Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Qatar nafi terima amaran AS mengenai serangan Israel di Doha

Trump dakwa tidak dimaklum lebih awal rancangan Israel
Sep 10, 2025 | 10:39 AM
doha, israel, serang
Sebuah bangunan rosak selepas serangan Israel yang menyasarkan pemimpin Hamas, menurut seorang pegawai Israel, di Doha, Qatar pada 9 September. - Foto REUTERS

DOHA: Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani, memberitahu Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dalam panggilan telefon bahawa negaranya akan mengambil semua langkah perlu untuk melindungi keselamatan dan memelihara kedaulatannya.

Doha menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa mereka menerima amaran daripada Amerika mengenai serangan Israel.

Sebaliknya, pemberitahuan itu hanya diterima selepas serangan sudah bermula, lapor Arab News.

“Kenyataan yang tersebar kononnya Qatar dimaklumkan terlebih dahulu mengenai serangan ini adalah palsu.

“Panggilan yang diterima daripada seorang pegawai Amerika ketika bunyi letupan serangan Israel di Doha sudah kedengaran,” kata jurucakap Kementerian Luar Qatar, Encik Majed Al-Ansari, di wadah X.

Serangan udara yang menyasarkan mesyuarat pemimpin Hamas berlaku di kawasan berhampiran sekolah dan kedutaan itu.

Ia menggegarkan bandar raya yang selama ini dikenali sebagai pusat diplomasi dan perniagaan di Teluk.

Kepulan asap hitam dilihat membumbung ke langit, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kestabilan Qatar sebagai negara berkecuali dalam konflik Gaza.

Menurut Hamas, serangan itu menyasarkan pertemuan rasmi yang sedang membincangkan usulan gencatan senjata yang dikemukakan Encik Trump.

Walaupun pemimpin utama Hamas terselamat, kumpulan itu mengesahkan beberapa individu terbunuh termasuk anak kepada Encik Khalil al-Hayya, ketua perunding Hamas; pengurus pejabatnya; serta tiga lagi pegawai Hamas.

Kementerian Dalam Negeri Qatar pula melaporkan seorang anggota pasukan keselamatan negara itu terkorban, manakala beberapa orang awam cedera.

Serangan pengecut ini tidak akan mengubah pendirian kami.

“Tuntutan kami tetap jelas tamatkan perang, berundur dari Gaza dan bebaskan semua tahanan Palestin,” kata Hamas dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, mengecam keras tindakan Israel sambil menyifatkannya sebagai serangan terhadap kedaulatan negaranya.

Beliau menegaskan Qatar akan terus memainkan peranan sebagai pengantara, namun sedang menilai langkah undang-undang terhadap Israel.

“Kita sudah sampai ke titik penentu. Serangan ganas ini memerlukan tindak balas dari seluruh rantau,” katanya menamakan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, secara langsung.

Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Encik Majed al-Ansari, berkata serangan itu mengenai kediaman rasmi yang menempatkan beberapa pemimpin Hamas.

“Israel cuba menggagalkan setiap peluang untuk mewujudkan keamanan,” ujarnya.

Encik Trump pada awalnya berkata beliau dimaklumkan oleh tentera Amerika bahawa Israel sedang melancarkan serangan terhadap Hamas di Doha.

Keputusan ini dibuat oleh Netanyahu, bukan oleh saya,” katanya di media sosial.

Encik Trump mendakwa beliau telah mengarahkan utusannya ke Asia Barat, Encik Steve Witkoff, agar memaklumkan Qatar mengenai serangan itu, tetapi arahan itu disampaikan “terlalu lewat” untuk menghentikan serangan.

Dalam kenyataan berasingan, beliau menulis: “Saya menganggap Qatar sekutu dan sahabat baik Amerika.

“Saya amat kesal serangan berlaku di lokasi ini. Saya mahu SEMUA tebusan dan mayat mangsa segera dibebaskan, dan perang ini ditamatkan SEKARANG juga!”

Bagaimanapun, Encik Trump kemudian memberitahu wartawan bahawa beliau sebenarnya tidak dimaklumkan lebih awal mengenai serangan itu, sekali gus menimbulkan kekeliruan tentang peranan sebenar Amerika.

Sheikh Mohammed membalas dengan mengatakan Qatar hanya diberitahu 10 minit selepas serangan berlaku.

“Adakah masyarakat antarabangsa perlukan lebih banyak bukti? Sejarah akan merakam kejadian ini, katanya tegas.

Israel mempertahankan tindakannya dengan menyatakan ia adalah operasi kendiri.

“Israel memulakan, melaksanakan, dan bertanggungjawab penuh atas serangan ini,” kata Pejabat Perdana Menteri Netanyahu.

Dua pegawai Israel memberitahu media bahawa bangunan yang diserang sudah lama dikenal pasti sebagai lokasi mesyuarat Hamas dan dinamakan kod Hari Kiamat”.

Ketua Staf, Angkatan Pertahanan Israel (IDF), Leftenan Jeneral Eyal Zamir, sebelum ini pernah memberi amaran dengan berkata:

“Kami beroperasi di seluruh Asia Barat. Hamas tidak akan ada tempat untuk bersembunyi sama ada pemimpin tertinggi atau anggota biasa, kami akan serang mereka di mana-mana sahaja.”

Langkah Israel menyerang di Doha dilihat menjejaskan usaha diplomasi yang sudah rapuh.

Zamil Kanan di Institut Dasar Asia Barat Washington, Encik Ghaith al-Omari, berkata:

“Seluruh struktur diplomasi selepas serangan 7 Oktober kini runtuh. Kesanggupan Israel menyerang Qatar melemahkan rundingan gencatan senjata yang dipimpin Amerika.”

Tindakan itu juga mengundang risiko terhadap hubungan Israel dengan negara Teluk lain.

Amiriah Arab Bersatu (UAE), yang memulihkan hubungan dengan Israel pada 2020, segera mengutuk serangan.

Menteri Luar UAE, Sheikh Abdullah bin Zayed, menyifatkannya sebagai “tindakan tidak bertanggungjawab yang mengancam keselamatan serantau dan antarabangsa”.

Penganalisis Politik Teluk, Encik Bader Al-Saif, dari Universiti Kuwait, memberi amaran bahawa serangan Israel di Doha menjadikan Amerika kelihatan lemah.

“Masa sukar untuk Teluk, tetapi yang paling rugi ialah Amerika.

“Walaupun menjadi sekutu utama Israel, Washington kelihatan tidak mampu mengawal tindakannya. Kewibawaan Amerika sebagai penjamin keselamatan kini tercalar,” katanya.

Qatar menempatkan Pangkalan Udara Al Udeid, markas utama tentera Amerika di rantau ini, yang baru-baru ini juga menjadi sasaran serangan Iran.

Walaupun sistem pertahanan Amerika berjaya menangkis sebahagian besar serangan, kejadian terkini itu menambah persepsi bahawa Teluk kian terdedah. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg