Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rakyat Gaza beratur panjang di bank tetapi tiada wang tunai

Oct 31, 2025 | 2:39 PM
Penduduk Palestin membeli-belah di sebuah pasar di Nuseirat, tengah Jaluran Gaza, 28 Oktober 2025.
Penduduk Palestin membeli-belah di sebuah pasar di Nuseirat, tengah Jaluran Gaza, 28 Oktober 2025. - Foto REUTERS

GAZA/KAHERAH: Walaupun gencatan senjata antara Israel dan Hamas telah mengurangkan trauma akibat serangan udara dan sekatan, penduduk Gaza kini berdepan satu lagi penderitaan: krisis kekurangan wang tunai yang parah.

Rakyat yang cuba membina semula kehidupan selepas dua tahun perang mendapati mereka kekurangan segalanya makanan, air bersih, ubat-ubatan, dan kini, wang tunai untuk membeli keperluan asas.

Pada 19 Oktober lalu, dua cawangan Bank of Palestine dibuka semula buat pertama kali sejak Mac, mencetuskan harapan dalam kalangan penduduk. Namun harapan itu hanya bertahan beberapa jam.

“Bank dibuka semula hari ini, jadi saya segera ke cawangan Deir al-Balah. Saya fikir saya boleh keluarkan gaji yang sudah lama tertangguh, tetapi tiada wang langsung,” kata Encik Ahmad Abu Foul, 38 tahun, yang berpindah ke Khan Younis selepas rumahnya musnah di utara Gaza.

Beliau hanya mampu memperbaharui kad banknya, tetapi baki akaunnya tidak boleh diakses. “Bagaimana kami mahu hidup? Kami tak boleh beli di pasar dan tak boleh keluarkan wang,” tambahnya dengan nada kecewa.

Serbuan Israel dan kemusnahan infrastruktur telah melumpuhkan sistem kewangan Gaza. Sebahagian besar bank dan mesin ATM musnah, manakala Israel menyekat kemasukan mata wang baharu ke wilayah itu.

“Wang di Gaza kini sudah lusuh, malah ada yang koyak dan ditampal untuk digunakan di pasar,” kata seorang pegawai Bank of Palestine yang enggan dikenali. “Orang ramai bergantung kepada aplikasi pindahan rakan-ke-rakan kerana tiada kecairan tunai.”

Bagi ramai rakyat Gaza, membuka semula bank hanyalah simbol tanpa makna. Encik Wael Abu Fares, 61 tahun, seorang bapa kepada enam anak, berkata beliau menghabiskan berjam-jam beratur di luar bank hanya untuk pulang dengan tangan kosong.

“Tiada tunai di bank. Kami hanya isi borang dan pulang. Semua orang datang dengan harapan, tapi akhirnya kecewa,” katanya.

Sejak perang bermula dua tahun lalu, bank di Gaza hanya beroperasi secara terhad. Apabila gencatan senjata runtuh pada Mac lalu, semua operasi dihentikan. Wang tunai yang ada terus berputar dalam pasaran kecil tempatan, sebahagian besar sudah koyak atau tidak boleh digunakan.

Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bulan lalu mengkritik “cengkaman kewangan Israel terhadap Gaza.” “Sebahagian besar bank dan ATM musnah. Israel menghalang kemasukan mata wang baharu,” kata laporan itu, sambil memberi amaran tentang inflasi dan harga barang keperluan yang melonjak.

“Tanpa bekalan wang, tiada maknanya harga barang turun,” kata Cik Kamilia al-Ajez, seorang pelarian dari Rafah. “Kami tiada apa-apa tiada gaji, tiada simpanan, hanya menunggu bantuan.”

Ahli ekonomi Gaza, Encik Mohammad Abu Jayyab, menjelaskan bahawa sebahagian besar bank kini hanya berfungsi untuk transaksi elektronik. “Bank memang buka, penghawa dingin berfungsi, tapi tiada deposit dan tiada pengeluaran tunai,” katanya.

“Orang ramai terpaksa pergi kepada peniaga tidak berlesen untuk menukar wang digital kepada tunai, dan mereka mengenakan caj antara 20 hingga 40 peratus malah ada yang mencecah 50 peratus,” jelasnya.

Ibu kepada tujuh anak, Cik Iman al-Ja’bari, mengimbas kembali masa sebelum perang. “Dulu urusan bank cuma ambil masa sejam. Sekarang, dua atau tiga hari pun belum tentu dapat keluar 400 atau 500 shekel. Dengan harga barang sekarang, jumlah itu langsung tak cukup,” katanya.

Sesetengah penduduk cuba mencari cara untuk bertahan. Encik Manal al-Saidi, 40 tahun, kini membaiki wang kertas rosak di pasar untuk mendapatkan sedikit pendapatan. “Saya baiki duit koyak dan dapat sekitar 20 atau 30 shekel sehari cukup untuk beli roti dan sedikit kacang atau falafel,” katanya. “Sayur pun dah tak mampu beli.”

Sementara itu, peniaga Encik Samir Namrouti, 53 tahun, berkata wang yang beredar kini sukar dikenali. “Yang penting nombor siri masih ada. Selagi nombor itu jelas, saya anggap ia masih sah,” katanya.

Penduduk dan peniaga tempatan kini menyeru pihak berkuasa antarabangsa memudahkan kemasukan wang tunai ke Gaza. “Kami gesa pihak berkuasa mempercepat kemasukan mata wang untuk menyelesaikan krisis kecairan ini,” kata Encik Wael Basiyoni, pelarian dari Beit Hanoun. “Tanpa tunai, kehidupan di Gaza akan terus lumpuh.”

Namun sehingga kini, tiada maklum balas daripada  Penyelaras Aktiviti Pemerintah di Wilayah (Cogat)- agensi tentera Israel yang mengawal kemasukan bantuan ke Gaza, mengenai bila atau sama ada bekalan wang tunai akan dibenarkan masuk.

Bagi ramai rakyat Gaza yang kehilangan rumah, pekerjaan dan simpanan, krisis tunai ini menjadi simbol kelumpuhan ekonomi yang lebih luas satu peringatan bahawa walaupun senjata telah berhenti berbunyi, ‘perang sebenar’ untuk kelangsungan hidup masih berterusan. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg