Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mesir serah kawalan pelabuhan, pintu Terusan Suez kepada UAE

Jun 9, 2025 | 5:30 AM
Terusan Suez, Mesir, UAE
Pegawai-pegawai kapal bergambar berhampiran bendera pelbagai negara di sepanjang Terusan Suez di Ismailia, Mesir pada 16 April. - Foto AFP

KAHIRAH: Pada 4 Mei, satu perjanjian kontroversi telah dimeterai antara Abu Dhabi Ports Group (AD Ports) dari Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Pihak Berkuasa Zon Ekonomi Terusan Suez (SCZONE) Mesir.

Perjanjian itu memberikan UAE hak membangun dan mengendalikan Zon Perindustrian dan Logistik di bawah syarikat, Khalifa Economic Zones Abu Dhabi (KEZAD) berhampiran Pelabuhan Said, kawasan strategik yang terletak di pintu masuk Terusan Suez, salah satu laluan perdagangan paling penting di dunia.

Perjanjian itu menimbulkan kebimbangan besar dalam kalangan pakar ekonomi dan penggubal dasar Mesir.

Ini khususnya berhubung tindakan menyerahkan hak ke atas aset ekonomi strategik negara kepada kuasa asing selama 50 tahun – boleh diperbaharui dengan pulangan hanya 15 peratus kepada negara tuan rumah, tanpa dikira berdasarkan keuntungan bersih.

Zon Kezad merangkumi kawasan seluas 20 kilometer persegi.

Menurut kontrak, fasa pertama pelaburan UAE dijangka bernilai sekitar AS$120 juta ($166 juta ) meliputi penyelidikan pasaran, kerja awal pembangunan dan prasarana asas.

Namun begitu, peratusan 15 peratus hasil yang diterima oleh pemerintah Mesir tidak dijelaskan berdasarkan keuntungan kasar atau bersih, menimbulkan kebimbangan terhadap potensi manipulasi akaun syarikat.

“Apa yang paling membimbangkan ialah ketidaktentuan mengenai hasil sebenar yang Mesir akan peroleh.

“Tanpa mekanisme pemantauan, syarikat boleh mengalihkan keuntungan melalui syarikat subsidiari,” jelas pakar ekonomi Mesir, Dr Ahmed Khuzaim.

Dr Khuzaim turut mempersoalkan keputusan pemerintah Mesir kerana tidak membuka tender antarabangsa, yang menurutnya berpotensi menghasilkan lebih daripada AS$40 bilion sepanjang tempoh kontrak jika dijalankan secara telus.

Perjanjian itu bukan yang pertama seumpamanya.

UAE telah memperkukuh kedudukannya dalam sektor pelabuhan Mesir sejak dua dekad lalu.

Antara pelabuhan yang kini dikendalikan atau sebahagiannya dimiliki oleh UAE melalui syarikat DP World termasuk:

– Sebanyak 90 peratus pegangan di Pelabuhan Ain Sokhna

– Sebanyak 32 peratus di Pelabuhan Alexandria

– Sebanyak 49 peratus dalam beberapa projek di bawah Pihak Berkuasa Terusan Suez (SCA)

– Kawalan operasi di pelabuhan Damietta, Safaga dan pelabuhan kering seperti kota 10th of Ramadan

Walaupun pengaruh itu dibina secara beransur-ansur, kini muncul kritikan bahawa UAE tidak melabur sepenuhnya untuk menaik taraf pelabuhan yang mereka kuasai.

Contohnya, Pelabuhan Ain Sokhna, yang masih beroperasi pada kapasiti 250,000 kontena walaupun dirancang untuk lima juta kontena setahun sejak dua dekad lalu.

Pensyarah ekonomi di Universiti Al-Azhar, Dr Ahmed Zekrallah, melahirkan kebimbangan terhadap kekurangan ketelusan perjanjian itu.

Beliau menegaskan bahawa kontrak tersebut tidak dibentangkan kepada Parlimen dan dilindungi oleh undang-undang khas daripada semakan kehakiman.

“Bagaimana mungkin pemerintah menyerahkan kawasan strategik selama 50 tahun tanpa klausa yang membenarkan penamatan kontrak jika pihak pelabur gagal mematuhi?” soal Dr Zekrallah.

Beliau turut mengkritik tindakan pemerintah yang menganugerahkan projek tersebut secara langsung kepada UAE, tanpa mempertimbangkan tawaran negara lain seperti China dan Perancis.

Pemerhatian daripada pelbagai sumber menunjukkan bahawa minat UAE dalam sektor pelabuhan Mesir tidak terpisah daripada persaingan kuasa besar sejagat di sekitar Terusan Suez.

Menurut laporan saluran berita yang berpangkalan di London, The New Arab, China pernah menunjukkan minat dalam pelabuhan Ain Sokhna, namun ditekan oleh Amerika Syarikat agar tidak meneruskan usaha tersebut.

Begitu juga dengan projek zon perindustrian Russia di Pelabuhan Said yang telah dibekukan selama lebih tiga tahun, dipercayai akibat tekanan diplomatik.

Hal ini menunjukkan bahawa perjanjian seperti itu bukan hanya berkisar tentang soal ekonomi, bahkan juga mencerminkan percaturan geopolitik antara kuasa besar seperti Amerika, China dengan Russia di wilayah Laut Merah dan Mediterranean.

Namun, di sebalik kritikan, ada juga pandangan positif.

Seorang lagi pakar ekonomi, Encik Tarek Metwally, menyifatkan perjanjian itu sebagai langkah yang perlu, memandangkan krisis ekonomi meruncing yang sedang dihadapi Mesir.

“Kos mencipta satu pekerjaan di Mesir mencecah EGP 300,000 ($7,738). Jika pelaburan UAE ini mampu mewujudkan ribuan pekerjaan, ia harus dilihat sebagai peluang,” katanya.

Beliau menekankan bahawa dengan persekitaran pelaburan yang masih kurang menarik bagi pelabur antarabangsa, kejayaan menarik iltizam sebegitu merupakan satu pencapaian penting.

Namun, beliau turut menyeru supaya pemerintah mengenakan syarat ketat dan pemantauan telus agar janji pelabur tidak hanya tinggal di atas kertas.

Dari sudut keselamatan, pakar strategi, Kolonel Hatem Saber, meredakan kebimbangan mengenai kedaulatan negara.

“Projek ini tidak melibatkan penjualan tanah. Ia adalah kontrak guna tanah dan kedaulatan ke atas Terusan Suez yang dilindungi oleh perlembagaan,” tegasnya.

Beliau turut memperkecilkan ancaman Koridor Ekonomi India-Timur Tengah-Eropah (Imec) yang dipromosikan oleh UAE.

Menurutnya, ia memerlukan operasi logistik yang tidak praktikal, sekali gus menolak kemungkinan ia menjadi alternatif sebenar kepada Terusan Suez.

Penganalisis menganggap perjanjian antara Mesir dengan UAE mencerminkan dilema klasik negara membangun antara mencari pelaburan asing dengan mempertahankan aset strategik nasional.

Walaupun pelaburan UAE berpotensi merangsang pekerjaan dan pendapatan, kelemahan dari segi rundingan, ketelusan, dan pemantauan memberi ruang kepada eksploitasi yang boleh merugikan Mesir dalam jangka panjang.

Sebagaimana yang ditegaskan Dr. Khuzaim: “Bukan soal pelabur asing atau tempatan, tapi soal bagaimana perjanjian itu dirunding dan dilindungi demi kepentingan rakyat dan negara.”

Perjanjian ini mungkin menjanjikan keuntungan jangka pendek, namun masa depan pelabuhan Mesir dan kedaulatan ekonominya kini bergantung pada sejauh mana pemerintah mampu mengimbangi strategi geopolitik dengan kepentingan nasionalnya sendiri. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg