Badan amal, Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF), akan mengalihkan tumpuannya kepada usaha pemulihan dan pembangunan semula jangka panjang di Gaza, dengan projek baru berpandukan sokongan penjagaan kesihatan dan pendidikan.
Dua aspek ini adalah penting bagi membantu keluarga yang terjejas dengan konflik Israel-Palestin di Gaza membina semula kehidupan mereka, kata RLAF dalam satu kenyataan pada 3 November.
Sebagai contoh, badan itu sedang bekerjasama dengan badan bukan mencari untung, Humanity Matters, dan Bulan Sabit Merah Mesir (ERC) menubuhkan klinik kesihatan bergerak.
Klinik itu akan menyediakan perkhidmatan kesihatan untuk golongan ibu dan anak, vaksinasi dan rawatan asas serta melatih petugas kesihatan tempatan, kata RLAF.
Badan itu menambah ia sedang meneroka cara menyediakan khemah dan tempat perlindungan, serta mewujudkan kemudahan dapur di Gaza.
Di samping itu, RLAF sedang bekerjasama dengan Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) membangunkan program pendidikan digital bagi kanak-kanak pelarian untuk terus belajar melalui wadah dalam talian.
Ini akan melibatkan usaha menghubungkan guru yang berkelayakan dari Singapura dan serantau bersama pelajar di Gaza.
Ketua eksekutif RLAF, Encik Adnan Abdul Hamid, berkata: “Projek sedemikian menunjukkan (tahap) kepercayaan masyarakat terhadap penyelesaian jangka panjang.
“Bantuan bukan seharusnya daripada aspek kepantasan dan jangka pendek, malah (perlu) membantu keluarga membina semula masa depan mereka.”
RLAF berkata wakilnya telah melawat Unicef dan ERC di Mesir dari 28 Oktober hingga 1 November yang diwakili oleh pengerusi, Encik Abdul Razak Maricar, dan Encik Adnan.
Mereka bertemu pegawai Unicef dan ERC di Kahirah, melawat gudang bantuan dan memerhatikan penghantaran bekalan kemanusiaan.
Lawatan badan tersebut bertepatan dengan lawatan rasmi Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Dr Faishal berada di Mesir bagi lawatan kerja dari 31 Oktober hingga 2 November sebelum berlepas untuk lawatan ke Arab Saudi dan Jordan.
Pasukan RLAF itu memberi taklimat kepada Dr Faishal mengenai bagaimana sumbangan dari Singapura digunakan untuk menyediakan makanan dan bantuan perubatan kepada keluarga terjejas.
Yayasan itu sebelum ini mengumumkan ia telah memperuntukkan dana lebih $2.4 juta melalui kempen pengumpulan dana Aid for Gaza 2025.
RLAF berkata ERC sedang menguruskan penghantaran bantuan melalui hab Sinai Utara dan sempadan Rafah serta bekerjasama dengan rakan kongsi antarabangsa untuk mendapatkan bekalan ke Gaza.
Encik Adnan berkata: “Dengan bekerjasama secara langsung bersama Unicef dan ERC, kami memastikan setiap dolar (atau wang) yang disumbangkan digunakan secara berkesan bagi membantu kanak-kanak dan keluarga di Gaza.”
Dalam satu hantaran Facebook pada 3 November, Dr Faishal berkata beliau berbesar hati melihat kerjasama kukuh RLAF bersama Unicef dan ERC bagi memastikan bantuan terus sampai ke keluarga yang memerlukan dengan berkesan.
Beliau berkata Singapura kekal komited menyokong usaha kemanusiaan di Gaza dan akan terus bekerjasama rapat dengan rakan kongsi serantau seperti Mesir.
“Sokongan ini bukan sahaja dilahirkan daripada Pemerintah, malah daripada rakyat Singapura daripada semua kaum dan agama.
“Setiap sumbangan melambangkan kepercayaan bahawa nilai kemanusiaan bersama harus sentiasa diutamakan,” ujarnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg