BANDAR GAZA: Sayap tentera Hamas, Briged Al-Qassam, pada malam 15 Oktober mengumumkan mereka telah menyerahkan semua mayat tebusan Israel yang dapat ditemui tanpa bantuan peralatan tambahan, sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa gencatan senjata di Jaluran Gaza mungkin terjejas.
Dalam satu kenyataan rasmi, kumpulan itu berkata mereka telah mematuhi sepenuhnya perjanjian yang dipersetujui, termasuk penyerahan semua tebusan yang masih hidup serta mayat yang berjaya dikesan.
“Kami telah menyerahkan semua individu yang berada dalam tahanan kami sama ada yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia, sejauh mana yang kami mampu temui,” kata Briged Al-Qassam.
“Namun untuk mencari baki mayat yang masih tertimbus, kami memerlukan peralatan khas dan sedang berusaha sedaya upaya untuk menjejaki mereka,” tambah kenyataan itu.
Perjanjian gencatan senjata yang dimeterai 8 Oktober lalu hasil usaha perantara antarabangsa menetapkan bahawa Hamas perlu menyerahkan semua tebusan hidup atau mati yang berjumlah 48 orang.
Ia sebagai pertukaran kepada pembebasan tahanan Palestin oleh Israel serta kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Hamas telah membebaskan 20 tebusan hidup pada 13 Oktober lalu dan menyerahkan lapan mayat sejauh ini.
Israel mengesahkan enam daripada mayat itu adalah rakyat Israel, seorang warga Nepal, manakala identiti satu lagi masih belum dikenal pasti.
Hamas menyerahkan dua lagi keranda kepada Palang Merah, pada 15 Oktober, menjadikan jumlah keseluruhan 10 mayat diserahkan, namun lebih sedozen mayat lain masih belum ditemui.
Hamas bertekad menunaikan janji memulangkan mayat tebusan yang terbunuh di Gaza, selaras dengan usul gencatan senjata walaupun Israel mengancam menyambung semula serangan kerana hanya beberapa mayat sahaja sudah dipulangkan.
Menurut penasihat kanan Amerika Syarikat, usaha mengeluarkan mayat sukar kerana Gaza sudah musnah dan memerlukan peralatan khas.
“Kami terus mendengar daripada Hamas bahawa mereka berniat untuk menghormati perjanjian damai dan gencatan senjata.
“Mereka mahu melihat perjanjian berkenaan diselesaikan sepenuhnya dan tiada lagi serangan di Gaza,” kata penasihat itu yang enggan namanya disebut, apabila ditanya sama ada Hamas akan terus mematuhi perjanjian tersebut.
“Kami melakukan pencarian di kawasan yang musnah, tetapi banyak lokasi runtuh akibat serangan udara.
“Tanpa alat khas, usaha mengeluarkan baki mayat hampir mustahil,” kata seorang pegawai Hamas yang enggan dikenali.
Pejabat Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, mengesahkan penerimaan dua keranda tersebut daripada Palang Merah namun enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan Hamas.
Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, bagaimanapun mengeluarkan amaran keras beberapa jam kemudian.
“Jika Hamas enggan mematuhi sepenuhnya perjanjian yang ditandatangani, Israel dengan sokongan Amerika akan menyambung operasi ketenteraan bagi memastikan kekalahan sepenuhnya Hamas dan mengubah realiti di Gaza,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.
Israel turut dilaporkan sedang mempertimbangkan langkah hukuman terhadap Hamas kerana gagal menyerahkan baki mayat seperti yang dijanjikan.
Presiden Amerika, Encik Donald Trump, turut menzahirkan kekecewaan terhadap Hamas.
Dalam hantaran di platform Truth Social pada 14 Oktober, beliau menulis: “Tugas ini belum selesai. Mayat mereka yang terkorban masih belum dipulangkan seperti yang dijanjikan.”
Dalam wawancara bersama CNN pada 15 Oktober, Encik Trump menegaskan bahawa sekiranya Hamas enggan melucutkan senjata, beliau akan mengarahkan Israel “kembali ke jalanan Gaza”.
Namun, beliau turut menegaskan bahawa potensi keamanan jangka panjang masih ada, memandangkan negara serantau kini lebih terbuka menyokong pelan damai tersebut.
Gencatan senjata itu dimeterai dengan pengantaraan Qatar, Mesir, Turkey, Amerika serta disokong oleh puluhan pemimpin dunia dalam sidang yang diadakan di Sharm el-Sheikh, Mesir.
Menurut perjanjian tersebut, Hamas dikehendaki berkongsi semua maklumat risikan mengenai lokasi baki mayat tebusan, manakala sebuah pasukan khas antarabangsa akan ditubuhkan untuk menjejaki dan memulihkan mayat yang masih belum ditemui.
“Pasukan ini akan melibatkan wakil Amerika, Mesir, Qatar dan Turkey,” kata seorang pegawai Israel kepada agensi berita, Reuters.
“Kami percaya Hamas tahu lokasi sebahagian besar mayat, tetapi bukan semuanya.”
Dua tahun perang Israel di Gaza telah memusnahkan sebahagian besar wilayah itu, menjadikan pencarian mayat di bawah runtuhan amat mencabar.
“Ratusan bangunan telah musnah sepenuhnya. Banyak mayat mungkin masih tertimbus di bawah puing-puing,” kata seorang pegawai perubatan di Gaza.
Amerika dan pihak perantara lain kini mempertimbangkan ganjaran bagi individu yang membantu mengesan lokasi mayat tebusan.
Penasihat itu turut memaklumkan bahawa Turkey, satu daripada perantara utama dalam perjanjian berkenaan sedang berbincang untuk menghantar pakar dalam bidang penggalian mayat ke Gaza.
Menurut penasihat itu, negara lain termasuk Indonesia, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir, Qatar dan Azerbaijan juga dilaporkan sedang menimbangkan penyertaan dalam pasukan penstabilan antarabangsa bagi Gaza. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg