Topik diikuti
Pergi ke BHkuPerjanjian nuklear AS-Saudi: Dilema Israel dan masa depan Timur Tengah
Perjanjian nuklear AS-Saudi: Dilema Israel dan masa depan Timur Tengah
Perjanjian nuklear berpotensi ubah keseimbangan kuasa, percepat pemulihan serantau dan hidupkan semula isu Palestin
Perjanjian nuklear AS-Saudi: Dilema Israel dan masa depan Timur Tengah
RIYADH/TEL AVIV: Perjanjian kerjasama nuklear awam yang dimeterai antara Amerika Syarikat dengan Arab Saudi pada 22 Julai lalu membuka lembaran baharu dalam landskap geopolitik Timur Tengah.
Walaupun Washington menegaskan perjanjian itu hanya melibatkan tenaga nuklear untuk tujuan aman, implikasinya jauh lebih besar daripada pembinaan loji jana kuasa atau pemindahan teknologi.
Bagi Israel, perjanjian itu mencetuskan tiga persoalan strategik utama iaitu adakah ia bakal mencetuskan perlumbaan senjata nuklear di Timur Tengah, menghakis kelebihan strategik ketenteraan Israel, dan akhirnya memaksa Tel Aviv berdepan semula dengan tuntutan penubuhan negara Palestin.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, cuba meredakan kebimbangan Israel apabila mengumumkan bahawa pelaksanaan perjanjian itu bergantung kepada kesediaan Arab Saudi memulihkan hubungan dengan Israel menerusi Perjanjian Abraham.
Beliau turut menegaskan Arab Saudi tidak akan dibenarkan memperkaya uranium di wilayahnya.
“Perjanjian ini hanya untuk kegunaan bukan ketenteraan dan tertakluk sepenuhnya kepada penyertaan Arab Saudi dalam Perjanjian Abraham,” kata Encik Trump menerusi platform Truth Social.
Namun, kenyataan itu gagal menghapuskan semua keraguan di Tel Aviv kerana beberapa persoalan utama masih belum terjawab.
Penganalisis melihat kebimbangan pertama Israel ialah kemungkinan perjanjian berkenaan menjadi pencetus kepada perlumbaan nuklear baharu di rantau itu.
Secara teori, kerjasama tersebut hanya membabitkan tenaga nuklear awam, penyelidikan saintifik, latihan teknikal dan pelaburan.
Namun, sejarah Timur Tengah menunjukkan bahawa teknologi nuklear awam boleh menjadi asas kepada keupayaan ketenteraan sekiranya kawalan antarabangsa menjadi longgar.
Penyelidik Kanan, Institut Kajian Keselamatan Nasional Israel (INSS), Encik Yoel Guzansky, berkata isu sebenar bukanlah pembinaan reaktor nuklear tetapi sama ada Arab Saudi akhirnya diberikan hak memperkaya uranium.
“Jika Arab Saudi diberikan hak memperkaya uranium, ia akan mengubah model Amiriah Arab Bersatu (UAE) yang sebelum ini bersetuju meninggalkan kegiatan tersebut dan boleh mendorong negara lain menuntut hak yang sama,” katanya.
Walaupun Encik Trump menegaskan tiada kegiatan pengayaan uranium dibenarkan, beberapa laporan media Amerika sebelum ini menyebut syarikat Amerika mungkin membina kemudahan berkaitan pengayaan uranium di Arab Saudi.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mitvim-Institut Dasar Luar Israel, Dr Gil Murciano, berkata kebimbangan Israel bukan sekadar mengenai kemudahan fizikal, malah ilmu dan kepakaran yang bakal dimiliki Riyadh.
“Apabila sesebuah negara sudah memiliki kemudahan dan pengetahuan itu, hanya tinggal persoalan tahap pengayaan yang ingin dicapai.
“Dengan sumber kewangan yang dimiliki Arab Saudi, mereka akhirnya boleh menjadi negara yang berada di ambang keupayaan senjata nuklear,” katanya.
Arab Saudi ialah negara anggota Perjanjian Pencegahan Penularan Senjata Nuklear (NPT), yang melarang pembangunan senjata nuklear.
Namun, perjanjian itu tidak menghalang negara anggota daripada menjalankan pengayaan uranium bagi tujuan awam di bawah pemantauan tertentu.
Bagi Israel, perkembangan itu menimbulkan kebimbangan kerana negara itu sejak sekian lama berpegang kepada dasar tidak mengesahkan atau menafikan sama ada ia memiliki senjata nuklear.
Pada masa yang sama, Israel secara tekal menentang mana-mana negara di Timur Tengah daripada memperoleh keupayaan memperkaya uranium atau membangunkan teknologi yang boleh digunakan untuk menghasilkan senjata nuklear.
Jika Arab Saudi dibenarkan membangunkan keupayaan tersebut, negara lain seperti Mesir, Turkey dan Algeria dijangka mengemukakan tuntutan serupa.
Dilema kedua ialah kemungkinan kelebihan strategik Israel semakin terhakis.
Sejak beberapa dekad lalu, Amerika berjanji mengekalkan apa yang dikenali sebagai, ‘Kelebihan Ketenteraan Kualitatif’ (QME), iaitu memastikan Israel sentiasa memiliki kelebihan teknologi dan ketenteraan berbanding negara Arab lain.
Namun, sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Washington dilihat semakin mengutamakan kepentingan strategiknya sendiri berbanding sensitiviti Israel.
Selain memeterai perjanjian nuklear dengan Arab Saudi, pentadbiran Encik Trump juga dilaporkan sedang mempertimbangkan penjualan pesawat pejuang, F-35 kepada Turkey, di samping memulihkan hubungan dengan Syria dan menandatangani MOU baharu dengan Iran.
Akhbar Israel Hayom menyifatkan perkembangan itu sebagai petanda bahawa Washington semakin kurang mengambil kira kebimbangan dan keprihatinan Israel.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, sebelum ini memberi amaran penjualan F-35 kepada Turkey mampu mengubah keseimbangan kuasa di Timur Tengah.
Bagi ramai pemerhati, perjanjian nuklear dengan Arab Saudi mengukuhkan lagi persepsi bahawa Amerika kini lebih mengutamakan pembentukan pakatan serantau yang lebih luas berbanding mengekalkan kelebihan eksklusif Israel.
Lebih penting, keputusan strategik utama kini dibuat Washington tanpa perlu mendapatkan persetujuan Tel Aviv.
Perkara itu menunjukkan hubungan rapat Amerika-Israel masih kukuh, tetapi Israel tidak lagi mempunyai kuasa veto terhadap dasar luar Amerika di Timur Tengah.
Dilema ketiga mungkin yang paling sensitif, iaitu kebangkitan semula isu Palestin.
Sejak tercetusnya perang Gaza, Arab Saudi menegaskan pemulihan hubungan dengan Israel hanya akan dipertimbangkan jika terdapat komitmen jelas, boleh dipercayai dan tidak boleh dibatalkan ke arah penyelesaian dua negara serta penubuhan sebuah negara Palestin.
Pendirian itu tidak berubah walaupun Arab Saudi semakin rapat dengan Washington.
Encik Trump kini cuba menggabungkan dua matlamat serentak iaitu melaksanakan perjanjian nuklear dan memperluaskan Perjanjian Abraham.
Namun, syarat itu sebenarnya meletakkan tekanan baharu kepada pemerintahan Encik Netanyahu.
Akhbar israel, Haaretz menyatakan syarat pemulihan itu berpotensi mengembalikan isu Palestin ke barisan hadapan diplomasi serantau selepas hampir dua tahun perhatian dunia tertumpu kepada perang Gaza dan ancaman Iran.
Ironinya, ketika rundingan pemulihan giat berlangsung pada 2023, beberapa pemimpin kanan Israel dilaporkan bersedia mempertimbangkan pengayaan uranium secara terhad di Arab Saudi jika ia membawa kepada hubungan diplomatik.
Menteri Hal Ehwal Strategik ketika itu, Encik Ron Dermer, berkata segala-galanya bergantung kepada butiran akhir perjanjian.
“Seperti banyak perkara lain, jawapannya bergantung kepada butiran yang dipersetujui,” katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan Arab Saudi diberikan keupayaan nuklear awam termasuk pengayaan uranium.
Namun, keadaan hari ini jauh berbeza.
Pemerintah campuran Encik Netanyahu yang bergantung kepada parti berhaluan kanan dan ultra nasionalis menolak sebarang langkah ke arah penyelesaian dua negara.
Ini menjadikan syarat Arab Saudi hampir mustahil dipenuhi dalam masa terdekat.
Pada masa sama, Riyadh juga berdepan tekanan domestik.
Walaupun kepentingan keselamatan semakin mendorong Arab Saudi bekerjasama dengan Israel bagi menghadapi ancaman Iran dan kumpulan Houthi di Yaman, sokongan rakyat terhadap Palestin kekal tinggi.
Penganalisis percaya Putera Mahkota Mohammed bin Salman memerlukan sekurang-kurangnya kemajuan nyata dalam isu Palestin sebelum dapat mempertahankan keputusan memulihkan hubungan dengan Israel.
Dr Murciano berkata beliau masih belum melihat tanda-tanda Arab Saudi bersedia mengubah pendiriannya.
“Apabila bercakap mengenai pemulihan hubungan, saya masih belum nampak sebarang petunjuk bahawa mereka mahu bergerak ke hadapan.
“Mereka kelihatan jauh lebih serius mengenai isu nuklear,” katanya.
Perjanjian nuklear Amerika-Arab Saudi menandakan perubahan besar dalam strategi Washington di Timur Tengah.
Jika sebelum ini hampir semua keputusan utama Amerika mengambil kira pendirian Israel, pentadbiran Encik Trump kini menunjukkan kesediaan bergerak mengikut kepentingan strategiknya sendiri.
Bagi Israel, cabarannya bukan sekadar menghalang penyebaran teknologi nuklear atau mengekalkan kelebihan ketenteraan.
Hakikat yang lebih penting ialah Amerika sedang membentuk susunan baharu di Timur Tengah, dan Israel kekal sebagai sekutu penting tetapi bukan lagi penentu utama setiap keputusan strategik.
Dalam keadaan itu, pertemuan antara Encik Trump dan Encik Netanyahu yang dijadual pada 3 Ogos ini dijangka menjadi penentu sama ada kedua-dua pemimpin mampu menyelaraskan semula kepentingan masing-masing atau terus berdepan perbezaan pandangan mengenai masa depan rantau yang kian kompleks. – Agensi berita.
