Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perjanjian Abraham: Ujian baru diplomasi Trump dan masa depan keamanan Timur Tengah

Nov 17, 2025 | 5:30 AM
Presiden Kazakhstan ketika itu, Encik Nursultan Nazarbayev (kiri), dan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, memeriksa barisan kawalan kehormatan semasa pertemuan mereka di Astana, Kazakhstan, pada 14 Disember 2016.
Presiden Kazakhstan ketika itu, Encik Nursultan Nazarbayev (kiri), dan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, memeriksa barisan kawalan kehormatan semasa pertemuan mereka di Astana, Kazakhstan, pada 14 Disember 2016. - Foto AFP

JAKARTA/WASHINGTON: Ketika Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengumumkan gencatan senjata antara Israel dengan Hamas pada Oktober lalu, beliau menyifatkannya sebagai masa untuk “mencapai ganjaran tertinggi bagi keamanan dan kemakmuran” bagi seluruh rantau Timur Tengah.

Ucapan itu mengingatkan kembali kepada detik bersejarah pada 2020 ketika Encik Trump memperkenalkan Perjanjian Abraham – siri perjanjian diplomatik yang memulihkan hubungan antara Israel dengan beberapa negara Arab seperti Amiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Maghribi.

Pada 9 November, perkembangan baru muncul apabila Presiden Kazakhstan, Encik Kassym-Jomart Tokayev, mengumumkan niat negaranya untuk menyertai Perjanjian Abraham, sekali gus menjadi negara pertama di luar dunia Arab dan Timur Tengah yang berbuat demikian.

Keputusan itu menandakan perkembangan baru pertama dalam sejarah perjanjian tersebut selepas lima tahun terhenti tanpa penyertaan negara baharu.

Encik Trump kemudian mengesahkan bahawa beliau telah menyertai panggilan bersama Encik Netanyahu dan Presiden Tokayev, serta menyifatkan langkah Kazakhstan sebagai “yang pertama daripada banyak lagi negara” yang bakal menyertai perjanjian tersebut dalam penggal kedua pemerintahannya.

Kazakhstan, sebuah negara majoriti Muslim di Asia Tengah, bukanlah asing dalam hubungan diplomatik dengan Israel.

Malah, kedua-dua negara telah menjalin hubungan diplomatik penuh sejak lebih tiga dekad lalu.

Mantan Duta Israel ke Kazakhstan, Encik Ran Ichay, menjelaskan bahawa hubungan antara kedua-dua negara “sudah pun kukuh dan mesra”.

“Tidak perlu perjanjian baru untuk mengeratkan hubungan sedia ada.

“Namun penyertaan Kazakhstan akan meningkatkan status sejagat Perjanjian Abraham dan mengembangkan pengaruhnya di luar dunia Arab,” kata beliau.

Dengan langkah itu, Encik Trump dilihat berusaha menghidupkan semula jenama Perjanjian Abraham yang sejak beberapa tahun kebelakangan ini kehilangan rentak politik.

Perjanjian Abraham ditandatangani pada 2020 di Rumah Putih.

Ia menyaksikan Israel memulihkan hubungan dengan Bahrain dan UAE, diikuti Maghribi tidak lama kemudian.

Sebelum itu, hanya Mesir (1979) dan Jordan (1994) yang secara rasmi mengiktiraf Israel.

Perjanjian itu mengakhiri puluhan tahun larangan diplomatik, perdagangan, dan komunikasi langsung antara Israel dengan negara-negara Arab.

Hubungan baru itu membuka laluan kepada kerjasama ekonomi, keselamatan, pelancongan dan teknologi.

“Perjanjian Abraham merupakan kejayaan dasar luar terbesar pentadbiran Trump,” ujar seorang penganalisis dari Washington.

“Ia mewujudkan peluang ekonomi dan mengukuhkan pengaruh geopolitik Amerika di Timur Tengah.”

Sejak perjanjian itu, perdagangan antara Israel dengan UAE melebihi AS$3 bilion ($3.91 bilion) setahun, manakala sektor pelancongan dan pelaburan melonjak.

Maghribi pula menikmati lonjakan pelancong dari Israel selepas Washington mengiktiraf Sahara Barat sebagai wilayah berdaulat Maghribi sebagai sebahagian daripada insentif perjanjian.

Namun begitu, perjanjian itu tidak menyentuh isu Palestin, dan bagi ramai pengkritik, ia sekadar mengalihkan tumpuan daripada konflik utama Israel-Palestin.

Langkah Kazakhstan untuk menyertai Perjanjian Abraham menimbulkan persoalan kerana kedua-dua negara sudah lama mempunyai hubungan diplomatik.

Namun dari sudut geopolitik, langkah itu bersifat simbolik dan strategik.

Penganalisis politik Timur Tengah, Cik Sarah Zaaimi, menilai penyertaan Kazakhstan sebagai cubaan Encik Trump untuk menghidupkan kembali pengaruh Perjanjian Abraham menjelang kunjungan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman  ke Washington serta mengimbangi pengaruh China dan Russia di rantau Eurasia.

“Ini langkah simbolik bukan kejayaan diplomatik baru.

“Ia lebih kepada membuktikan bahawa jenama Perjanjian Abraham masih relevan dan menjadi alternatif kepada pengaruh Russia dan China di Asia Tengah,” katanya.

Bagaimanapun, penganalisis menegaskan bahawa tanpa kemajuan politik antara Penguasa Palestin dengan Israel, Arab Saudi tidak akan menyertai perjanjian tersebut, sekali gus menyukarkan kemasukan lebih banyak negara Islam lain.

“Selagi tiada penyelesaian politik terhadap isu Palestin, penyertaan negara besar seperti Arab Saudi kekal mustahil,” tegas Cik Zaaimi.

Bagi sesetengah penganalisis, penyertaan Kazakhstan menandakan transformasi Perjanjian Abraham daripada perjanjian Arab-Israel kepada blok geopolitik lebih luas – ‘Pan-Abrahamik’ yang merangkumi Asia, Afrika dan Eurasia.

Negara majoriti Muslim seperti Azerbaijan dan Uzbekistan turut dilaporkan menunjukkan minat menyertainya, sejajar dengan usaha mereka menjauhkan diri daripada paksi Russia-Iran dan mendekati Amerika Syarikat serta sekutunya.

“Menariknya, Kazakhstan dan Azerbaijan, dua negara kaya dengan gas dan uranium di pinggir Laut Kaspia, akan memberi kelebihan strategik kepada Amerika dan Israel dalam menyaingi pengaruh Russia dan Iran,” kata seorang diplomat Eropah di Astana.

Dalam konteks ini, perjanjian Abraham bukan sekadar diplomasi Timur Tengah, malah wadah ekonomi dan keselamatan rentas benua yang menghubungkan dunia Islam dengan Barat.

Namun tidak semua pihak melihat langkah itu sebagai kemenangan mutlak kepada Encik Trump.

Mantan Duta Besar Amerika ke Israel, Encik Daniel B. Shapiro, menegaskan bahawa penyertaan Kazakhstan “tidak membawa sebarang kejayaan baru” selain nilai simbolik semata-mata.

“Tiada kejayaan diplomatik baru di sini. Ia lebih kepada usaha Kazakhstan untuk mengambil hati pentadbiran Trump,” katanya.

Encik Shapiro menjelaskan bahawa percubaan mewujudkan pelbagai platform serantau seperti Forum Negev 2022 dan Lembaga Keamanan bagi Gaza yang diumumkan pada Oktober lalu berisiko mewujudkan kekeliruan dan pertindihan fungsi.

Forum Negev ditubuhkan selepas penandatanganan Perjanjian Abraham, dan menghimpunkan Amerika, Mesir, Israel, UAE, Bahrain dan Maghribi.

Ia bertujuan memperkukuh kerjasama praktikal antara negara yang memulihkan hubungan dengan Israel, meliputi bidang ekonomi, keselamatan, tenaga, pendidikan, kesihatan dan teknologi.

Ia berperanan sebagai wadah diplomatik dan pembangunan bagi memastikan manfaat Perjanjian Abraham dapat dirasai oleh rakyat negara-negara terlibat, bukan sekadar di peringkat elit politik.

Sementara Lembaga Keamanan ialah inisiatif baru yang diumumkan oleh Encik Trump pada Oktober lalu sebagai sebahagian daripada Pelan Damai Gaza 20 Perkara.

Tujuannya adalah untuk menyelia proses pemulihan dan tadbir urus peralihan di Gaza, termasuk aspek pembinaan semula, bantuan kemanusiaan, keselamatan, dan pemulihan ekonomi pasca-konflik antara Israel dengan Hamas.

“Kejayaan sebenar hanya boleh diukur berdasarkan projek kerjasama nyata dalam bidang perdagangan, tenaga, pertahanan, pendidikan dan pelancongan,” tambah Encik Shapiro.

Meskipun langkah Kazakhstan menunjukkan dinamik baru, kejayaan sebenar Perjanjian Abraham bergantung kepada Riyadh.

Arab Saudi, kuasa minyak terbesar dunia, masih berpegang pada pendirian bahawa pengiktirafan Israel hanya boleh berlaku selepas terbentuknya negara Palestin yang merdeka.

Keganasan berterusan di Gaza serta penderitaan rakyat Palestin menjadikan usaha mengajak negara Arab lain menyertai perjanjian itu semakin sukar.

“Tindakan Israel di Gaza telah merosakkan sebarang harapan untuk pengembangan perjanjian ini dalam masa terdekat,” ujar seorang pegawai kanan Liga Arab yang enggan dinamakan.

Langkah Kazakhstan menyertai Perjanjian Abraham sememangnya memberi nafas baru secara simbolik terhadap agenda Encik Trump dan Encik Netanyahu untuk membina semula kredibiliti politik di pentas antarabangsa.

Namun dari segi substantif, ia tidak mengubah landskap geopolitik mahupun mempercepatkan keamanan Timur Tengah.

Tanpa kemajuan membina dalam rundingan Israel-Palestin, pengembangan Perjanjian Abraham akan kekal bersifat elitis – lebih banyak tentang imej dan strategi geopolitik berbanding realiti keamanan sejati.

“Hanya dialog politik yang tulen antara Israel dengan Palestin boleh menjamin masa depan sebenar Perjanjian Abraham,” simpul Cik Zaaimi.

Dalam erti kata lain, Cik Zaaimi menyatakan penyertaan Kazakhstan membuka lembaran baru yang penuh simbolisme, tetapi tanpa pembaharuan politik, keamanan masih kekal jauh di ufuk Timur Tengah. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg