Pembunuhan anak Gaddafi jejas masa depan politik Libya

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pembunuhan anak Gaddafi jejas masa depan politik Libya

Saif al-Islam antara tokoh terakhir yang mampu satukan elit keselamatan, tokoh politik yang masih setia kepada pemerintahan lama
Feb 23, 2026 | 5:30 AM

Pembunuhan anak Gaddafi jejas masa depan politik Libya

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Orang ramai berkumpul semasa upacara pengebumian Saif al-Islam, anak kepada bekas pemimpin Libya Muammar Gaddafi yang terbunuh, di Bani Walid, wilayah Tripoli, Libya, 6 Februari.
Orang ramai berkumpul semasa upacara pengebumian Saif al-Islam, anak kepada bekas pemimpin Libya Muammar Gaddafi yang terbunuh, di Bani Walid, wilayah Tripoli, Libya, 6 Februari. - – Foto EPA

TRIPOLI: Pembunuhan Encik Saif al-Islam Gaddafi berpotensi menambah lagi kebuntuan politik Libya, sekali gus memperdalam kepercayaan sebahagian rakyat bahawa projek ‘Libya Baru’ selepas revolusi 2011 telah gagal.

Ketika ribuan penyokong berkumpul di kubu lama keluarga bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi, di bandar Bani Walid bagi memberi penghormatan terakhir, suasana yang terhasil bukan sekadar berkabung, malah mencerminkan perubahan arah politik negara itu.

Encik Saif, 53 tahun, merupakan antara tokoh terakhir yang mampu menyatukan elit keselamatan, tokoh politik dan masyarakat yang masih setia kepada pemerintahan lama.

Pembunuhannya pada 3 Februari oleh empat lelaki bertopeng memaksa penyokong dan penentang menilai semula keseimbangan kuasa dalam negara yang sudah lama terpecah.

Seorang individu yang bertemu beliau beberapa minggu sebelum kematiannya berkata:

“Beliau kelihatan tenang dan yakin, seolah-olah tidak terancam oleh konflik politik di sekelilingnya.”

Encik Saif sering menggambarkan padang pasir Libya sebagai ruang kebebasan, suatu kepercayaan kepada perlindungan tempatan yang akhirnya menjadi kelemahan keselamatannya.

Bani Walid, sebuah bandar di selatan Tripoli yang dikenali sebagai kubu kuat penyokong keluarga Gaddafi sejak perang 2011, menjadi simbol penting memori politik Libya pasca revolusi.

Di pintu masuk bandar itu terpampang papan iklan besar memaparkan Gaddafi bersama tokoh lain yang terbunuh ketika mempertahankan bandar tersebut, dan kini potret Encik Saif turut ditambah.

Simbolisme itu menunjukkan sebahagian penduduk setempat melihat revolusi bukan sebagai permulaan era baharu, bahkan sebagai gangguan terhadap kestabilan lama.

Walaupun Bani Walid menjadi pusat sokongan kuat terhadap Encik Saif, beliau sebenarnya berada di bandar Zintan – sebuah bandar lain di barat Libya yang sejak lama menempatkannya di bawah perlindungan tidak rasmi.

Dalam konteks inilah pembunuhan berlaku, selepas muncul kempen hasutan kecil tetapi berkesan di Zintan.

Beberapa tokoh tempatan dan pengaruh media sosial mula mempersoalkan kehadirannya di bandar tersebut.

Walaupun pandangan itu tidak mewakili keseluruhan masyarakat, penyebaran digital menjadikannya kelihatan seperti penolakan meluas, sekali gus melemahkan perlindungan politik yang sebelum ini dianggap kukuh.

Naratif dari Tripoli pula menggambarkan Encik Saif bukan lagi tetamu di bawah perlindungan, sebaliknya liabiliti politik dan penghalang pilihan raya.

Tiada seruan terbuka untuk membunuhnya, namun mesejnya jelas: Perlindungan mutlak harus berakhir.

Apabila penyerang tiba, beliau telahpun terasing secara politik dan keselamatan.

Encik Saif sebelum ini merupakan antara tokoh paling berpengaruh dan digeruni di Libya selepas bapanya, yang digulingkan dan terbunuh dalam kebangkitan rakyat pada 2011.

Dilahirkan pada 1972, beliau memainkan peranan penting dalam usaha Libya menjalinkan hubungan lebih rapat dengan negara Barat sejak 2000, sebelum kejatuhan rejim Gaddafi.

Selepas kejatuhan bapanya, Encik Saif ditahan oleh militia pesaing di Zintan selama hampir enam tahun.

Kegagalan keselamatan di Zintan – bandar yang selama sedekad berjaya melindunginya – dianggap terlalu tepat untuk berlaku secara kebetulan.

Hampir semua pemain politik dalam negara mempunyai sebab untuk melihatnya hilang dari pentas politik.

Pada 2021, pilihan raya presiden dibatalkan ketika Encik Saif dijangka menang selepas mahkamah meluluskan pencalonannya.

Kehadirannya memberi ancaman kepada elit peralihan sedia ada.

Tanpa beliau, proses pilihan raya lebih mudah dikawal dan kemungkinan penyokong ‘Hijau’ disingkirkan sepenuhnya.

Beliau dituduh terlibat secara langsung dalam tindakan keras terhadap bantahan antipemerintah yang mencetuskan kebangkitan rakyat.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sebelum ini mahu mengheretnya ke perbicaraan atas tuduhan jenayah terhadap kemanusiaan berkaitan penindasan demonstrasi pada 2011.

Pada 2015, sebuah mahkamah Libya menjatuhkan hukuman mati terhadapnya walaupun beliau secara in absentia atau tidak hadir dalam tahanan mahkamah semasa perbicaraan berlangsung.

Walaupun tidak memegang sebarang jawatan rasmi dalam pemerintah, Encik Saif berpengaruh besar dalam pembentukan dasar dan rundingan berprofil tinggi, termasuk perjanjian yang membawa kepada Libya meninggalkan program senjata nuklearnya.

Langkah itu menyaksikan sekatan antarabangsa terhadap negara Afrika Utara tersebut ditarik balik, dan beliau ketika itu dianggap oleh sesetengah pihak sebagai wajah reformasi Libya.

Encik Saif sebelum ini menafikan hasrat mewarisi kuasa bapanya dengan menyatakan bahawa kuasa bukan ‘ladang untuk diwarisi’.

Namun, pada 2021, beliau mengumumkan hasrat bertanding dalam pilihan raya presiden Libya yang akhirnya ditangguhkan tanpa tempoh masa yang ditetapkan.

Seorang penganalisis Libya dari Universiti Benghazi, Dr Khaled al-Mahjoub, berkata:

“Dengan ketiadaan Saif, keseimbangan kuasa tidak berubah. Kebuntuan perkongsian kuasa kekal selesa bagi semua pihak yang memegang sumber negara.”

Pendakwa raya Libya segera memulakan siasatan, dan ketua pasukan politiknya, Encik Abdulla Othman, menyatakan keputusan dijangka “dalam beberapa hari”.

Seorang lagi anak lelaki Gaddafi yang juga adik kepada Encik Saif, Encik Saadi Gaddafi, yang berada dalam buangan di Turkey turut berkata keluarganya “menunggu hasil siasatan dan mempercayai badan kehakiman”.

Namun rekod lama kes pembunuhan politik menimbulkan keraguan.

Seorang pakar undang-undang di Bani Walid berkata beberapa kuasa luar mungkin mempunyai “insentif besar untuk menyingkirkannya”.

Masalahnya lebih mendalam sistem kehakiman Libya sendiri berpecah antara mahkamah perlembagaan di Tripoli dengan mahkamah tertinggi di Benghazi.

Dua keputusan yang saling bercanggah menyebabkan siasatan bermula dalam keadaan tidak diyakini.

Tanpa badan kehakiman tunggal yang dihormati semua pihak, keputusan apa pun akan dipersoal.

Kes itu berisiko menyertai kitaran kekebalan undang-undang yang telah lama membentuk ciri Libya.

Pembunuhan itu juga memberi kesan kepada proses dialog Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertujuan menyatukan negara.

Sejak 2017, PBB menegaskan keamanan tidak akan berkekalan tanpa penyertaan penyokong bekas rejim.

Kematian Encik Saif berpotensi melumpuhkan landasan perdamaian.

Seorang pemerhati diplomatik Timur Tengah dari Pusat Kajian Strategik Mediterranean, Dr Lina Al-Khatib, berkata:

“Bukan kerana PBB tiada kemahuan, tetapi kerana pemain tempatan memegang senjata.”

Selepas kejatuhan Gaddafi pada 2011, Libya bukan berdepan isu dalaman semata-mata.

Setiap kuasa luar mempunyai kepentingan berbeza terhadap siapakah yang memerintah negara itu, khususnya kerana faktor minyak, keselamatan Mediterranean dan migrasi.

London dan Washington menolak legitimasi Encik Saif kerana beliau dilihat simbol kesinambungan rejim lama serta berkait kes jenayah perang di ICC.

Bagi mereka, menerima Encik Saif bererti mengakui kegagalan projek perubahan politik selepas 2011.

Sebaliknya Paris dan Rom lebih bersifat pragmatik.

Kedua-dua negara Eropah itu menghadapi kesan langsung ketidakstabilan Libya seperti aliran migran dan gangguan bekalan tenaga.

Oleh itu, mereka cenderung menerima mana-mana pemimpin yang mampu menjamin kestabilan, walaupun berasal daripada bekas rejim.

Di sinilah kaitannya dengan kehadiran besar di pengebumian Encik Saif.

Sokongan ramai rakyat menunjukkan sebahagian masyarakat tidak lagi menilai politik berdasarkan revolusi atau ideologi, tetapi berdasarkan kestabilan dan kehidupan harian.

Ramai melihat era pasca-2011 gagal menyediakan keselamatan dan ekonomi yang dijanjikan.

Perbezaan sikap kuasa luar mencerminkan realiti di dalam negara: Bagi sesetengah pihak, Saif ialah masalah legitimasi; bagi yang lain, beliau mungkin penyelesaian kestabilan.

Bagi sebahagian besar warga Libya, kejatuhan negara lama tidak digantikan dengan demokrasi yang benar-benar berfungsi, sebaliknya oleh elit peralihan yang terus memerintah dalam keadaan ‘peralihan sementara’ yang berpanjangan.

Dalam konteks ini, pembunuhan Encik Saif menutup ruang kepada kemungkinan kemunculan perubahan populis yang boleh mencabar struktur kuasa sedia ada.

Walaupun kematiannya mungkin menghilangkan pesaing politik utama, ia pada masa yang sama menguatkan tanggapan bahawa projek ‘Libya Baru’ belum mencapai hasil yang diharapkan.

Negara itu kekal terperangkap dalam proses peralihan tanpa penghujung, dan ketiadaan tokoh penyatu hanya memperdalam jurang politik serta sosial yang sedia wujud. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg