Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Negara Teluk buka semula ruang udara, sambung penerbangan

Jun 24, 2025 | 2:11 PM
Doha, Qatar, Iran, ruang udara
Peluru berpandu pemintas dilancarkan, seperti yang dilihat dari Doha, Qatar, pada 23 Jun 2025. Ia khusus untuk memintas peluru berpandu yang dilancar dari Iran ke sebuah pangkalan tentera Amerika Syarikat di Qatar. - Foto REUTERS

DUBAI: Beberapa negara di rantau Teluk Parsi termasuk Qatar dan Amiriah Arab Bersatu (UAE), telah membuka semula ruang udara mereka dan menyambung operasi di beberapa lapangan terbang paling sibuk di dunia selepas menghentikan penerbangan, sedang Iran melancarkan serangan udara ke pangkalan Amerika Syarikat di Qatar.

Qatar sebelum ini menghalang semua penerbangan daripada memasuki kawasan udaranya ketika ia bersiap sedia bagi menghadapi serangan Teheran.

Negara jiran Bahrain, UAE dan Kuwait dengan segera turut menutup ruang udara sebagai langkah berjaga-jaga.

Gangguan itu telah berlarutan beberapa jam dan mengakibatkan berpuluh-puluh pesawat melencong dari bandar hab utama Dubai dan Doha.

Syarikat penerbangan antarabangsa terbesar dunia, Emirates, menyatakan berikutan “keadaan serantau baru-baru ini, beberapa penerbangan Emirates telah dihalakan semula dalam perjalanan ke Dubai pada 23 Jun, tetapi tiada sebarang lencongan.

“Selepas penilaian risiko yang teliti dan berhati-hati, Emirates akan terus mengendalikan penerbangan seperti yang dijadual, menggunakan laluan penerbangan yang jauh dari kawasan konflik”.

Dalam satu kenyataan akhbar, Qatar Airways mengesahkan ia telah memulakan semula penerbangan pada 24 Jun, sambil menyatakan syarikat penerbangan itu telah mengerahkan kakitangan darat tambahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad untuk membantu menyambung semula operasi.

Qatar Airways adalah yang paling terjejas akibat gangguan di lapangan terbang Doha, tempat penutupan berlaku dalam tempoh paling lama.

Ini kerana ia mengendalikan lebih 80 peratus penerbangan di hab itu, menurut laman web, ch-aviation, yang menyusun data perusahaan itu.

Penutupan ruang udara Teluk itu menandakan kali pertama dalam 20 bulan, konflik di rantau itu akhirnya mengganggu penerbangan ke negara-negara kaya tenaga di situ.

Sejak Israel memulakan kempen ketenteraannya terhadap Iran pada 13 Jun, dua negara itu saling menyerang dan mengebom negara lawan.

Amerika pula melancarkan 75 peluru berpandu tepat termasuk bom pemusnah bunker dan lebih dua dozen peluru berpandu Tomahawk terhadap tiga tapak nuklear Iran pada 21 Jun. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg