Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Projek jambatan Saudi-Mesir dijangka ubah landskap rantau Arab

Jun 30, 2025 | 5:30 AM
laut merah, pulau tiran, sanafir
Pulau-pulau Laut Merah Tiran (depan) dan Sanafir (belakang) yang kini berada di bawah kedaulatan Arab Saudi dijangka menjadi titik utama pembinaan jambatan mega yang bakal menghubungkan Arab Saudi dan Mesir, sekali gus memperkukuh hubungan logistik dan perdagangan antara kedua-dua negara. - Foto fail

RIYADH/KAHIRAH: Rancangan pembinaan jambatan atau terowong yang menghubungkan Arab Saudi dengan Mesir merentasi Laut Merah kini kembali mendapat perhatian selepas Menteri Pengangkutan Mesir, Encik Kamel El-Wazir, mengumumkan fasa perancangan projek tersebut telah disiapkan dan Mesir bersedia melaksanakannya pada bila-bila masa.

Dikenali sebagai Jambatan Musa, prasarana itu dijangka merentasi 32 kilometer dari Sharm El-Sheikh di Semenanjung Sinai ke Ras Alsheikh Hamid di Arab Saudi, melalui Pulau Tiran.

Menurut Encik Kamel projek tersebut merupakan satu usaha strategik yang bukan sahaja akan menghubungkan benua Afrika dengan Asia melalui darat, malah akan merangsang pertumbuhan ekonomi kedua-dua negara.

“Kami telah melengkapkan perancangan untuk jambatan antara Mesir dengan Arab Saudi dan bersedia melaksanakannya pada bila-bila masa, sama ada sebagai jambatan atau terowong,” katanya dalam satu sidang media yang diadakan sempena persidangan ekonomi anjuran Dewan Perniagaan Amerika di Mesir pada awal Jun.

Beliau turut menekankan bahawa masa perjalanan antara kedua-dua negara dijangka berkurangan kepada hanya 30 minit dengan menggunakan kenderaan.

Ini akan “merevolusikan pergerakan di rantau ini”, katanya.

Projek itu dijangka memberi kesan langsung kepada sektor pelancongan, terutama di Sinai yang telah lama menjadi destinasi pelancong antarabangsa.

“Kami menjangkakan peningkatan pelancong dari Arab Saudi ke Mesir meningkat empat kali ganda daripada 300,000 kepada lebih 1.2 juta setiap tahun,” tambah beliau.

Projek itu mula diumumkan pada 2016 semasa lawatan Raja Salman bin Abdulaziz ke Mesir.

Kos pembinaan dianggarkan sekitar AS$4 bilion ($5.15 bilion) yang dijangka dibiayai oleh Arab Saudi.

Jambatan itu juga dijangka akan menyepadukan projek mega Neom – zon ekonomi futuristik yang sedang dibangunkan di sepanjang pantai Laut Merah oleh Arab Saudi.

Selain itu, laluan tersebut turut dirancang untuk merangkumi rel laju bagi pengangkutan kargo merentasi Selat Tiran, seterusnya mengukuhkan lagi hubungan perdagangan antara kedua-dua negara.

Meskipun tarikh permulaan pembinaan belum diumumkan secara rasmi, pihak berkuasa Mesir menyatakan bahawa semua kerja asas telah disiapkan dan projek itu hanya menunggu keputusan politik.

Belum ada pengumuman rasmi mahupun imej projek dikongsikan kepada umum.

Cadangan pembinaan jambatan itu turut memperlihat hubungan rapat antara kedua-dua negara Arab ini, meskipun dalam beberapa tahun kebelakangan ini hubungan mereka mengalami turun naik disebabkan perbezaan pendirian terhadap isu serantau dan antarabangsa.

Dari sudut geopolitik, laluan itu akan menjadi koridor penting antara dua benua dan dijangka memberi kesan besar terhadap pergerakan manusia dan barangan.

Ia akan menghubungkan bandar Sharm el-Sheikh dengan Ras Alsheikh Hamid dan dijangka memanfaatkan Pulau Tiran, yang sebelum ini di bawah kawalan Mesir sebelum diserahkan kepada Arab Saudi pada 2017.

Penyerahan itu turut mencetuskan kontroversi dalam kalangan rakyat Mesir dan beberapa kes mahkamah masih berjalan.

Kajian teknikal untuk sambungan rel laju telah siap dan Encik Kamel menyatakan bahawa projek tersebut berkemungkinan besar akan diteruskan.

“Ini merupakan projek yang sangat penting dan akan memberi kesan positif kepada ekonomi kedua-dua negara sebaik sahaja ia disiapkan,” kata pakar ekonomi Mesir, Encik Khaled al-Shafie, kepada laman berita yang berpangkalan di London, The New Arab.

Beliau turut menyatakan bahawa projek itu mampu “merevolusikan pengangkutan” dan meningkatkan kerjasama ekonomi sedia ada, malah berpotensi melipatgandakannya.

Satu lagi keunikan projek itu ialah ia merupakan sambungan rel pertama antara negara Arab di Afrika dengan Asia, serta dijangka memainkan peranan penting dalam menyatukan ekonomi serantau.

Rel yang diusul dijangka mengambil masa hanya tujuh hingga 10 kilometer perjalanan merentasi laut, berbanding masa yang jauh lebih panjang jika menggunakan feri atau bas.

Projek itu turut merupakan sebahagian daripada rancangan lebih besar untuk memperluas rangkaian pengangkutan antara Mesir dengan Arab Saudi.

Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah al-Sisi, pada 2017, mencadangkan agar jambatan itu dinamakan Jambatan Raja Salman, dengan harapan ia dapat memudahkan pergerakan kargo bernilai AS$200 bilion setiap tahun.

Menurut data 2023, seramai 1.47 juta rakyat Mesir tinggal dan bekerja di Arab Saudi, manakala puluhan ribu lagi menunaikan ibadah haji setiap tahun.

Hubungan yang lebih lancar melalui jambatan itu juga dijangka memberi manfaat kepada sektor pekerja dan keagamaan.

“Jambatan ini akan memberi kesan besar terhadap perdagangan, bukan sahaja antara Mesir dengan Arab Saudi, malah antara Asia dengan Afrika,” kata penganalisis politik Arab Saudi, Encik Omar Seif.

Beliau menambah: “Ia akan menyumbang kepada penyepaduan ekonomi yang lebih mendalam, bukan sahaja antara kedua-dua negara, malah dengan negara Arab lain di benua Afrika dan Asia.”

Namun, sejak ia disarankan oleh Raja Salman pada 2017, minat terhadap projek itu telah surut berikutan ketegangan dalam hubungan dua hala.

Kini, dengan Mesir menyokong blok ekonomi  Brics (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) dan Arab Saudi lebih cenderung kepada kem pelaburan Amerika, dasar luar kedua-dua negara dilihat semakin berbeza.

Projek jambatan itu juga menjadi sebahagian daripada strategi besar yang berkait dengan inisiatif pembangunan ekonomi kedua-dua negara.

Mesir berhasrat menjadi hab utama dalam jaringan kereta api yang menghubungkan Asia dan Eropah, termasuk rancangan sambungan dari Taba ke Alexandria yang digelar sebagai ‘Terusan Suez baru’.

Projek itu turut bertujuan menyaingi cadangan Terusan Ben Gurion oleh Israel yang ingin menghubungkan Laut Merah ke Laut Mediterranean.

Bagi Arab Saudi pula, jambatan itu dilihat sebagai pelengkap kepada usaha mempelbagaikan ekonominya daripada kebergantungan kepada minyak.

Projek jambatan itu bukan sekadar lambang hubungan dua hala, bahkan berpotensi menjadi teras kepada penyepaduan ekonomi Asia-Afrika yang lebih mendalam.

Pelaksanaannya kelak akan bergantung kepada iltizam politik, sokongan kewangan dan kesepakatan serantau yang kukuh.

“Jambatan ini akan memudahkan pergerakan pelancong antara Mesir dengan Arab Saudi secara ketara,” kata Encik Seif.

“Ia juga akan mendorong penyepaduan ekonomi, bukan hanya antara kedua-dua negara, bahkan dalam kalangan negara Arab di kedua-dua benua,” tambahnya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg