BAGHDAD: Perdana Menteri Iraq, Encik Mohammed Shia al-Sudani, mengumumkan pembunuhan komander tertinggi IS di Iraq, lapor agensi berita, Anadolu.
Beliau berkata kumpulan pengganas yang mengaku sebagai gabenor Iraq dan lapan pengganas lain terbunuh semasa operasi memerangi keganasan di Pergunungan Hamrin di timur laut Iraq.
“Tiada tempat untuk pengganas di Iraq dan kami akan terus mengejar ke tempat persembunyian dan menghapuskan mereka sehingga bumi Iraq dibersihkan daripada perbuatan dosa mereka,” tambah Encik al-Sudani di platform X pada 22 Oktober.
Kenyataan sebuah media yang bergabung dengan Komando Operasi Bersama Iraq, berkata bahawa berdasarkan laporan risikan dan pemantauan selama beberapa bulan, pasukan keselamatan menyerbu pada waktu subuh 22 Oktober ke atas ibu pejabat kumpulan IS di banjaran Pergunungan Hamrin.
Menurut kenyataan itu, sembilan pengganas terbunuh, termasuk ketua kumpulan IS di Iraq, Jasim al-Mazrouei, yang juga dikenali sebagai Abu Abdul-Qader, dan lapan lagi pemimpin kanan, yang nama dan maklumat terperinci akan diumumkan kemudian selepas ujian DNA.
Pasukan tentera turut merampas sejumlah besar senjata, peluru, dan peralatan, serta memusnahkan lapan tempat persembunyian di dalam ibu pejabat utama IS, termasuk sebuah bengkel besar untuk mengeluarkan bahan letupan, tambah kenyataan itu.
Keadaan keselamatan di Iraq telah bertambah baik sejak kekalahan IS pada 2017.
Namun, saki-baki IS telah menyelinap ke pusat bandar, padang pasir, dan belukar, melakukan serangan gerila yang kerap terhadap pasukan keselamatan dan orang awam.
Pada Jun 2014, kumpulan pengganas IS menawan Mosul, Saladin, dan Anbar serta sebahagian wilayah Diyala dan Kirkuk.
Kesemua wilayah itu telah ditawan semula daripada kumpulan itu pada Disember 2017 oleh tentera Iraq dengan sokongan gabungan pasukan antarabangsa yang diketuai Amerika Syarikat dalam menentang IS di Iraq.
Meskipun hampir tujuh tahun sudah berlalu sejak kumpulan pengganas IS diusir dari Iraq dan bandar-bandar itu ditawan semula, serangan organisasi itu masih berterusan, terutama di kawasan luar bandar Kirkuk, Diyala, Mosul, Saladin dan Anbar. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg