DAMSYIK — Presiden Syria, Ahmed al-Sharaa, telah melanjutkan tempoh siasatan rasmi berhubung insiden pembunuhan beramai-ramai kaum Alawiyah di kawasan pantai barat Syria bulan lalu, yang disifatkan sebagai episod keganasan sektarian paling buruk sejak pemberontak Islam Sunni mengambil alih kuasa.
Dalam kejadian berdarah awal Mac lalu, ratusan kaum Alawiyah terbunuh di kawasan pesisir barat Syria dipercayai sebagai tindakan balas dendam selepas penyokong bekas Presiden Bashar al-Assad — seorang Alawiyah — didakwa melakukan serangan hendap ke atas pasukan keselamatan baharu Syria.
Pada 9 Mac, Presiden Sharaa telah mengarahkan satu jawatankuasa siasatan ditubuhkan dan diberi tempoh 30 hari untuk menyiapkan laporan bagi mengenal pasti pelaku jenayah dan membawa mereka ke muka pengadilan.
Namun, dalam dekri rasmi yang disiarkan pada malam 10 April, Presiden Sharaa memaklumkan bahawa jawatankuasa berkenaan telah memohon lanjutan masa bagi melengkapkan siasatan mereka. Justeru, beliau bersetuju memberi tempoh tambahan selama tiga bulan — tanpa sebarang lanjutan seterusnya.
Ketika ditanya Reuters sama ada pejuang di bawah Kementerian Pertahanannya terlibat dalam pembunuhan itu, Presiden Sharaa berkata perkara itu tertakluk kepada penemuan jawatankuasa berkenaan.
Jurucakap jawatankuasa siasatan, Encik Yasser Farhan, sebelum ini memberitahu media bahawa pasukannya telah menemubual saksi di beberapa daerah pesisir dan masih perlu melawat dua lagi bandar utama di kawasan tersebut.
“Tiada sesiapa yang akan terlepas daripada undang-undang. Semua pelaku jenayah akan dibawa ke muka pengadilan,” tegas Encik Farhan.
Sementara itu, penyelidik Syria dari Amnesty International, Cik Diana Semaan, menggesa supaya jawatankuasa tersebut diberikan ruang, masa dan sumber yang mencukupi untuk menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh.
“Apa yang penting ialah hasil siasatan ini mesti telus dan merangkumi sebarang pelanggaran hak asasi manusia baharu terhadap golongan minoriti di kawasan pantai dan juga di bahagian lain Syria,” kata Semaan kepada Reuters.
Bagaimanapun, terdapat penduduk Alawiyah di wilayah Latakia — kawasan paling terkesan dalam insiden tersebut — yang melahirkan rasa ragu terhadap siasatan ini.
Encik Firas, seorang penduduk Alawiyah berusia 43 tahun yang hanya mahu dikenali dengan nama pertamanya kerana bimbang keselamatan diri, menyifatkan lanjutan tempoh itu sebagai helah untuk melengahkan tindakan.
“Saya rasa ini hanya usaha untuk melengah-lengahkan masa. Saya tidak meletakkan harapan besar bahawa siasatan ini akan membawa kepada keadilan sebenar,” katanya. Kaum Alawiyah merupakan kumpulan agama kedua terbesar di Syria selepas Muslim Sunni. Fahaman mereka adalah cabang dari Islam Syiah. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg