Topik diikuti
Pergi ke BHkuPilihan raya Israel tidak jamin perubahan nasib rakyat Palestin di Tebing Barat
Pilihan raya Israel tidak jamin perubahan nasib rakyat Palestin di Tebing Barat
RAMALLAH: Pilihan raya Israel pada 27 Oktober lalu mungkin membuka jalan kepada perubahan kepimpinan negara itu.
Namun, bagi jutaan rakyat Palestin di Tebing Barat, keputusan itu belum tentu membawa perubahan terhadap kehidupan mereka yang terus dibelenggu pendudukan tentera, keganasan penduduk haram Yahudi dan sekatan pergerakan.
Persoalan utama bukan sekadar sama ada Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, akan kehilangan kuasa selepas 19 tahun menerajui negara itu secara tidak berturut-turut, tetapi sama ada mana-mana pemerintah baharu benar-benar bersedia menamatkan pendudukan wilayah Palestin.
Hakikatnya, parti politik utama Israel, termasuk pembangkang, semakin menolak penyelesaian dua negara yang membolehkan Palestin mencapai kemerdekaan.
Malah, peluasan petempatan Yahudi di Tebing Barat dijangka berterusan tanpa mengira siapakah membentuk pemerintah.
Keadaan itu menimbulkan kebimbangan bahawa perubahan politik di Israel hanya akan memperbaiki imej negara tersebut di mata masyarakat antarabangsa tanpa mengubah penderitaan rakyat Palestin.
Pengaruh penduduk haram Yahudi kian kukuh
Kira-kira 750,000 warga Israel kini tinggal di petempatan Yahudi di Tebing Barat dan Baitulmakdis Timur yang diduduki dan dianggap menyalahi undang-undang antarabangsa.
Walaupun penduduk haram membentuk sekitar 7 hingga 8 peratus penduduk Israel, mereka mempunyai pengaruh politik yang besar, khususnya dalam pemerintah campuran pimpinan Encik Netanyahu.
Menteri Keselamatan Negara, Encik Itamar Ben-Gvir, yang mengetuai parti sayap kanan tegar Jewish Power, mendapat sokongan kuat daripada masyarakat penduduk haram.
Sepanjang kempen pilihan raya, papan iklan parti itu memenuhi jalan raya Tebing Barat, meskipun kira-kira 3.4 juta rakyat Palestin yang tinggal di wilayah tersebut tidak dibenarkan mengundi dalam pilihan raya Israel.
Di bawah pentadbiran Encik Netanyahu, pembinaan petempatan Yahudi dipercepatkan, manakala keganasan terhadap masyarakat Palestin semakin meningkat.
Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OHCHR) merekodkan purata enam serangan penduduk haram setiap hari sepanjang 2026.
Serangan bertambah buruk ketika musim menuai buah zaitun, apabila petani Palestin menjadi sasaran keganasan di ladang mereka.
Selepas dua lelaki Palestin bersenjata melepaskan tembakan di sebuah pusat pemeriksaan Israel pada 23 Oktober, Encik Ben-Gvir, mencadangkan supaya rakyat Palestin dilarang menggunakan jalan raya di Tebing Barat.
Tentera Israel kemudian melancarkan operasi merobohkan rumah di kawasan asal penyerang, menyebabkan sekitar 400 keluarga kehilangan tempat tinggal.
Pembangkang tolak negara Palestin
Harapan terhadap perubahan dasar Israel turut dibatasi pendirian pembangkang yang diketuai Encik Gadi Eisenkot, daripada parti Yashar.
Bekas Ketua Turus Tentera Israel itu berjanji membendung keganasan penduduk haram, tetapi tetap menolak penyelesaian dua negara.
Beliau juga dikenali sebagai antara tokoh yang memperkenalkan Doktrin Dahiyeh pada 2006, iaitu pendekatan ketenteraan yang menekankan penggunaan kekuatan secara tidak seimbang terhadap pihak yang dianggap musuh Israel.
Penganalisis politik dan bekas diplomat Israel, Encik Shaiel Ben-Ephraim, berkata kemenangan pembangkang tidak semestinya memperlahankan pembinaan petempatan Yahudi.
Menurutnya, pemerintah yang lebih sederhana mungkin terpaksa memberikan kelonggaran kepada kumpulan penduduk haram bagi mendapatkan sokongan politik mereka.
“Untuk mengurangkan tekanan daripada kumpulan pelobi penduduk haram, golongan kiri sering terdorong memperluas penempatan lebih banyak daripada golongan kanan,” katanya.
Ini bermakna pemerintah baharu mungkin mengurangkan keganasan tertentu, tetapi masih mengekalkan dasar yang mengukuhkan penguasaan Israel terhadap wilayah Palestin.
Rakyat Palestin mahu perubahan sebenar
Walaupun rakyat Palestin di Tebing Barat tidak boleh mengundi, warga Palestin yang mempunyai kerakyatan Israel berhak mengambil bahagian dalam pilihan raya tersebut.
Penyertaan mereka dilihat penting kerana undi masyarakat Arab berpotensi mempengaruhi pembentukan pemerintah.
Seorang penduduk Palestin, Cik Qafesha, berharap pemerintah tanpa pengaruh kuat penduduk haram sayap kanan dapat mengurangkan tekanan harian terhadap masyarakatnya.
“Kami hidup dalam neraka. Kami hanya mahu bernafas,” katanya.
Namun, sebahagian rakyat Palestin bimbang kekalahan Encik Netanyahu akan digunakan negara Barat sebagai alasan mengurangkan tekanan diplomatik terhadap Israel.
Pengarah Muzium Sejarah Alam Palestin di Baitul Lahm, Dr Mazin Qumsiyeh, berpandangan pertukaran pemerintah mungkin membantu Israel memulihkan imejnya tanpa menghentikan pendudukan.
Beliau menyifatkan pilihan raya itu sebagai persaingan antara kelompok politik yang mempunyai pendirian semakin keras terhadap Palestin.
Kebimbangan tersebut timbul ketika beberapa negara Eropah mula mengenakan sekatan terhadap petempatan Yahudi selepas bertahun-tahun menerima desakan masyarakat antarabangsa.
Dari sudut politik, pemerintah pembangkang yang kurang bergantung kepada parti sayap kanan tegar mungkin mampu mengurangkan keganasan penduduk haram, sekatan pergerakan dan pengusiran penduduk Palestin.
Namun, perubahan sedemikian dijangka terbatas selagi Israel menolak kemerdekaan Palestin dan terus menguasai Tebing Barat.
Bagi rakyat Palestin, ukuran sebenar perubahan bukanlah siapakah menjadi perdana menteri, tetapi sama ada mereka dapat hidup dengan selamat, bergerak bebas dan menentukan masa depan sendiri.
Encik Ben-Ephraim menjangkakan kemenangan pembangkang mungkin mengurangkan sementara tindakan keras terhadap masyarakat Palestin, tetapi tidak mengubah dasar asas Israel.
“Jika pembangkang menang, kemungkinan besar tindakan pembersihan etnik akan berkurangan sedikit, tetapi itu hanya sementara,” kata beliau. – Agensi berita.