GAZA: Pengumuman bahawa Hamas bersetuju menerima pelan pelucutan senjata yang dikemukakan Lembaga Keamanan (BoP) pimpinan Amerika Syarikat dilihat sebagai perkembangan paling penting sejak perang Gaza meletus hampir tiga tahun lalu.

Jika berjaya dilaksanakan, perjanjian itu bukan sahaja membuka laluan kepada pengunduran tentera Israel dari Gaza, malah menjadi asas kepada pembentukan pentadbiran awam baharu yang diharap dapat mengakhiri penguasaan Hamas di wilayah itu.

Namun, di sebalik pengumuman yang disambut dengan penuh harapan itu, pelaksanaannya dijangka jauh lebih rumit.

Persoalan sebenar bukan lagi sama ada Hamas bersedia melucutkan senjata, tetapi bagaimana proses itu akan dilaksanakan, siapakah yang akan mengesahkannya, dan sejauh mana Israel bersedia memenuhi komitmennya untuk berundur secara berperingkat.

Pengarah Inisiatif Keselamatan Asia Barat Scowcroft di Atlantic Council, Encik Jonathan Panikoff, berkata masih terdapat banyak persoalan mengenai skop sebenar persetujuan yang dicapai.

Antaranya ialah sama ada Hamas hanya akan menyerahkan senjata berat seperti roket atau turut melibatkan senjata ringan termasuk raifal AK-47 dan pistol yang digunakan anggota kumpulannya.

Menurut beliau, pelan 20 perkara yang diumumkan Presiden Donald Trump membayangkan semua bentuk persenjataan perlu dilupuskan secara berperingkat.

Namun kenyataan beberapa pegawai Hamas menunjukkan kumpulan itu masih mengaitkan pelucutan senjata dengan syarat lain, termasuk penghentian sepenuhnya operasi ketenteraan Israel, penempatan pasukan keselamatan antarabangsa dan kemajuan ke arah penubuhan negara Palestin.

Keadaan itu menunjukkan kedua-dua pihak mungkin mempunyai tafsiran berbeza terhadap kandungan perjanjian yang sama, sekali gus berpotensi mencetuskan pertikaian pada peringkat pelaksanaan.

Lebih penting, Encik Panikoff menjelaskan bahawa pelan itu bukan sekadar mengenai pelucutan senjata Hamas.

Sebaliknya, ia turut membuka ruang kepada Jawatankuasa Nasional bagi Pentadbiran Gaza (NCAG) mengambil alih pentadbiran awam Gaza daripada Hamas.

Di bawah mekanisme itu, pasukan polis yang selama ini dikuasai Hamas juga perlu menyerahkan senjata mereka kepada NCAG.

Langkah itu dianggap penting bagi memisahkan pentadbiran awam daripada struktur ketenteraan Hamas, sekali gus mewujudkan asas kepada pentadbiran Palestin yang lebih stabil dan diterima masyarakat antarabangsa.

Walaupun persetujuan itu disifatkan sebagai satu kemajuan, ramai penganalisis percaya cabaran sebenar hanya bermula selepas pengumuman dibuat.

Bekas pegawai kanan Agensi Perisikan Pusat (CIA), Encik Alan Pino, berpandangan pengumuman berkenaan memberi kemenangan diplomatik penting kepada Encik Trump ketika pentadbirannya berdepan tekanan susulan konflik berpanjangan dengan Iran.

Menurut beliau, Rumah Putih berharap kejayaan membawa Hamas menerima pelan pelucutan senjata dapat menghidupkan semula pelan damai Gaza yang sebelum ini dilihat semakin terpinggir akibat perang Iran-Amerika Syarikat.

Encik Trump juga dijangka menggunakan perkembangan itu bagi mengukuhkan imejnya sebagai pemimpin yang mampu menamatkan konflik antarabangsa melalui rundingan.

Namun, Encik Pino menyatakan sebenarnya Hamas menerima tekanan hebat daripada Mesir, Turkey dan Qatar supaya menerima perjanjian itu, selain berdepan kemerosotan sokongan politik dalam kalangan penduduk Gaza sendiri.

Beliau berkata, kumpulan itu juga semakin kehilangan sumber kewangan daripada Iran yang kini bergelut akibat sekatan ekonomi dan perang dengan Amerika.

Dalam keadaan itu, menerima pelan pelucutan senjata mungkin menjadi pilihan terbaik bagi Hamas untuk mengekalkan pengaruh politiknya pada masa depan.

Namun, katanya, persoalan sama ada kumpulan itu benar-benar bersedia menyerahkan semua senjatanya masih belum terjawab.

Jika Hamas berdepan dilema politik, Israel pula tidak kurang sukar.

Encik Pino berkata, pemerintah Benjamin Netanyahu masih belum memberikan persetujuan rasmi terhadap pelan berkenaan walaupun dijangka menerima tekanan kuat daripada Encik Trump.

Menurut beliau, Israel berkemungkinan menerima pelan itu secara prinsip tetapi akan mengenakan pelbagai syarat tambahan sepanjang proses pelaksanaannya.

Ini kerana perjanjian itu dilaksanakan secara berperingkat dan memberi ruang kepada Israel menghentikan proses jika mendakwa Hamas gagal memenuhi tanggungjawabnya.

Pada masa sama, Encik Netanyahu turut berdepan tekanan daripada rakan gabungan politik berhaluan kanan yang mahu operasi ketenteraan diteruskan sehingga Hamas benar-benar kehilangan keupayaan ketenteraannya.

Keadaan itu menjadikan pelaksanaan perjanjian bukan sekadar bergantung kepada persetujuan Hamas, tetapi turut dipengaruhi pertimbangan politik dalaman Israel menjelang pilihan raya yang dijadualkan berlangsung pada Oktober depan.

Bagi bekas Timbalan Penolong Setiausaha Negara Amerika Syarikat bagi Iraq dan Iran, Cik Jennifer Gavito, cabaran terbesar bukan terletak pada pengumuman perjanjian, tetapi memastikan setiap pihak benar-benar melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Menurut beliau, pelan itu memerlukan beberapa proses penting berlaku serentak.

Hamas perlu menyerahkan senjata dan melepaskan kawalan ketenteraan ke atas Gaza, manakala Israel pula perlu menghentikan operasi ketenteraan serta berundur secara berperingkat daripada wilayah itu.

Namun, kedua-dua pihak hampir tidak mempunyai kepercayaan antara satu sama lain.

Atas sebab itu, katanya, penglibatan pihak ketiga seperti Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat amat penting bagi memastikan setiap komitmen dipatuhi.

Pada masa sama, beliau menjangka Iran akan terus berusaha mempengaruhi Hamas supaya melengah-lengahkan proses pelucutan senjata bagi mengekalkan pengaruhnya di rantau itu.

Cik Gavito turut menegaskan kejayaan pelan berkenaan bergantung kepada keupayaan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) yang diberi mandat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Bagaimanapun, beliau mengakui ISF ketika ini masih jauh daripada bersedia kerana hanya mempunyai kira-kira 200 anggota, sedangkan pelaksanaan pelan memerlukan lebih 5,000 anggota bersama ratusan pegawai pentadbiran bagi mengawal keselamatan, menyimpan senjata yang diserahkan Hamas dan mengelakkan kekosongan kuasa di Gaza.

“Tanpa tekanan berterusan daripada Amerika Syarikat dan rakan serantaunya, pelan ini sukar direalisasikan,” katanya.

Pandangan itu turut dikongsi bekas Timbalan Penolong Setiausaha Dasar Antikeganasan Amerika Syarikat, Encik Thomas S. Warrick, yang menyifatkan perjanjian itu hanyalah permulaan kepada proses yang jauh lebih mencabar.

Beliau berkata, pengantara kini perlu menyediakan jadual pelaksanaan yang jelas bagi setiap fasa, termasuk tarikh penempatan ISF, pengambilalihan pentadbiran oleh Jawatankuasa Nasional bagi Pentadbiran Gaza (NCAG) dan proses pelucutan senjata secara berperingkat.

Menurutnya, setiap kelewatan atau tafsiran berbeza terhadap kandungan perjanjian berpotensi menyebabkan keseluruhan proses tergendala sebagaimana berlaku dalam memorandum persefahaman Amerika Syarikat-Iran sebelum ini.

Di pihak Hamas pula, penganalisis Encik Ahmed Fouad Alkhatib, yang berasal dari Gaza dan mengetuai projek Realign for Palestine, berpandangan pelucutan senjata sahaja tidak semestinya mengakhiri pengaruh kumpulan itu.

Beliau menjelaskan Hamas masih menguasai pentadbiran dan keselamatan di Gaza, manakala proses menempatkan pasukan antarabangsa serta polis Palestin baharu dijangka mengambil masa berbulan-bulan.

Dalam tempoh itu, Hamas masih mempunyai ruang untuk menyusun strategi baharu bagi mengekalkan pengaruh politiknya.

Katanya lagi, identiti Hamas selama ini dibina atas konsep bersenjata.

Oleh itu, perubahan sebenar hanya akan berlaku jika kumpulan itu bukan sahaja menyerahkan senjata, malah bersedia meninggalkan pendekatan bersenjata dan menyertai proses politik secara menyeluruh sebagaimana pernah dilakukan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) pada awal 1990-an.

Sementara itu, bekas Duta Amerika Syarikat ke Malta, Cik Gina Abercrombie-Winstanley, mengingatkan bahawa rakyat Gaza melihat perkembangan ini daripada sudut yang berbeza.

Menurut beliau, selepas hampir tiga tahun hidup dalam peperangan, kemusnahan dan krisis kemanusiaan, penduduk Gaza lebih mengutamakan keselamatan, makanan, tempat tinggal dan kemudahan asas berbanding perdebatan mengenai pelucutan senjata.

Beliau berkata, Hamas tidak lagi mampu melindungi penduduk Gaza daripada serangan Israel, malah kewujudan kumpulan bersenjata itu juga gagal menghalang Israel daripada terus meluaskan kawalan ke atas wilayah berkenaan.

Atas sebab itu, ramai penduduk Gaza mungkin berharap penyerahan senjata kepada pentadbiran Palestin yang baharu mampu menghentikan pertumpahan darah dan mempercepatkan usaha pembinaan semula wilayah tersebut.

Bagaimanapun, katanya, mereka juga sedar pelaksanaan perjanjian bergantung kepada kesediaan Israel memenuhi komitmennya untuk berundur secara berperingkat.

Bagi bekas penasihat beberapa perdana menteri Israel, Encik Shalom Lipner, halangan terbesar sebenarnya ialah kekurangan kepercayaan antara kedua-dua pihak.

Israel masih dibayangi serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, manakala Hamas pula terus meragui kesediaan Israel untuk berundur selepas senjata diserahkan.

Beliau menjangka Perdana Menteri Benjamin Netanyahu akan mengambil pendekatan berhati-hati menjelang pilihan raya Oktober ini.

Di satu pihak, Encik Netanyahu perlu memastikan hubungan baik dengan Trump terus terpelihara, namun pada masa sama beliau tidak boleh dilihat tunduk kepada tekanan antarabangsa sehingga menjejaskan kedudukan politiknya di dalam negara.

Keadaan itu berkemungkinan menyebabkan Israel melaksanakan hanya syarat minimum bagi memenuhi kehendak Washington sambil menunggu sebarang alasan untuk mendakwa Hamas gagal mematuhi perjanjian.

Persetujuan Hamas menerima pelan pelucutan senjata sememangnya membuka peluang baharu kepada usaha menamatkan konflik di Gaza.

Namun, seperti ditegaskan kebanyakan pakar Atlantic Council, kejayaan pelan itu tidak bergantung kepada pengumuman politik semata-mata, sebaliknya kepada pelaksanaan yang konsisten, pengesahan antarabangsa yang telus serta kesediaan kedua-dua pihak memenuhi komitmen masing-masing.

Sekiranya setiap fasa berjaya dilaksanakan, Gaza berpotensi memasuki era baharu dengan pentadbiran awam Palestin, penempatan pasukan keselamatan antarabangsa dan permulaan usaha pembinaan semula.

Sebaliknya, jika salah satu pihak gagal mematuhi perjanjian, pelan yang dianggap paling komprehensif sejak konflik bermula itu berisiko menyertai senarai panjang rundingan damai yang akhirnya gagal diterjemahkan di lapangan. - Agensi berita