DAMSYIK: Kejatuhan Presiden Bashar al-Assad pada Disember 2024 telah mengubah landskap politik Syria secara drastik.
Pemerintahan kuku besi selama lebih dua dekad itu meninggalkan negaranya di bawah bayang-bayang kekeliruan dan pengkhianatan.
Peristiwa pada hari-hari terakhir rejim Assad memperlihatkan bagaimana pemimpin itu menggunakan taktik manipulasi untuk menyelamatkan dirinya, sekali gus meninggalkan kesan mendalam terhadap rakyat dan sekutunya.
Kisah kejatuhannya yang penuh dengan drama politik dan ketegangan menunjukkan betapa rapuhnya cengkaman kekuasaan beliau di tengah-tengah pergolakan yang melanda negara itu.
Menurut laporan majalah Arab, Al Majalla, serangan mendadak oleh pasukan pemberontak bermula pada 27 November 2024.
Ketika itu, Encik Assad berada di Moscow untuk menghadiri upacara konvokesyen anaknya, Encik Hafez, yang mendapat ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang matematik.
Namun, serangan tersebut memaksa Encik Assad untuk tetap tinggal di kamarnya di Hotel Four Seasons di Moscow.
Beliau terpaksa melupakan hasrat menghadiri konvokesyen anaknya bagi memantau perkembangan pasukan pemberontak.
Pada 29 November, pasukan pemberontak berjaya merebut Aleppo, sebuah bandar strategik yang menjadi titik tolak utama bagi kejatuhan kekuasaan Encik Assad.
Ketika tarikh itu, Encik Assad sedang dalam penerbangan pulang ke Damsyik dari Moscow.
Walaupun Russia mencadangkan agar Encik Assad bersiap berundur bagi mengelakkan pertumpahan darah di ibu kota, beliau dikatakan menolak cadangan tersebut.
Pada malam 7 Disember, ketika pemberontak semakin mendekati Damsyik, Encik Assad memulakan operasi pengunduran rahsia.
Ucapan politik yang dirancang untuk memberikan harapan kepada rakyat disifatkan sebagai satu penipuan.
Seorang pembantu istana berkata: “Kami benar-benar percaya bahawa ucapan ini akan membawa penyelesaian damai. Tiada sesiapa menyangka bahawa ia hanyalah helah untuk melengahkan masa.”
Pelarian Encik Assad itu malah dilakukan tanpa pengetahuan saudara lelakinya, Encik Maher al-Assad, mahupun para pembantu terdekatnya.
“Keengganan Assad untuk menghadiri upacara penting anaknya mencerminkan kesedaran beliau terhadap situasi yang semakin di luar kawalan,” ujar seorang penganalisis politik Timur Tengah.
Namun, realitinya, Encik Assad telah meninggalkan Istana Presiden secara senyap-senyap dan terbang ke pangkalan tentera Russia di utara Syria sebelum berangkat ke Moscow.
Menurut laporan, Encik Assad melarikan diri dari Damsyik menuju ke pangkalan udara Hmeimim, yang dimiliki oleh Russia di barat Syria, sebelum meneruskan perjalanan ke Moscow.
Tindakannya itu dikesan lewat oleh para pembantunya yang masih menunggu ucapan yang tidak pernah disampaikan.
Pada tengah malam, istana ditinggalkan tanpa penjagaan, membuka ruang kepada pemberontak untuk mengambil alih tanpa tentangan.
Kejatuhan rejim Assad menamatkan pemerintahan keluarga itu selama 50 tahun, tetapi meninggalkan luka yang mendalam dalam kalangan rakyat Syria.
Bekas pegawai istana menyifatkan tindakan Assad sebagai pengkhianatan yang sukar diterima.
“Demi keselamatannya sendiri, dia mengorbankan seluruh rakyatnya. Ini adalah pengkhianatan yang tidak dapat dimaafkan,” ujar seorang pegawai yang berjaya melarikan diri sebelum pemberontak tiba.
Bagi rakyat yang setia kepada rejim Assad, pemergian tanpa kata itu adalah tamparan hebat.
Ramai yang berasa dikhianati, ditinggalkan tanpa perlindungan ketika pemberontak mengambil alih Damsyik.
“Adakah dia masih mempunyai sokongan rakyat? Tidak. Sebaliknya, dia telah menghancurkan kepercayaan kami,” tambah mantan pegawai itu.
Kejatuhan Encik Assad menyerlahkan kelemahan mendalam sistem pertahanan Syria.
Pasukan tenteranya tidak berdaya menghadapi kemaraan pemberontak yang menggunakan taktik moden seperti serangan dron.
Tentera Syria, yang sudah lemah akibat sekatan ekonomi dan moral yang rendah, bergantung pada askar yang kurang terlatih dan kekurangan bekalan.
Menurut laporan risikan tentera yang diperoleh: “Pasukan pemberontak menggunakan serangan dron secara meluas, memusnahkan pusat kawalan dan menyuraikan tentera rejim.”
Serangan itu mempercepatkan kejatuhan kawasan strategik seperti Homs dan Daraa.
Kemerosotan ekonomi turut memainkan peranan besar.
Gaji tentera yang rendah, kurang daripada AS$30 ($40.70) sebulan, menyebabkan ramai anggota meninggalkan jawatan mereka.
Akibatnya, rejim tidak mampu mempertahankan wilayah-wilayah pentingnya.
Ketiadaan sokongan daripada sekutu utama seperti Russia dan Iran menjadi faktor penentu kejatuhan Encik Assad.
Walaupun Iran sebelum ini memainkan peranan besar dalam membantu rejim itu, ia tidak dapat memberikan bantuan ketenteraan kerana keletihan sumber selepas konflik dengan Israel.
Pemimpin Tertinggi Iran Ayatollah Ali Khamenei, dilaporkan menghantar penasihat kanan, Encik Ali Larijani, untuk mencadangkan pembentukan pemerintah perpaduan.
Namun, usaha itu tidak mendapat tindak balas positif.
“Iran menyedari bahawa situasi terlalu parah untuk diselamatkan. Mereka mula menarik kakitangan diplomatik dan ketenteraan mereka dari Damsyik,” ujar seorang pegawai Iran.
Hubungan Encik Assad dengan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, juga dilaporkan retak.
Encik Putin, yang sebelum ini menjadi penyelamat rejim pada 2015, enggan menjawab panggilan Encik Assad pada hari-hari terakhirnya.
“Bashar menyedari bahawa dia telah kehilangan sokongan Russia. Ini mempercepatkan keputusannya untuk melarikan diri,” kata seorang diplomat Turkey.
Pengambilalihan Damsyik oleh pemberontak membuka lembaran baru dalam sejarah Syria.
Namun, perjalanan ke arah kestabilan masih penuh dengan cabaran.
Penganalisis politik Timur Tengah, Dr Khaled Mahmoud, berkata:
“Kejatuhan Assad adalah peluang ke arah pembaharuan, tetapi ketiadaan struktur pentadbiran yang kukuh boleh membawa kepada ketidakstabilan jangka panjang.”
Tambahan pula, sokongan antarabangsa terhadap pemberontak bercampur-campur.
Walaupun Turkey dilihat sebagai sekutu utama mereka, negara lain seperti Mesir dan Arab Saudi memandang sinis kebolehan mereka untuk memerintah negara.
Kejatuhan rejim Assad mengubah keseimbangan kuasa di Timur Tengah.
Turkey kini muncul sebagai pemain utama, tetapi konflik kepentingan dengan negara seperti Arab Saudi dan Israel tambah merumitkan keadaan.
Israel, yang sebelum ini menyasarkan kedudukan Iran di Syria, kini menghadapi dilema baru.
Tanpa kehadiran Encik Assad, alasan mereka untuk serangan udara ke atas Syria semakin sukar dipertahankan.
Namun, kehadiran pemberontak yang tidak bersahabat dengan Israel turut menimbulkan ancaman baru.
“Israel kini berada di persimpangan strategik. Mereka perlu menilai semula dasar mereka terhadap Syria untuk memastikan keselamatan sempadan mereka,” kata penganalisis keselamatan Israel, Dr Carmit Valensi.
Bagi rakyat Syria, pengakhiran rejim Assad adalah peluang untuk memulakan semula kehidupan.
Tetapi, seperti yang dinyatakan oleh penganalisis, Dr Khaled:
“Masa depan Syria bergantung pada kemampuan pemimpin baru untuk mengutamakan perpaduan nasional dan kestabilan politik melebihi kepentingan peribadi.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg