Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasar Gaza kembali meriah, bantuan masih terhad

Oct 16, 2025 | 10:17 AM
Gaza, gencatan senjata, hidup kembali normal
Penduduk Palestin membeli-belah di pasar sementara di kem pelarian Nuseirat, yang terletak di tengah Jaluran Gaza, pada 15 Oktober, dua hari selepas gencatan senjata berkuat kuasa. Israel dijangka membuka semula satu-satunya lintasan sempadan Gaza ke dunia luar pada hari yang sama bagi membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan ke wilayah yang musnah itu, sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat. - Foto AFP

BANDAR GAZA: Suasana di pusat Bandar Gaza dan Khan Younis kembali meriah apabila penduduk Palestin mula pulang secara bertahap-tahap ke wilayah mereka selepas gencatan senjata dikuatkuasakan.

Jalan-jalan pasar dipenuhi orang ramai, gerai jualan dan kenderaan berkuda yang membawa barangan harian – satu pemandangan yang sudah lama tidak kelihatan akibat dua tahun peperangan.

“Rasa macam mimpi dapat lihat pasar penuh semula,” kata Encik Youssef Fares, seorang wartawan tempatan yang merakam suasana di kawasan pasar lama Gaza.

“Dulu tempat ini sunyi dan musnah, sekarang kedengaran suara tawar-menawar semula.”

Walaupun suasana lebih tenang, ramai penduduk masih berhati-hati.

Mereka cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan baru selepas pengeboman berterusan yang meragut puluhan ribu nyawa dan memusnahkan sebahagian besar wilayah Gaza.

Sebuah lori bantuan dilihat memasuki kawasan pasar Khan Younis pada pagi 15 Oktober membawa bekalan makanan asas dan ubat-ubatan.

Israel sebelum ini membatalkan rancangan mengehadkan jumlah bantuan selepas menerima pemulangan mayat empat tebusan dan membuka semula lintasan Rafah di sempadan Gaza-Mesir.

Ketua Bantuan Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Tom Fletcher, menggesa Israel membuka lebih banyak lintasan bagi membolehkan kemasukan bantuan kemanusiaan dalam jumlah besar.

“Kami ada 190,000 tan metrik bekalan di sempadan yang menunggu untuk dihantar. Itu makanan dan nutrisi yang dapat menyelamatkan nyawa,” katanya kepada agensi berita, Reuters.

“Israel perlu membuka lebih banyak laluan segera. Ratusan lori tidak mencukupi, ribuan diperlukan setiap minggu untuk mengelak bencana kemanusiaan yang lebih buruk.”

Encik Fletcher menambah penghantaran bantuan ke Gaza kini jauh lebih kecil daripada yang diperlukan.

Walaupun Israel membenarkan 600 lori masuk di bawah perjanjian gencatan senjata yang dirintis Amerika Syarikat, jumlah itu hanya “langkah permulaan”.

Beliau turut menyeru agar lebih 50 pertubuhan bukan pemerintah antarabangsa seperti Oxfam dan Majlis Pelarian Norway dibenarkan kembali beroperasi di Gaza.

“Kami tidak dapat menghantar bantuan pada skala diperlukan tanpa sokongan mereka,” kata Encik Fletcher.

“Kami mendesak akses tanpa halangan, ia mesti dilaksanakan sekarang.”

Sementara itu, Penguasa Palestin (PA) di Tebing Barat menyatakan kesediaan untuk menguruskan semula lintasan Rafah dengan bantuan Kesatuan Eropah.

Encik Fletcher menyambut baik cadangan itu, dengan menegaskan bahawa penghantaran pesakit dan kecemasan perubatan melalui lintasan tersebut harus menjadi keutamaan.

“Kami sudah berbincang dengan Presiden Mesir (Encik Abdel Fattah el-Sisi), dan Presiden PA (Encik Mahmoud Abbas).

“Keutamaan ialah menyelamatkan nyawa mereka yang sakit atau cedera,” ujar Encik Fletcher.

Namun pada petang 15 Oktober, lintasan Rafah masih belum dibuka sepenuhnya.

Video Reuters menunjukkan trak bantuan menyeberang dari sisi Mesir ke kawasan sempadan Gaza membawa bahan api dan palet makanan, tetapi belum jelas sama ada konvoi itu dibenarkan masuk sepenuhnya ke Gaza.

Israel memberi amaran akan menutup semula lintasan dan mengehadkan bantuan jika Hamas gagal menyerahkan baki mayat tebusan seperti yang dipersetujui dalam perjanjian gencatan.

Peperangan dua tahun di Gaza telah memindahkan hampir keseluruhan 2.2 juta penduduk dan menyebabkan lebih 68,000 orang terbunuh, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin.

Kawasan pantai yang dulunya padat kini menjadi padang jarak hasil serangan udara dan artileri Israel.

Namun bagi warga Gaza, pasar yang kembali hidup memberi sedikit harapan bahawa kehidupan boleh dimulakan semula.

“Kami hanya mahu hidup seperti dulu bekerja, membeli barang, melihat anak-anak bermain tanpa bunyi letupan,” kata penduduk Gaza yang baru kembali ke rumahnya, Cik Umm Khaled.

“Gencatan ini mungkin sementara, tapi kami harap ia jadi permulaan kedamaian sebenar.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg