Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Delegasi niaga Saudi tiba di Syria meterai AS$4b urus niaga

Jul 24, 2025 | 1:30 PM
Presiden Sementara Syria, Encik Ahmed al-Sharaa, menghadiri majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Kementerian Tenaga dan UCC Holding Qatar, untuk menggalak pelaburan dalam sektor tenaga, di Damsyik, Syria, pada 29 Mei 2025.
Presiden Sementara Syria, Encik Ahmed al-Sharaa, menghadiri majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Kementerian Tenaga dan UCC Holding Qatar, untuk menggalak pelaburan dalam sektor tenaga, di Damsyik, Syria, pada 29 Mei 2025. - Foto REUTERS

RIYADH: Menteri Pelaburan Arab Saudi mengetuai delegasi perniagaan ke Syria pada 22 Julai bagi menandatangani perjanjian bernilai sekitar AS$4 bilion ($5.1 bilion) sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyokong pemulihan negara itu selepas dilanda perang.

Kerajaan negara Teluk itu telah menjadi penyokong penting pemerintah Syria baru di bawah Presiden Sementara Syria, Encik Ahmed al-Sharaa, yang berkuasa selepas menggulingkan rejim Bashar al-Assad pada Disember 2024.

Encik al-Sharaa kini giat berusaha membina semula Syria selepas perang saudara selama 14 tahun.

Menteri Pelaburan Arab Saudi, Encik Khalid bin Abdulaziz Al-Falih, yang membawa bersamanya 130 ahli perniagaan ke Damsyik, bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Syria menjelang persidangan pelaburan selama dua hari itu.

Arab Saudi telah menunjukkan minat dalam sektor tenaga dan hospitaliti Syria, serta lapangan terbang, kata seorang diplomat dan ahli perniagaan Syria yang biasa dengan perkara itu kepada pemberita.

Kedua-dua negara juga dijangka melancarkan majlis perniagaan bersama, tambah ahli perniagaan Syria itu.

Persidangan pelaburan itu pada mulanya dijadual berlangsung pada Jun tetapi ditangguhkan kerana perang meletus antara Iran dengan Israel.

Ia diteruskan minggu ini walaupun berlaku pertempuran antara etnik Druze dengan puak Badwi di bandar Sweida di selatan Syria yang telah menyebabkan ratusan orang terkorban.

Keganasan itu mengingatkan tentang ketidakstabilan yang berlarutan di Syria, walaupun pelabur asing meneroka peluang di sana.

Pelbagai syarikat, kebanyakan dari negara Teluk dan Turkey, telah melahirkan minat untuk membina semula kapasiti penjanaan kuasa Syria, jalan raya, pelabuhan dan prasarana lain yang rosak.

Syria telah menandatangani perjanjian penjanaan kuasa bernilai AS$7 bilion dengan Qatar dan perjanjian AS$800 juta dengan syarikat pelabuhan yang berpangkalan di Amiriah Arab Bersatu (UAE), DP World, dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Manakala firma tenaga Amerika Syarikat juga bersedia untuk merangka pelan induk bagi sektor tenaga negara itu.

Bagi pihak Syria, Arab Saudi dan Qatar tampil melunaskan tunggakan pinjaman Syria dengan Bank Dunia, membuka kemungkinan pinjaman baru.

Encik Al-Sharaa telah melakukan lawatan pertamanya ke luar negara sebagai presiden ke Arab Saudi pada Februari.

Dan Putera Mahkota kerajaan dan pemerintah de-facto Arab Saudi, Mohammed Bin Salman, berjaya melobi Presiden Amerika Encik Donald Trump untuk menarik balik sekatan ke atas Syria yang dilihat sebagai menyekat kemasukan pelaburan swasta. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg