Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelawat perlu dapat kelulusan sebelum bawa ubat preskripsi ke Saudi mulai Nov

Nov 12, 2025 | 11:21 AM
Pelawat melintasi gambar Raja Arab Saudi, Salman bin Abdulaziz Al Saud, Putera Mahkota Mohammed bin Salman, serta raja-raja terdahulu Arab Saudi ketika mereka tiba di sebuah destinasi pelancongan di Abha, Arab Saudi, pada 19 Ogos 2025.
Pelawat melintasi gambar Raja Arab Saudi, Salman bin Abdulaziz Al Saud, Putera Mahkota Mohammed bin Salman, serta raja-raja terdahulu Arab Saudi ketika mereka tiba di sebuah destinasi pelancongan di Abha, Arab Saudi, pada 19 Ogos 2025. - Foto REUTERS

RIYADH: Mulai 1 November lalu, kerajaan Arab Saudi telah mewajibkan semua pengembara yang masuk atau keluar dari negara itu untuk mendaftar terlebih dahulu jika membawa ubat preskripsi tertentu, termasuk ubat tahan sakit, ubat kebimbangan dan ubat rawatan Gangguan Hiperaktif Kurang Tumpuan (ADHD).

Peraturan baru itu diumumkan oleh Pihak Berkuasa Makanan dan Ubat-Ubatan Arab Saudi (SFDA) menerus platform X bagi mengawal penggunaan ubat-ubatan yang mengandungi bahan narkotik dan psikotropik.

Semua pengembara kini perlu mendapatkan kelulusan elektronik terlebih dahulu melalui sistem dalam talian Sistem Ubat Terkawal (CDS) sebelum tiba atau meninggalkan negara tersebut.

Dalam laman rasminya, SFDA menegaskan bahawa langkah itu bukan sekadar kawalan, malah bertujuan melindungi pesakit yang memerlukan ubat preskripsi mereka ketika melancong.

“Sistem baru ini memastikan pesakit boleh membawa ubat mereka tanpa kelewatan, sambil mengekalkan piawaian keselamatan untuk mencegah penyalahgunaan,” menurut agensi itu.

SFDA menjelaskan bahawa permohonan boleh dibuat secara dalam talian dengan membuka akaun peribadi di portal CDS.

Pengembara perlu memuat naik preskripsi doktor, laporan perubatan, serta dokumen pengenalan diri.

Permohonan kemudiannya boleh dipantau secara langsung dengan status seperti “Dihantar”, “Selesai”, “Ditolak” atau “Tidak Lengkap”.

SFDA turut memberi amaran bahawa pengembara yang gagal mendapatkan kelulusan terlebih dahulu mungkin berdepan tindakan di pihak kastam, termasuk kemungkinan dihalang daripada memasuki atau meninggalkan negara tersebut.

“Kami ingin memastikan ubat-ubatan yang dibawa masuk adalah untuk kegunaan sah, bukan untuk tujuan penyalahgunaan,” kata jurucakap SFDA dalam satu kenyataan.

Antara ubat yang tertakluk di bawah peraturan ini termasuk Xanax, Adderall, Vicodin, Ambien, Klonopin, Ritalin, Valium, Lyrica dan Tramadol, serta ubat yang mengandungi codeine.

Semua ubat tersebut dikategorikan sebagai ubat terkawal yang hanya boleh dibawa dengan bukti keperluan perubatan yang sah.

SFDA menjelaskan bahawa peraturan baru ini menunjukkan komitmen Arab Saudi untuk meningkatkan keselamatan kesihatan awam tanpa menjejaskan hak pesakit.

Ia juga memperkukuh sistem pemantauan kerajaan terhadap ubat terkawal yang keluar dan masuk ke negara itu.

“Langkah ini sejajar dengan usaha kerajaan untuk menambah baik kecekapan perjalanan sambil menegakkan undang-undang kesihatan awam,” kata kenyataan itu lagi.

Maklumat lanjut mengenai cara memohon permit ubat terkawal boleh diperoleh melalui laman web rasmi SFDA di https://cds.sfda.gov.sa.

Sistem itu membolehkan pengembara memohon permit pada bila-bila masa dan dari mana-mana lokasi, sekali gus mengurangkan keperluan menjalani pemeriksaan tambahan di lapangan terbang. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg