RIYADH: Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi telah mengumumkan pindaan baru terhadap peraturan visa umrah, dengan tempoh sah laku visa sebelum kemasukan kini dipendekkan dari tiga bulan kepada hanya sebulan dari tarikh dikeluarkan, lapor Al Arabiya memetik sumber kementerian itu.
Menurut sumber, perubahan itu akan berkuat kuasa minggu depan.
Bagaimanapun, tempoh maksimum tinggal di Arab Saudi selepas ketibaan jemaah kekal tidak berubah iaitu tiga bulan.
“Visa Umrah kini akan dibatalkan secara automatik selepas 30 hari jika pemegang visa tidak memasuki negara ini dalam tempoh tersebut,” jelas laporan itu.
Penasihat kepada Jawatankuasa Kebangsaan Umrah dan Ziarah, Encik Ahmed Bajaeifer, berkata langkah itu sebahagian daripada persiapan kementerian dalam menghadapi peningkatan mendadak bilangan jemaah umrah menjelang musim sejuk.
“Selepas musim panas berakhir dan suhu menurun di Makkah serta Madinah, kami menjangkakan lonjakan besar jumlah jemaah antarabangsa.
“Oleh itu, kementerian mahu memastikan pengurusan kemasukan lebih teratur bagi mengelak kesesakan di dua kota suci,” katanya kepada Al Arabiya.
Beliau menambah bahawa keputusan itu juga akan memudahkan pemantauan dan memperkukuh keberkesanan sistem visa digital baru.
“Langkah ini bukan untuk menyusahkan jemaah, tetapi untuk melancarkan perjalanan mereka dan memastikan keselamatan serta keselesaan ketika menunaikan ibadah,” jelasnya.
Sejak permulaan musim umrah baru pada awal Jun, lebih 4 juta visa umrah telah dikeluarkan kepada jemaah antarabangsa, menjadikan musim ini antara yang paling berjaya dalam sejarah, menurut data yang diperoleh Al Arabiya.
“Jumlah ini luar biasa, hanya dalam tempoh lima bulan, kami telah mencatat rekod tertinggi dari segi bilangan jemaah luar negara,” kata seorang pegawai kementerian.
Langkah memperkemas proses visa ini turut seiring dengan matlamat Wawasan 2030 Arab Saudi yang menekankan pemodenan sistem perkhidmatan haji dan umrah serta memperluas akses kepada umat Islam di seluruh dunia.
Sebelum ini, kementerian mengumumkan bahawa semua pemegang visa sah ke Arab Saudi kini dibenarkan menunaikan umrah, tanpa perlu memohon visa khas.
Kenyataan itu menambah bahawa kemudahan itu meliputi visa lawatan peribadi dan keluarga, visa transit, visa kerja, visa pelancong elektronik (eVisa) dan lain-lain.
“Untuk perjalanan umrah yang lancar, lawati platform Nusuk Umrah, pilih pakej yang sesuai dan dapatkan visa anda serta-merta,” jelas kenyataan itu.
Menurut Encik Ahmed Bajaeifer: “Arab Saudi bukan sahaja memperkemas proses visa, bahkan juga memperluas peluang umat Islam dari seluruh dunia untuk menjadi tetamu Allah dengan lebih mudah.
“Ini adalah transformasi penting dalam sektor perkhidmatan umrah.”
Peraturan baru itu dijangka memberi kesan positif terhadap aliran masuk jemaah, di samping memastikan kestabilan dan keselamatan logistik di kota Makkah dan Madinah – pusat kerohanian dunia Islam yang menerima jutaan pengunjung setiap tahun. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg