Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Projek kemanusiaan Arab Saudi di Syria isu pemulihan, diplomasi dan pengaruh serantau

Sep 15, 2025 | 5:30 AM
Projek kemanusiaan, Arab Saudi, Syria, diplomasi,  pengaruh serantau
Seorang tukang tembaga Syria menggunakan alat kayu untuk membentuk tepi dulang besar di hadapan bengkelnya di Damsyik, pada 14 Ogos 2025. - Foto AFP

RIYADH: Arab Saudi pada 7 September lalu mengumumkan pakej projek kemanusiaan dan pembangunan di beberapa wilayah Syria, termasuk Damsyik, Aleppo, Idlib dan Homs.

Langkah itu menandakan inisiatif paling nyata sejak Riyadh berjanji menyalurkan lebih AS$6.4 bilion ($8.4 bilion) pelaburan ke negara itu pada Ogos lalu.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Pusat Bantuan dan Kemanusiaan Raja Salman (KSRelief) dalam satu majlis rasmi di Damsyik, disaksikan ketuanya, Dr Abdullah al-Rabeeah, bersama pegawai kemanusiaan Syria.

Antara projek paling utama ialah Program Pemulihan dan Pembersihan Runtuhan yang akan melibatkan pembersihan lebih 75,000 meter persegi sisa runtuhan dari jalan dan kemudahan awam di Damsyik serta kawasan pinggirannya.

Sebuah unit khas pengurusan runtuhan turut ditubuhkan dengan sasaran 30,000 meter persegi bahan binaan untuk dikitar semula.

Selain itu, KSRelief akan menyediakan jentera dan peralatan bagi memastikan usaha pembersihan dapat diteruskan dalam jangka panjang.

Perjanjian lain menumpukan pada pemulihan rangkaian pembetungan dan telaga air di ibu negara, usaha penting untuk mengurangkan risiko kesihatan awam.

Dr Abdullah al-Rabeeah menegaskan: “Projek-projek ini menyasarkan sektor yang merupakan keutamaan mendesak rakyat Syria.

“Ia adalah sebahagian daripada usaha Arab Saudi untuk menyokong pemulihan dan meringankan penderitaan mereka yang terjejas akibat perang.”

Projek Saudi turut meliputi sektor penting yang menyentuh kehidupan harian rakyat Syria:

– Pendidikan: Pemulihan dan pembaikan 34 sekolah di Aleppo, Idlib dan Homs.

– Kesihatan: Penyediaan peralatan moden di 17 hospital bagi meningkatkan keupayaan rawatan.

– Keselamatan makanan: Pemulihan sekitar 60 buah kedai roti serta sebuah talian pengeluaran roti untuk menjamin bekalan asas.

Langkah itu penting kerana peperangan selama 14 tahun telah memusnahkan prasarana asas, mengakibatkan masyarakat terdedah kepada kemiskinan, kebuluran dan risiko penyakit.

Pegawai Syria dalam majlis tersebut mengingatkan bahawa kemusnahan akibat perang saudara masih luas, dengan runtuhan dan sisa peperangan terus menghalang misi bantuan kemanusiaan serta membahayakan orang awam.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kos pemulihan semula Syria melebihi AS$400 bilion.

Angka itu menggambarkan jurang besar antara keperluan sebenar dengan dana sedia ada, sekali gus menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa.

Menteri Pengurusan Bencana Syria, Encik Raed al-Saleh, dalam hantaran di wadah X, menulis:

“Perjanjian ini akan memperkukuh tindak balas kemanusiaan dan usaha pemulihan di Syria, serta menegaskan eratnya hubungan kemanusiaan dan persaudaraan antara kedua-dua negara.”

Pengumuman projek itu dilancarkan hanya beberapa minggu selepas Riyadh menandatangani pelbagai perjanjian pelaburan berjumlah AS$6.4 bilion dengan Syria, serta perjanjian AS$800 juta bersama syarikat DP World dari Dubai untuk membangunkan pelabuhan Tartus.

Ia mencerminkan hubungan ekonomi Saudi-Syria yang semakin rapat, terutama selepas kejatuhan rejim mantan Presiden Bashar al-Assad pada akhir 2024 dan pelantikan Presiden Peralihan Ahmed al-Sharaa.

Encik Ahmed al-Sharaa, bekas pemimpin pemberontak yang mendapat sokongan Riyadh, telah menjadikan Arab Saudi destinasi antarabangsa pertama beliau selepas dilantik.

Malah, pada Mei lalu, Arab Saudi menjadi perantara pertemuan bersejarah antara Encik Ahmad al-Sharaa dengan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, yang membawa kepada desakan penghapusan sekatan ke atas Syria.

Dari perspektif geopolitik, langkah itu memperlihatkan bagaimana bantuan kemanusiaan digunakan sebagai instrumen diplomasi lembut, memperkukuh legitimasi pemerintah baru Syria di mata rakyat dan masyarakat antarabangsa.

Menurut data rasmi, KSRelief sudah melaksanakan atau sedang menjalankan 422 projek di Syria dengan nilai lebih AS$500 juta, terutama dalam bidang kesihatan dan keselamatan makanan.

Dengan tambahan pakej terbaru, Arab Saudi jelas mahu meletakkan dirinya sebagai pemain utama dalam proses pemulihan pasca perang Syria.

Seorang penganalisis dari Universiti Doshisha, Dr Toru Yoshida, berkata:

“Apa yang dilakukan Riyadh bukan sahaja bantuan kemanusiaan, malah pelaburan jangka panjang untuk memastikan kepentingan politik dan ekonomi mereka terjamin dalam landskap Syria pasca konflik.”

Langkah Arab Saudi itu turut memberi mesej jelas kepada dunia bahawa Riyadh serius mengukuhkan pengaruhnya di Levant, mengisi ruang yang sebelum ini banyak dikuasai oleh Iran dan Russia.

Dengan menyediakan dana, kepakaran serta sokongan kemanusiaan, Arab Saudi menampilkan dirinya sebagai pelindung kestabilan serantau.

Namun, cabaran besar menanti.

Syria masih berdepan dengan kemusnahan menyeluruh, konflik dalaman dan beban hutang besar kepada institusi kewangan antarabangsa.

Walaupun Riyadh bersama Qatar telah berjanji menanggung hutang Syria kepada Bank Dunia, kestabilan jangka panjang tetap bergantung pada persetujuan bersama dalam bidang politik yang kukuh.

Pakej projek kemanusiaan Arab Saudi di Syria bukan sahaja menjawab keperluan mendesak rakyat yang terjejas, bahkan turut berperanan sebagai alat strategi diplomasi untuk mengukuhkan pengaruh Riyadh di Timur Tengah.

Seperti ditegaskan Dr Abdullah al-Rabeeah:

“Kami berbesar hati merasmikan projek kemanusiaan ini demi rakyat Syria, termasuk dalam sektor kesihatan, pendidikan dan keselamatan makanan.”

Hakikatnya, di sebalik bantuan yang bersifat kemanusiaan, terdapat strategi geopolitik lebih luas iaitu usaha Arab Saudi untuk menempatkan dirinya sebagai aktor utama dalam membentuk semula landskap Syria pasca perang.

Ia sekali gus memperkukuh kewibawaannya sebagai kuasa serantau dan rakan antarabangsa yang disegani. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg