Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Presiden sementara Syria tandatangan deklarasi perlembagaan baru

Lakar ‘sejarah baru’ yang mengawal selia tempoh peralihan lima tahun, tetapkan hak wanita serta kebebasan bersuara
Mar 14, 2025 | 2:40 PM
Presiden sementara Syria, Encik Ahmad al-Sharaa (kiri), menerima deklarasi perlembagaan negara yang akan dikuatkuasakan sepanjang tempoh peralihan selama lima tahun, sebelum menandatanganinya di Istana Presiden di Damsyik pada 13 Mac.
Presiden sementara Syria, Encik Ahmad al-Sharaa (kiri), menerima deklarasi perlembagaan negara yang akan dikuatkuasakan sepanjang tempoh peralihan selama lima tahun, sebelum menandatanganinya di Istana Presiden di Damsyik pada 13 Mac. - Foto AFP

DAMSYIK: Tiga bulan selepas mengetuai gerakan pemberontak Islamis yang menggulingkan Encik Bashar al-Assad, Presiden sementara Syria, Encik Ahmed al-Sharaa, menandatangani satu deklarasi perlembagaan yang bakal menjadi asas kepada tempoh peralihan lima tahun untuk negara yang telah lama dilanda perang saudara.

Deklarasi tersebut mengekalkan ketetapan bahawa Islam ialah agama Presiden, seperti termaktub dalam perlembagaan terdahulu.

Namun, ia memperkukuh kedudukan syariah Islam dengan menyatakan bahawa ia menjadi “sumber utama perundangan”, menggantikan kedudukan sebelumnya sebagai “salah satu sumber”, menurut jawatankuasa penggubal.

Pada masa sama, deklarasi itu turut menjanjikan pemisahan kuasa secara mutlak, kebebasan kehakiman, hak wanita, serta kebebasan bersuara dan media.

“Kami berharap ini menjadi sejarah baru bagi Syria, di mana kezaliman digantikan dengan keadilan,” kata Encik Sharaa semasa majlis menandatangani deklarasi tersebut pada 13 Mac.

“Deklarasi ini juga menetapkan tempoh peralihan selama lima tahun, di mana sebuah ‘suruhanjaya keadilan peralihan’ akan dibentuk.

Ia akan ‘menentukan cara untuk bertanggungjawab, menetapkan fakta dan memberikan keadilan kepada mangsa’ salah laku pemerintah sebelumnya,” katanya ketika menandatangani dokumen itu di istana presiden.

Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Encik Geir Pedersen, menyambut baik langkah itu, dengan berkata: “Ini adalah perkembangan penting dalam usaha mengembalikan kedaulatan undang-undang dan mengisi kekosongan perundangan yang telah lama wujud di Syria.”

Namun begitu, pemerintah autonomi pimpinan Kurdi di timur laut Syria menyuarakan bantahan terhadap deklarasi tersebut, menyifatkannya sebagai “tidak mencerminkan realiti sebenar Syria dan kepelbagaian masyarakatnya”.

Pada Januari lalu, kumpulan komander pemberontak secara rasmi menamakan Encik Sharaa sebagai Presiden sementara, membatalkan Perlembagaan Era Assad (2012) dan membubarkan parlimen serta agensi keselamatan rejim terdahulu.

Encik Sharaa kemudian menubuhkan satu jawatankuasa tujuh ahli bagi merangka deklarasi perlembagaan, yang kini dijadikan asas kepada transisi undang-undang.

Encik Abdul Hamid al-Awak, pakar undang-undang perlembagaan yang turut menganggotai jawatankuasa itu, berkata pada sidang media: “Matlamat utama deklarasi ini ialah untuk mewujudkan keseimbangan antara masyarakat yang selamat dan hak asasi manusia.”

Beliau menekankan bahawa deklarasi menetapkan “pemisahan kuasa secara mutlak”, sebagai tindak balas terhadap kecenderungan Encik Assad yang didakwa campur tangan dalam semua cabang pemerintah sepanjang 24 tahun pemerintahannya.

Presiden akan memegang kuasa eksekutif sepanjang tempoh peralihan, tetapi hanya mempunyai satu kuasa khas, iaitu kuasa mengisytiharkan darurat.

Dewan Rakyat baru akan diberi kuasa penuh dalam penggubalan undang-undang.

Dua pertiga ahlinya akan dilantik oleh jawatankuasa khas, manakala selebihnya akan dipilih secara langsung oleh Presiden.

Sebuah jawatankuasa baru akan dibentuk untuk merangka perlembagaan kekal, manakala Encik Sharaa berikrar akan menubuhkan pemerintah inklusif yang akan memimpin negara sehingga pilihan raya bebas dan adil diadakan.

Bagaimanapun, pemerintahan Encik Sharaa menghadapi cabaran besar.

Pada 6 Mac lalu, penyokong bersenjata pemerintah sementara Sunni pimpinan Encik Sharaa, didakwa membunuh balas anggota komuniti minoriti Alawiyah, yang pernah menjadi tonggak rejim Assad, selepas satu serangan hendap ke atas rondaan keselamatan.

Menurut kumpulan pemantau hak asasi, hampir 1,500 orang awam terbunuh dalam insiden itu.

“Kami akan memastikan mereka yang terlibat diheret ke muka pengadilan,” kata Encik Sharaa sambil mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas bagi menjaga keharmonian awam.

Namun begitu, ramai dalam kalangan komuniti Alawiyah dan minoriti agama lain masih sangsi terhadap niat Encik Sharaa, memandangkan latar belakangnya sebagai bekas pemimpin cabang al-Qaeda di Syria.

Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, turut mengeluarkan kenyataan tegas: “Tiada siapa yang boleh menghalalkan pembunuhan orang awam.

“Masa depan Syria yang lebih cerah bergantung kepada tindakan pemerintah sementara untuk menunaikan janji mereka.”

Beliau menggesa supaya deklarasi ini dijadikan titik tolak bagi pembinaan sebuah Syria baru yang inklusif dan berpaksikan undang-undang. -– Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg