas

Oct 14, 2025 | 8:31 PM
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden  Palestin Mahmoud Abbas bergambar bersama semasa sidang kemuncak pemimpin dunia bagi menamatkan perang di Gaza, yang berlangsung di tengah-tengah perjanjian pertukaran tahanan-tebusan dan gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat antara Israel dan Hamas, di Sharm el-Sheikh, Mesir, pada 13 Oktober 2025.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden Palestin Mahmoud Abbas bergambar bersama semasa sidang kemuncak pemimpin dunia bagi menamatkan perang di Gaza, yang berlangsung di tengah-tengah perjanjian pertukaran tahanan-tebusan dan gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat antara Israel dan Hamas, di Sharm el-Sheikh, Mesir, pada 13 Oktober 2025. - Foto REUTERS

SHARM EL-SHEIKH, Mesir: Lebih 20 pemimpin dunia berhimpun di Sharm el-Sheikh, Mesir, pada Isnin, 13 Oktober bagi mencari jalan mengakhiri perang di Gaza. Namun, tumpuan utama bukan sekadar pada rundingan damai itu, tetapi pada jabat tangan bersejarah antara Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.

Pertemuan itu menandakan kali pertama kedua-dua pemimpin bersua muka dalam tempoh lapan tahun dan simbolisme di sebalik pertemuan itu tidak terlepas daripada perhatian dunia.

Di hadapan puluhan jurugambar, Encik Trump dan Encik Abbas berjabat tangan dengan erat sambil berbual ringkas dalam suasana mesra. Ketika kamera berkelip, Encik Trump menepuk lembut tangan Encik Abbas dua kali sambil memberikan tanda ‘thumbs up’ dan senyuman besar, manakala Encik Abbas membalas dengan senyuman tenang.

“Saya benar-benar gembira anda dapat hadir,” kata Encik Trump kepada EncikAbbas ketika menyampaikan ucapan di hadapan para pemimpin dunia, sambil mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin.

Isyarat kecil itu membawa makna besar menggambarkan usaha mendamaikan hubungan dingin antara Washington dan Ramallah yang tegang sejak penggal pertama Trump di Rumah Putih.

Hanya dua minggu lalu, Encik Abbas dilarang memasuki Amerika Syarikat selepas permohonan visanya ditolak atas alasan keselamatan negara. Larangan itu menyebabkan beliau terpaksa menyampaikan ucapan di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara dalam talian, dan terlepas menyertai sidang mengenai kenegaraan Palestin anjuran Perancis dan Arab Saudi.

Ketika itu, Jabatan Negara Amerika menuduh Penguasa Palestin (PA) “menggugat prospek keamanan” dengan membawa kes terhadap Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan cuba mendapatkan pengiktirafan sepihak terhadap negara Palestin.

Namun suasana di Sharm el-Sheikh nyata berbeza. Jabat tangan hangat di antara kedua-dua pemimpin menandakan munculnya ruang baharu bagi diplomasi. “Saya percaya ini adalah langkah pertama ke arah dialog yang lebih baik,” kata seorang diplomat Arab yang hadir dalam sidang itu.

Sejak setahun lalu, Encik Abbas dilaporkan berusaha memulihkan hubungan dengan Trump, yang sebelum ini meminggirkan PA daripada rundingan damai dan memperkenalkan pelan keamanan yang jelas memihak kepada Israel.

Sepanjang tempoh itu, Encik Abbas pernah mengarahkan pegawai tinggi Palestin memutuskan hubungan rasmi dengan pentadbiran Trump, selepas Washington mengiktiraf Baitulmakdis sebagai ibu negara Israel dan memotong dana kepada agensi PBB untuk pelarian Palestin.

Namun menjelang pemilihan semula Trump pada 2024, Encik Abbas menghantar surat peribadi kepada Encik Trump untuk mengutuk cubaan pembunuhan terhadapnya. Surat itu, diuruskan oleh ahli perniagaan Lebanon-Amerika Massad Boulos, menzahirkan “kebimbangan mendalam terhadap keganasan” dan menyeru penyelesaian melalui komunikasi.

Encik Trump kemudian memuat naik surat itu di laman sosialnya, menulis nota balas dengan pen marker hitam tebal: “Mahmoud, surat ini sangat baik. Semuanya akan berjalan dengan baik.”

Langkah simbolik itu membuka pintu kepada rundingan semula dan perubahan nada politik antara kedua-dua pihak.

Sidang kemuncak di Sharm el-Sheikh menandakan pelaksanaan fasa pertama Pelan Damai 20 Perkara Trump untuk menamatkan perang di Gaza. Pelan itu menyeru kepada gencatan senjata kekal, pembebasan semua tebusan Israel, dan pembaharuan menyeluruh dalam pentadbiran Palestin sebelum sebarang rundingan mengenai kenegaraan dimuktamadkan.

Encik Trump turut menegaskan bahawa pelan itu “tidak menjanjikan negara Palestin secara automatik,” tetapi membuka peluang kepada “laluan kredibel ke arah penentuan nasib sendiri rakyat Palestin.”

Seorang pegawai kanan Palestin yang enggan dinamakan berkata, “Bagi pihak Abbas, peluang ini bukan sekadar politik ia peluang untuk memulihkan maruah Palestin di meja rundingan.”

Sebelum bertemu Encik Trump, Encik Abbas juga sempat berbincang dengan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi, yang menjadi tuan rumah sidang kemuncak itu. Mesir memainkan peranan penting sebagai pengantara antara Hamas, Israel, dan Amerika.

Kehadiran lebih 20 pemimpin dunia, termasuk Presiden Turkey Recep Tayyip Erdogan, Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani, dan Raja Jordan Abdullah II, menunjukkan komitmen antarabangsa terhadap pelan damai yang dipimpin Amerika.

Namun, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu tidak hadir, walaupun diundang. Beliau menolak jemputan itu dengan alasan perayaan keagamaan Simchat Torah sedang berlangsung di Israel.

Walaupun tiada kenyataan rasmi dikeluarkan selepas pertemuan Trump–Abbas, detik jabat tangan mereka memberi isyarat politik yang kuat bahawa selepas dua tahun perang, pemimpin Palestin dan Amerika mungkin bersedia membuka lembaran baharu.
Bagi pemerhati politik Timur Tengah, saat itu bukan sekadar simbol diplomatik, tetapi juga mesej bahawa kesediaan untuk berbicara semula mungkin kunci kepada berakhirnya perang Gaza. “Ia bukan sekadar jabat tangan ia tanda bahawa pintu harapan masih terbuka,” kata seorang diplomat Eropah selepas sidang berakhir. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg