Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rakaman bocor dedah Assad hina rakyat Syria, selar Moscow

Dec 8, 2025 | 2:54 PM
Presiden Syria Bashar al-Assad
Imej tangkap layar menunjukkan rakaman eksklusif yang diperoleh Al Arabiya memaparkan mantan Presiden Syria Bashar al-Assad bersama mantan penasihatnya, Cik Luna al-Shibl. Rakaman itu merakam perbualan peribadi yang mendedahkan kritikan serta sindiran terhadap pelbagai tokoh dan peristiwa di Syria. - Foto X AL ARABIYA ENGLISH

MOSCOW: Stesen televisyen Al Arabiya menyiarkan satu siri rakaman eksklusif yang memperlihatkan mantan Presiden Syria Bashar al-Assad, bersama mantan penasihatnya, Cik Luna al-Shibl, mengeluarkan kenyataan menghina rakyat Syria, memperlekeh institusi negara, dan mengejek rakan sekutu serantau.

Rakaman itu, yang diperoleh dalam bentuk video dan audio, mengandungi perbualan peribadi di dalam sebuah kenderaan.

Menurut sumber, pembantu Cik Shibl, Encik Amjad Issa, turut berada di dalam kereta ketika rakaman itu dibuat.

Tarikh sebenar rakaman tidak diketahui.

Encik Assad kini tinggal dalam buangan di Moscow selepas rejimnya tumbang pada 2024 kepada gabungan pembangkang Syria.

Russia sebelum ini merupakan penyokong utama beliau sepanjang perang saudara Syria.

Sejak 6 Disember lalu, Al Arabiya menyiarkan beberapa klip yang menunjukkan Encik Assad bercakap secara terbuka dan sinis mengenai pelbagai isu dalam negara.

Dalam satu klip, ketika berbicara tentang keadaan di Syria, Encik Assad berkata: “Saya bukan sahaja rasa malu, saya rasa jijik.”

Dalam rakaman lain, beliau mengejek rakyat Syria sendiri kerana membelanjakan wang untuk membina masjid sedangkan mereka “tidak mampu membeli makanan”.

Rakaman itu juga memaparkan Cik Shibl bertanya apa yang dirasai Encik Assad apabila melihat potret dirinya bertebaran di seluruh negara.

Encik Assad menjawab bahawa beliau berasa “tiada apa-apa”.

Dalam satu lagi video, beliau menghamburkan kata-kata hina terhadap penduduk Ghouta sambil berkata: “Laknat Ghouta.”

Rakaman itu turut menunjukkan Encik Assad dan Cik Shibl memperlekeh Hezbollah, kumpulan bersenjata Lebanon yang pernah menjadi sekutunya.

Cik Shibl berkata: “Mereka dulu suka berbangga tentang kemampuan mereka… sekarang kita tak dengar apa-apa daripada mereka.”

Dalam klip lain, Encik Assad dan Cik Shibl mentertawakan askar Syria sendiri, termasuk anggota yang pernah dirakam mencium tangan Encik Assad dalam pertemuan rasmi.

Pada satu ketika, Cik Shibl berseloroh meniru panggilan radio tentera yang memuji Encik Assad, sambil menyindir bahawa rakyat Syria “sangat sopan kononnya”.

Cik Shibl meninggal dunia pada Julai 2024 selepas cedera dalam kemalangan kereta.

Rakaman itu menimbulkan kejutan besar dalam kalangan rakyat Syria.

Ramai melihat pendedahan tersebut sebagai bukti jelas sikap sebenar Encik Assad terhadap penderitaan rakyatnya.

Wartawan Al Arabiya, Encik Mahmoud al-Wawi, berkata rakaman itu “lebih mengejutkan penyokong Assad berbanding penentangnya.”

Menurutnya lagi, rakaman berkenaan sebelum ini disimpan di Istana Presiden dalam sampul berlabel ‘Rahsia Besar’, bersama dokumen peribadi milik Cik Shibl.

Salah satu bahagian paling sensitif dalam rakaman itu ialah perbualan yang menyentuh Presiden Russia, Vladimir Putin, sekutu terpenting Encik Assad.

Dalam satu klip, Cik Shibl bertanya dengan nada menghina: “Kau lihat tak betapa ‘bengkaknya’ Putin sekarang?”

Encik Assad menjawab: “Semuanya hanyalah prosedur.”

Cik Shibl menambah lagi: “Ya, semuanya tentang Putin adalah prosedur. Dia 65 tahun… klip itu menjatuhkan imej dia teruk.”

Pemerhati berkata kenyataan ini mampu menjejaskan hubungan Encik Assad–Russia, terutama jika klip itu mencetuskan kemarahan Kremlin.

Ketika Assad sudah tidak lagi memerintah Syria, rakaman ini membuka semula perbincangan tentang hubungan beliau dengan kelompok elit Syria dan peranan Russia dalam mempertahankan rejimnya selama lebih sedekad.

Rakaman tersebut juga menggambarkan bagaimana Encik Assad memandang rendah golongan tentera, rakyat miskin, dan juga para penyokongnya sendiri.

Dalam satu klip, Cik Shibl berkata sambil ketawa: “Mereka pandang saya… saya sayang mereka, tapi saya jijik.”

Pakar politik Timur Tengah menyatakan bahawa pendedahan terbaru ini menunjukkan tahap perpecahan serius dalam lingkaran dalaman bekas rejim Syria.

Rakaman bocor ini dijangka terus mengundang perdebatan luas di Syria dan kalangan negara yang pernah menyokong Encik Assad. Ia memberikan gambaran langsung tentang bagaimana bekas presiden itu bercakap ketika tanpa naskhah rasmi, dan bagaimana beliau menilai negara serta sekutu sendiri.

Bagi ramai rakyat Syria, kandungan rakaman itu bukan sekadar kontroversi politik, ia adalah penghinaan terhadap penderitaan mereka.

Seorang warga Syria di Idlib memberitahu media tempatan: “Kami telah kehilangan keluarga, rumah, masa depan. Dan dia ketawa tentang semua itu.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg