Penerbangan komersial pertama bawa pulang warga Indonesia dari Iran
Penerbangan komersial pertama bawa pulang warga Indonesia dari Iran
JAKARTA: Sebuah penerbangan komersial pertama yang membawa pulang warga Indonesia dari Iran selamat tiba di Jakarta pada malam 25 Jun, di tengah-tengah ketegangan serantau yang semakin meningkat akibat konflik bersenjata antara Iran, Israel dengan Amerika Syarikat.
Seramai 11 orang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta menerusi pesawat Turkish Airlines selepas berlepas dari ibu negara Azerbaijan, Baku.
Kumpulan tersebut merupakan sebahagian daripada 29 rakyat Indonesia yang dijadual pulang dalam tiga penerbangan berbeza dari Baku.
Namun dua penerbangan lain terpaksa dijadual semula selepas ruang udara Qatar ditutup buat sementara waktu.
Penutupan ruang udara itu berlaku susulan serangan peluru berpandu Iran ke atas Pangkalan Udara Al-Udeid milik Amerika di Qatar, sebagai tindak balas terhadap serangan Washington ke atas tiga tapak nuklear Iran.
Akibatnya, dua penerbangan Qatar Airways yang dijadual membawa pulang rakyat Indonesia terjejas.
Menurut diplomat kanan Indonesia, Encik Andy Rachmianto, yang menyelaras proses pemindahan dari Teheran, pihak kedutaan menerima lebih banyak permintaan untuk perjalanan pulang sejak konflik memuncak.
“Peningkatan konflik masih berlaku dan situasi terus berubah dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan media.
Pemerintah Indonesia akan melaksanakan fasa kedua pemindahan dalam masa terdekat kerana “keselamatan dan kepulangan rakyat kita adalah keutamaan”, tambahnya.
Sehingga lewat malam 24 Jun, hanya 96 warga Indonesia dilaporkan berjaya keluar dari Iran menggunakan laluan darat melalui Azerbaijan.
Daripada jumlah itu, 93 adalah orang awam manakala tiga lagi ialah kakitangan kedutaan.
Difahamkan, terdapat sekitar 386 warga Indonesia yang tinggal di Iran, kebanyakannya menuntut di kota suci Qom.
Konflik yang tercetus sejak 13 Jun telah mengakibatkan gangguan besar terhadap perjalanan udara sejagat.
Walaupun gencatan senjata antara Iran dengan Israel diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada malam 23 Jun, banyak syarikat penerbangan masih membatalkan laluan tertentu atas faktor keselamatan.
Emirates, syarikat penerbangan berpangkalan di Dubai, menggantung semua penerbangan ke Iran dan Iraq sehingga 30 Jun.
Laluan ke Baghdad dan Basra juga turut terjejas. Beberapa penerbangan lain masih beroperasi tetapi melalui laluan yang mengelakkan kawasan konflik.
Sementara itu, Gulf Air dari Bahrain melanjutkan pembatalan penerbangan ke Jordan sehingga 27 Jun.
Data daripada FlightAware menunjukkan 382 pembatalan penerbangan di peringkat sejagat pada pagi 24 Jun, selepas 834 pembatalan direkodkan pada 23 Jun.
Israel pula membuka kembali ruang udaranya kepada penerbangan awam selepas Komando Bahagian Dalam Negeri mengangkat sekatan terhadap perhimpunan, susulan gencatan senjata yang kini berkuat kuasa.
Lapangan Terbang Ben Gurion di Tel Aviv kembali beroperasi sepenuhnya selepas hampir dua minggu ditutup.
Pemerintah Israel kini memulakan operasi penghantaran pulang rakyatnya dari luar negara, dianggarkan antara 100,000 dengan 150,000 orang, di samping membantu mereka yang terkandas untuk meninggalkan negara itu.
“Sekatan terhadap jumlah penerbangan keluar dan masuk serta jumlah penumpang telah ditarik balik.
“Sekatan terhadap kehadiran penumpang dan pengiring di terminal juga telah dimansuhkan, kata Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Israel dalam satu kenyataan.” – Agensi berita

