BAITULMAKDIS: Ketika perang Israel di Gaza berlarutan memasuki bulan ke-22, ketegangan bukan sahaja berlaku di medan tempur bahkan turut merebak ke dalam masyarakat Israel sendiri, memecahbelahkan keluarga, sahabat dan lapisan politik negara itu.
Golongan keluarga tebusan serta aktivis keamanan kini menuntut agar pemerintah pimpinan Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu, menghentikan perang dan mencapai perjanjian gencatan senjata dengan Hamas bagi membebaskan baki tebusan yang masih ditawan sejak serangan 7 Oktober 2023.
Namun, anggota Kabinet sayap kanan Encik Netanyahu pula mahu menggunakan peluang itu untuk menduduki lebih banyak tanah Palestin, walaupun berisiko meningkatkan kecaman antarabangsa.
“Semakin perang ini berterusan, semakin masyarakat kita berpecah,” kata Encik Emanuel Yitzchak Levi, seorang guru, penyair dan aktivis keamanan dari sayap kiri agama Israel kepada agensi berita, AFP, dalam perhimpunan di Dataran Dizengoff, Tel Aviv.
“Sukar untuk kekal sebagai anak yang baik, abang yang baik, atau sahabat kepada seseorang yang daripada pandangan saya menyokong jenayah terhadap kemanusiaan.”
Sewaktu Encik Levi bercakap, seorang penunggang basikal muncul dan menjerit “pengkhianat” kepada peserta perhimpunan, mendakwa mereka membantu Hamas secara tidak langsung.
Seorang lagi warga Tel Aviv, Encik Dvir Berko, 36 tahun, pekerja sektor teknologi, memberikan pandangan berbeza.
Ketika berhenti menaiki skuternya, beliau mempertikaikan gesaan gencatan senjata dan mendakwa laporan antarabangsa mengenai kebuluran di Gaza adalah berlebihan.
“Hamas mulakan perang ini. Dalam mana-mana perang, akan ada perkara buruk yang berlaku.
“Anda tak akan kirim bunga kepada pihak yang melancarkan perang. Mereka perlu tahu akibatnya,” kata Encik Berko.
Menurut wartawan bebas, Encik Meron Rapoport, masyarakat Israel sudah berpecah sejak sebelum perang, khususnya semasa bantahan antirasuah terhadap Encik Netanyahu dan isu reformasi kehakiman.
Namun selepas serangan Hamas, rakyat pada awalnya dilihat bersatu.
Kini, apabila perang berpanjangan dan Israel dikritik di peringkat antarabangsa, perbezaan ideologi kian ketara.
“Pada mulanya semua anggap ini perang yang sah.
“Namun apabila matlamat ketenteraan tercapai, ramai kini melihat perang ini didorong oleh kepentingan politik, bukan lagi keselamatan,” kata Encik Rapoport.
Menurut tinjauan Institut Kajian Keselamatan Negara yang dijalankan antara 24 Julai dengan 28 Julai, kebanyakan rakyat Israel masih menyalahkan Hamas atas kegagalan mencapai perjanjian pembebasan tebusan.
Namun, hanya 24 peratus warga Israel benar-benar bimbang dengan krisis kemanusiaan di Gaza meskipun Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran kebuluran sedang melanda.
Penulis dan aktivis keamanan Encik Mika Almog, 50 tahun, berkata tentera Israel adalah anak-anak rakyat sendiri.
“Anak-anak kita dihantar bertempur dalam perang yang tidak sah dan bersifat politik. Ini bukan lagi soal keselamatan,” katanya.
Dalam satu surat terbuka pada 4 Ogos, 550 bekas diplomat, pegawai tentera dan ketua perisikan Israel menyeru Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, supaya meningkatkan tekanan ke atas Encik Netanyahu agar menamatkan operasi ketenteraan dan memberi tumpuan pada perjanjian tebusan.
“Pada awalnya, perang ini sah. Tetapi apabila semua matlamat ketenteraan dicapai, perang ini tidak lagi berasas. Ia sedang menghancurkan keselamatan dan jati diri negara Israel,” kata bekas Ketua, agensi keselamatan Israel, Shin Bet, Encik Ami Ayalon.
Sementara itu, di Northampton, Massachusetts, lebih 100 individu daripada anggota masyarakat Yahudi tempatan berhimpun dalam hujan lebat di sebuah gereja Unitarian bagi melahirkan bantahan terhadap tindakan Israel yang menurut mereka menyekat bantuan dan “melaparkan Gaza”.
Peserta melaungkan seruan, ‘Buka laluan bantuan ke Gaza’ dan ‘Berikan makanan kepada Gaza’ sambil menandatangani surat kepada anggota Parlimen menuntut tindakan segera.
“Ini adalah titik perubahan dalam kesedaran masyarakat Yahudi.
“Kita mesti ketepikan perbezaan pandangan dan fikirkan satu soalan penting, apakah yang anda akan katakan jika seorang kanak-kanak kebuluran berdiri di hadapan anda?”
Walaupun ada gesaan dari dalam dan luar negara, pemerintah Israel dengan sokongan Amerika masih mempertahankan tindakan ketenteraan di Gaza.
Di Parlimen Amerika, cubaan menggantung penghantaran senjata kepada Israel gagal, namun undian menyaksikan peningkatan dalam kalangan Demokrat yang menyokong sekatan tanda perubahan perlahan dalam pendirian politik Amerrika terhadap konflik itu.
Di medan perang, mangsa awam Palestin terus terkorban termasuk mereka yang sedang mencari bantuan makanan.
Kebimbangan semakin meningkat bahawa jika perang itu diteruskan tanpa had, Israel bukan sahaja berisiko menjejas reputasinya di peringkat antarabangsa, malah menjejaskan masa depan tenteranya dan hubungan diplomatik di dunia. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg